Program Subsidi Petrol: Ni Benda Penting Yang Korang Wajib Tahu

Collab, Sembang

Secara rasminya, kerajaan Malaysia dah umumkan dalam Belanjawan 2020, Program Subsidi Petrol (PSP) akan mula dilaksanakan bermula Januari 2020 untuk meringankan beban rakyat Malaysia yang berpendapatan rendah. Sebelum ni subsidi petrol tak meringankan beban rakyat ke? Kenapa kerajaan Malaysia nak wujudkan PSP ni? Sabar jap. Mungkin ada lagi antara kita yang belum betul-betul faham apa sebenarnya PSP ni, mari kita kaji satu per satu.

Image Via : psp.kpdnhep.gov.my

Benda pertama yang kita kena tahu, subsidi petrol merupakan salah satu bentuk bantuan kewangan daripada kerajaan Malaysia untuk membantu rakyat Malaysia. Bukan menanggung sepenuhnya, tapi membantu rakyat Malaysia untuk membiayai kos penggunaan petrol.

Image Via : psp.kpdnhep.gov.my

Buat masa ni, kerajaan Malaysia masih lagi membiayai subsidi petrol RON95 secara pukal untuk kegunaan semua orang tanpa mengira kerakyatan dan taraf pendapatan. Maknanya, sekarang ni pengguna yang sepatutnya tak layak untuk terima subsidi petrol RON95 antaranya warganegara asing, individu berpendapatan tinggi dan syarikat-syarikat komersial pun menikmati subsidi petrol yang dibayar oleh kerajaan Malaysia. Jadi, melalui perlaksanaan Program Subsidi Petrol (PSP), kerajaan Malaysia nak betulkan balik pengagihan subsidi secara adil kepada rakyat Malaysia yang layak menerima subsidi petrol RON95. Korang boleh tengok dan semak kat bawah ni, sama ada korang layak untuk terima PSP atau pun tak.

Kriteria Kelayakan Program Subsidi Petrol

  1. Penerima Bantuan Sara Hidup (pendapatan isirumah RM 4,000 dan ke bawah) yang beralamat di Semenanjung Malaysia sahaja.
  2. Memiliki kenderaan persendirian yang berdaftar dan mempunyai Lesen Kenderaan Motor yang masih sah.
  3. Had pemilikan kenderaan individu adalah 2 buah kereta dan 2 buah motosikal. (Individu yang memiliki tidak melebihi dua kereta dan dua motosikal yang layak, akan menerima PSP untuk satu kenderaan sahaja.)

Jenis Kenderaan Yang Layak Untuk Program Subsidi Petrol

  1. Kereta dengan kapasiti enjin 1,600cc dan ke bawah.
  2. Kereta dengan kapasiti enjin melebihi 1,600cc yang berusia lebih 10 tahun.
  3. Motosikal dengan kapasiti enjin sehingga 150cc dan ke bawah.
  4. Motosikal dengan kapasiti enjin melebihi 150cc yang berusia lebih 7 tahun.

Jumlah Subsidi Yang Diterima

Kadar subsidi yang diperuntukkan oleh kerajaan Malaysia untuk individu yang layak adalah RM30 sebulan bagi pemilik kereta atau RM 12 sebulan bagi pemilik motosikal, terhad kepada salah satu kadar yang lebih tinggi. Contohnya, Ali yang mempunyai dua kereta dan dua motosikal hanya layak untuk menerima bantuan subsidi petrol maksimum RM30 sebulan.

Image Via : psp.kpdnhep.gov.my

Subsidi petrol akan mula dikreditkan ke dalam akaun bank individu yang layak setiap 4 bulan. Pembayaran pertama akan dibuat pada April 2020 bagi tempoh Januari hingga April 2020. Pemilik kereta akan menerima sebanyak RM120 dan pemilik motosikal sebanyak RM48. Kalau korang nak semak sama ada korang layak atau tak untuk terima Program Subsidi Petrol, boleh layari je psp.kpdnhep.gov.my.

Contoh Pengiraan Program Subsidi Petrol

Kalau mengikut pengiraan subsidi sekarang. Untuk memudahkan lagi fahaman korang tentang jumlah bantuan subsidi petrol yang diberikan oleh kerajaan Malaysia melalui Program Subsidi Petrol, ini contoh pengiraan yang kami sediakan.

Ali mempunyai sebuah kereta Satria Neo dengan kapasati enjin 1,300cc, menggunakan petrol RON95.

Subsidi Petrol yang diterima sekarang – RM 0.20 seliter (anggaran).

Harga Petrol Setakat November 2019 – RM 2.08 seliter.

Jumlah Petrol yang digunakan oleh Ali – 140 liter sebulan.

Jumlah subsidi yang diterima oleh Ali – RM 28 sebulan.

Jumlah subsidi yang diterima menerusi PSP – RM 30 sebulan.

Tujuan utama Program Subsidi Petrol ni sebenarnya salah satu usaha kerajaan Malaysia untuk meringankan beban pengguna di Malaysia terutama sekali kepada yang berpendapatan rendah. Dalam masa yang sama, menerusi Program Subsidi Petrol baru kita nampak berapa nilai subsidi minyak yang diterima oleh rakyat Malaysia selama ni.

KATALAKI: PSP ni boleh guna untuk RON95 je.

Last modified: 15 November 2019