Piala Malaysia 2019 : Legenda Kedah vs Legenda Johor

Aktif, Bola

Perlawanan Piala Malaysia yang pertama berlangsung pada 20 Ogos 1921, antara pasukan Selangor dan Pulau Pinang. Masa tu, Piala Malaysia masih lagi dikenali sebagai Piala H.M.S Malaya sebelum ditukarkan kepada Piala Malaysia pada tahun 1967.

Image Via : stadiumastro.com

Selepas 98 tahun, pasukan Kedah pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak 5 kali, pada tahun 1990, 1993, 2007, 2008 dan 2016. Pasukan Johor sebelum ni pernah menang Piala Malaysia pada tahun 1985 dan 1991. Selepas pasukan Johor Darul Ta’zim diperkenalkan secara rasmi pada tahun 2013, JDT berjaya menang Piala Malaysia pada tahun 2017.

Menjelang perlawanan akhir Piala Malaysia 2019 antara pasukan Kedah dan JDT pada 2 November 2019 nanti, mari kita throwback balik legenda-legenda Kedah dan Johor yang pernah merasa pegang Piala Malaysia sebelum ni.

RADHI MAT DIN – KEDAH

Image Via : football-tribe.com

Radhi Mat Din dianggap sebagai kapten Kedah terbaik sepanjang zaman oleh penyokong skuad hijau kuning selepas berjaya mengetuai pasukan Kedah untuk menang semua piala kat Malaysia antaranya juara Liga Divisyen 1 (1993), Piala Malaysia (1993), Piala Sumbangsih (1994) dan Piala FA (1996). Radhi Mat Din juga pernah mewakili pasukan Harimau Malaya untuk menang pingat emas di Sukan SEA 1989.

ANUAR ABU BAKAR – JOHOR

Image Via : semuanyabola.com

Allahyarham Anuar Abu Bakar merupakan anak jati Johor yang pernah bermain untuk pasukan Johor FA bermula tahun 1991. Pada tahun 1991 juga, Allahyarham Anuar Abu Bakar merupakan salah seorang pemain tulang belakang Johor FA yang berjaya membawa Johor FA untuk bergelar juara Liga Divisyen 1 dan juara Piala Malaysia. Allahyarham Anuar Abu Bakar juga pernah berhijrah untuk bermain bersama pasukan Selangor untuk bergandingan dengan Azman Adnan pada tahun 1993 dan pernah menjulang Piala Malaysia sebanyak 3 kali bersama pasukan Selangor pada tahun 1995,1996 dan 1997. Pada tahun 1998, Allahyarham Anuar Abu Bakar kembali beraksi bersama pasukan Johor.

VICTOR ANDRAG – KEDAH

Image Via : stadiumastro.com

Mula bermain bersama pasukan Kedah pada tahun 2002, Victor Andrag merupakan kapten pasukan yang mengetuai pasukan Kedah di era kegemilangan Kedah pada tahun 2007 dan 2008. Victor Andrag dan Kedah berjaya menang treble selama dua musim berturut-turut, selepas berjaya menjadi juara Liga Super (2007 & 2008), juara Piala FA (2007,2008) dan juara Piala Malaysia (2007,2008). Kini, Victor Andrag bertugas sebagai penolong ketua jurulatih untuk pasukan Kedah.

NASIR YUSOF – JOHOR

Image Via : semuanyabola.com

Digelar sebagai “The Professor” untuk pasukan Johor, Nasir Yusof mula menabur bakti sebagai pemain Johor sejak tahun 1980 sehingga 1994 dan pernah menang Piala Malaysia bersama pasukan Johor sebanyak 2 kali, pada tahun 1985 dan 1991. Nasir Yusof juga pernah beraksi bersama Allahyarham Anuar Abu Bakar dan Abbas Saad untuk membantu pasukan Johor untuk menjulang Piala Malaysia kali ke-2 pada tahun 1991.

KATALAKI: Apa ramalan korang untuk final Piala Malaysia 2019 ni? Kedah atau Johor bawa balik piala?

Last modified: 1 November 2019