Pintu² Misteri Yang Tak Boleh Dibuka!

Sembang, ZAP, ZeKool

Biasanya kalau kita berada dalam satu rumah atau bangunan lama dan terdapat satu pintu yang tak boleh dibuka, tentu kita akan rasa nak tahu apa yang ada dalam bilik tu. Tapi selalunya kita akan pecahkan je pintu bilik tu sebab ianya bukan lah pintu yang diperbuat daripada besi sehingga sukar dipecahkan. Begitu lah kuatnya sifat ingin tahu kita sampai pintu pun kita sanggup pecahkan. Walau bagaimanapun, terdapat juga pintu-pintu misteri di dunia ini yang tidak semudah itu untuk dimasuki atau dipecah masuk. Seperti ada rahsia besar yang disembunyikan daripada pengetahuan manusia lain. So kali ini Thelaki akan kongsikan di mana pintu-pintu ini berada dan apa kisah disebaliknya sampai ia tidak boleh dibuka sehingga kini.

KUIL TERKAYA DI DUNIA

Kuil Sree Padmanabhaswamy di Kerala, India, merupakan sebuah kuil suci bagi Maha Vishnu, iaitu dewa Hindu yang paling kuat sekali. Kuil yang mempunyai lapisan diperbuat daripada emas itu dibina pada abad ke-16 dan diubahsuai beberapa ratus tahun kemudian oleh keturunan Raja Travancore, iaitu salah satu keluarga terkaya di India satu ketika dahulu. Menurut cerita orang tempatan, Raja Travancore telah menyembunyikan kekayaan mereka di sebalik dinding dan di sebalik bilik-bilik kebal kuil. Kemudian pada tahun 2011, Mahkamah tertinggi India membuat tuntutan untuk audit harta-harta yang terkandung dalam kuil tersebut.

Pemimpin agama di situ memberi amaran bahawa pembukaan bilik-bilik kebal itu akan menunjukkan mereka tidak menghormati Maha Wisnu dan akibatnya malapetaka bakal berlaku. Kali terakhir seseorang cuba untuk membuka pintu tersebut adalah pada tahun 1931, dan dikatakan secara tiba-tiba satu wabak penyakit tular kepada penduduk setempat. Tapi yang menariknya, beberapa bilik kebal berjaya dibuka dan mereka menemui banyak harta karun di dalamnya. Dikatakan kesemua harta itu bernilai 1 trilion USD. 

Walau bagaimanapun, terdapat satu bilik kebal misteri yang masih berkunci dan tidak dibuka sehingga kini, dikenali sebagai Bharatakkon Kallara. Ukiran ular besar yang ada di pintu bilik kebal tersebut menunjukkan amaran bahaya, dan para agamawan di kuil berkeras mengatakan pembukaan bilik kebal terakhir itu akan membawa malapetaka yang besar. Satu-satunya cara untuk selamat masuk ke dalam adalah dengan melalukan upacara suci yang dikenali sebagai mantera garuda, tapi tak ada seorang pun yang tahu cara melakukannya. Jadi sehingga kini tiada siapa yang berani untuk cuba buka pintu tersebut. 

BILIK KEBAL VIRUS ‘SMALLPOX’

Penyakit cacar merupakan satu wabak yang mampu untuk membunuh dan telah menyebabkan berjuta kematian dalam sejarah manusia. Penyakit ini berjaya dicegah bermula tahun 1798 dengan penemuan vaksin oleh Edward Jenner. Tetapi ia memakan masa sehingga tahun 1960-an untuk manusia benar-benar dapat mengatasi penyakit cacar, dan dengan bantuan teknologi moden penyakit ini dapat dibasmi.

Tapi… tidak lah dibasmi sepenuhnya. Sejumlah kecil penyakit ini masih lagi hidup. Ia disimpan dalam keadaan beku di sebuah bilik kebal rahsia milik tentera Amerika Syarikat dan Rusia. Sekiranya salah satu sampel ini dikeluarkan, penyakit cacar ini dikatakan mampu untuk merebak dan membunuh berjuta manusia lagi. Sampel penyakit cacar ini dikatakan disimpan oleh kedua-dua pihak sebagai jaminan untuk tidak melancarkan perang biologi. Jadi memang harap-harap tak terbuka lah pintu kebal tu

HOTEL PEMBUNUHAN

Di sebuah hotel yang terletak jauh di Kanada, terdapat satu pintu misteri yang masih belum dibuka dan dikatakan menyembunyikan rahsia yang menakutkan. Pada tahun 1906, satu kisah lagenda mengatakan bahawa terdapat satu keluarga yang dibunuh di dalam bilik 837 semasa mereka sedang tidur. Housekeeping yang mengemas bilik itu keesokkan harinya menemui mayat sekeluarga ini yang terbaring keadaan berlumuran darah. Di sekeliling dinding juga terdapat kesan tapak tangan yang berdarah, seolah-olah kesan daripada pergelutan. Sejak daripada saat itu, bilik tersebut telah ditutup sepenuhnya dan tidak akan dibuka kembali.

HARTA KARUN DI MACHU PICCHU

Kubu Machu Picchu yang berasal dari abad pertengahan ini telah dibina oleh orang Inca dan ia tidak diketahui oleh dunia sehingga lah ditemui pada tahun 1911. Raja Inca menggunakan kota rahsia yang terletak tinggi di pergunungan ini sebagai benteng sehingga lah rakyatnya menyelamatkan diri daripada penjajah Sepanyol dan penyakit cacar yang dibawa mereka. Tetapi ahli arkeologi mengatakan orang Inca banyak meninggalkan rahsia di kawasan itu. Di bawah Machu Picchu terdapat makam dan sistem gua yang masih belum ditemui. Melalui analisis radar, ia menunjukkan terdapat logam di bawah Machu Picchu yang dipercayai tersimpannya emas atau harta karun. Tetapi agak mustahil untuk masuk ke kawasan yang tersembunyi ini.

Orang Peru takut dengan pencerobohan arkeologi di situ kerana kuatir mereka akan merosakkan tempat suci Machu Picchu. Maka mereka menolak untuk memberi sebarang kebenaran untuk membuat pencarian lanjut. Jadi sampai sekarang lah tak tahu apa yang terkandung dalam ruangan atau pintu rahsia yang tersembunyi itu. 

TEMPAT PEMBUANGAN SISA NUKLEAR ONKALO

Agak-agak macam mana nak simpan sisa nuklear yang sangat bahaya? Sebuah syarikat di Finland telah menemui caranya dengan membuangkan sisa nuklear ini jauh ke bawah tanah di sebalik dasar batu granit yang padat. Tempat ini akan dikunci sekurang-kurangnya selama 100,000 tahun bagi mengelakkan bahaya sisa nuklear yang boleh menyebabkan penderitaan penduduk bumi. Menurut pakar, ini lah cara paling selamat untuk membuang sisa nuklear. Tapi dengan jangka masa selama 100,000 tahun, hanya masa akan menentukan samada ianya benar-benar selamat ataupun tidak. Jadi untuk beberapa lagi keturunan manusia, pintu simpanan yang menyimpan sisa nuklear ini tidak boleh dibuka sama sekali. 

KATALAKI: Pintu kemana sahaja dalam cerita Doraemon pun kira misteri juga…

Last modified: 4 September 2020