Pokok Rare Di Sabah Mampu Keluarkan Darah ‘Besi’

Sembang, ZAP, ZeKool

Nampaknya Malaysia bukan sahaja boleh jadi negara pengeluar getah mentah dan juga minyak kelapa sawit, tapi berkemungkinan boleh jadi negara pengeluar besi. Mungkin dengar macam kelakar, tapi ramai tak tahu Malaysia secara rasminya diiktiraf sebagai negara ke-12 di dunia yang kaya dengan biodiversiti. Menurut laporan Malaysia Biodiversity Information System (MyBIS), banyak spesies flora yang tidak diketahui lagi sepenuhnya tetapi dapat dianggarkan terdapat sekurang-kurangnya 15,000 spesies yang hidup di Malaysia. Dengan kelebihan yang ada ini, para pengkaji telah menemukan sejenis pokok di Sabah yang mampu untuk mengeluarkan darah logam, dikenali dengan nama saintifiknya Phyllanthus Rufuschaneyi.

Dikatakan penemuan pokok berdarah logam ini adalah secara tidak sengaja pada tahun 2013 selepas seorang kakitangan di Taman Kinabalu menanam sekumpulan tanaman Phyllanthus dari spesies yang tidak diketahui. Spesies pokok itu diambil dari lokasi yang tidak diketahui berhampiran sempadan Taman Kinabalu. 

DIJUMPAI TANPA SENGAJA

Sekumpulan saintis yang diketuai oleh Dr. Antony Van Der Ent (seorang penyelidik di University of Queensland), dikatakan pada ketika itu sedang mengumpulkan sampel tanaman hyperaccumulator di sekitar Sabah. Ianya merupakan sejenis tanaman yang telah berevolusi untuk menyerap logam beracun seperti nikel dan zink dari dalam tanah. Dikatakan spesies ini tidak hanya menyerap apa yang ada di bawahnya, tetapi memang benar-benar mahukan kandungan logam tersebut. Akar hyperaccumulator ini sememangnya menyerap logam dari tanah, dan tiada siapa yang tahu apa sebabnya.

Para saintis berpendapat bahawa ia boleh terjadi hasil daripada evolusi tumbuhan tersebut melawan haiwan atau serangga perosak. Para saintis juga menjangkakan bahawa ia mempunyai potensi untuk mewujudkan agromining pada masa hadapan, iaitu menghasilkan logam daripada pokok.

Mana macam bentuk logam dari pokok ni? Ia tidak lah semudah mengeluarkan logam yang nyata dari pokok. Apabila pokok Phyllanthus Rufuschaneyi ditoreh, ia akan mengeluarkan ‘darah’ getah berwarna biru-hijau tua yang penuh dengan nikel. Dikatakan ‘darah’ ini mengandungi nikel yang lebih pekat daripada bijih nikel yang dileburkan hasil dari perlombongan. Spesies Phyllanthus Rufuschaneyi ditemui semula semasa kerja lapangan saintifik pada tahun 2015 di Bukit Lompoyou di Taman Kinabalu. Kali ini tumbuhan tersebut telah tumbuh dengan banyak. Ujian lanjut terhadap pokok ini mendapati ia merupakan ‘tanaman logam’ yang cukup menguntungkan. 

SEBUAH LADANG KECIL DI SABAH

Bila dapat tahu tentang kelebihan tumbuhan ni, sudah tentu langkah seterusnya adalah untuk mendirikan sebuah ladang kecil. Ladang ini didirikan berhampiran kampung Pahu di Sabah. Dikatakan setiap 6 hingga 12 bulan, seorang petani akan mengumpulkan logam jenis nikel dari pokok ini. Hasil yang diperolehi adalah sekitar 200 kilogram nikel yang berpotensi untuk mencapai nilai ribuan dolar di pasaran antarabangsa. Walau bagaimanapun, tumbuhan ini sebenarnya diklasifikasikan sebagai spesies terancam mengikut kriteria International Union for Conservation of Nature and Natural Resources (IUCN). Spesies ini hanya terdapat dalam populasi yang terbatas, mudah terdedah kepada pembakaran hutan, pembalakan berlebihan, dan juga ancaman perluasan ladang kelapa sawit di Sabah. 

MAMPU MENYELAMATKAN ALAM SEKITAR?

Keupayaan untuk menyerap logam serta menghasilkan logam jenis nikel dikatakan bakal memberi implikasi besar kepada ekonomi dalam aktiviti agromining. Walau bagaimanapun, potensi paling besar pokok ini adalah kemampuannya untuk memulihkan kawasan perlombongan yang beracun. Sisa logam berat seperti nikel yang sering dilepaskan secara tidak terkawal semasa kegiatan perlombongan dikatakan menjadi punca pencemaran ekosistem secara meluas. Maka para saintis berpendapat pokok ini berpotensi untuk membersihkan kawasan lombong lama yang tercemar dengan logam berat.

Apa yang menarik tentang penemuan ini adalah, bukan sahaja pokok tersebut dapat memberikan hasil logam yang diinginkan tetapi ia juga dapat menyedut keluar logam berbahaya dari dalam tanah. Akhirnya persekitaran yang asalnya tercemar itu akan kembali pulih. Yang ni baru lah win-win situation dimana syarikat perlombongan dan juga petani kecil berpotensi mendapat keuntungan daripada membersihkan bekas lombong sambil mengumpulkan logam jenis nikel yang banyak digunakan dalam pembuatan bateri, telefon bimbit serta alatan perubatan.

KATALAKI: Ini lah benda rare bagus yang orang kena ambil tahu. Benda rare yang ada dekat Sabah je!

Last modified: 13 August 2020