Raja Bersiong – Mitos Atau Kisah Benar?

Sembang

Aku pasti orang yang sama umur atau lebih tua daripada aku pasti pernah dengar tentang cerita Raja Bersiong. Dulu bila aku dengar tentang cerita Raja Bersiong, aku ingatkan ianya hanyalah satu kisah dongeng orang dulu-dulu tapi bila dah tua sekarang, ada pula cerita yang menyatakan Raja Bersiong sebenarnya betul-betul wujud.

Aku pun jadi keliru, Raja Bersiong ini betul wujud atau pun hanya kisah mitos orang dulu-dulu. Aku pun buat beberapa kajian dan cari buku-buku berkenaan Raja Bersiong untuk pastikan dia kisah dia yang sebenar. Sebelum itu mari kita kenali siapa dia Raja Bersiong ini.

Menurut buku sejarah, Kisah Raja Bersiong sebenarnya berkisahkan tentang seorang raja di Kedah yang berpusat di Lembah Bujang. Raja Bersiong cuma nama samarannya sahaja sebab nama dia yang sebenar adalah Raja Ong Maha Perita Deria yang mana merupakan raja keempat keturunan Merong Mahawangsa.

Raja Ong Maha Perita Deria dikatakan merupakan seorang raja kejam dan bengis. Andaikata ada rakyatnya yang melakukan kesalahan walaupun kecil, dia akan perintah orang tersebut supaya dipenjara dan dikurung. So bagaimana dia mendapat nama Raja Bersiong?

Semuanya bemula apabila dia termakan masakan sayur bayam yang tercampur dengan darah. Pada suatu hari, semasa tukang masak diraja sedang menyediakan lauk kegemaran Raja Ong Maha Perita Deria ini, dia tidak sengaja terhiris jarinya dan menyebabkan darahnya menitik ke dalam lauk kegemaran Raja Ong Maha Perita Deria.

Oleh kerana takut Raja Ong Maha Perita Deria marah kerana menunggu lama untuk makan, tukang masak tersebut mengambil keputusan untuk terus menghidangkan lauk bayam tersebut kepada Raja Ong Maha Perita Deria dan berharap raja tidak perasan apa-apa.

Namun semasa Raja Ong Maha Perita Deria makan lauk bayam tersebut, dia perasan rasa lauk tersebut tidak seperti biasa. Dia telah memerintah pengawal untuk memanggil tukang masaknya untuk mengadap. Tukang masak tersebut takut dengan apa hukuman yang dia bakal terima.

Setelah disoal oleh Raja Ong Maha Perita Deria, tukang masak tersebut akhirnya memberitahu perkara sebenar mengapa lauk bayam tersebut terasa lain daripada biasa. Namun tukang masak tersebut terkejut kerana Raja Ong Maha Perita Deria tidak marah malah menyuruh dia menyediakan masakan yang sama dengan campuran darah setiap hari.

Dia juga telah memerintah pengawal-pengawal istana yang menjaga penjara mengambil darah-darah daripada tahanan yang berada disitu. Tidak cukup dengan darah tahanan, dia menyuruh pula pengawal-pengawalnya untuk menculik rakyat jelatanya sendiri khususnya kanak-kanak.

Semakin hari, Raja Ong Maha Perita Deria semakin ketagih darah dan tanpa disedari, sepasang gigi taring ataupun siong mula tumbuh dimulutnya. Daripada situlah dia mendapat nama Raja Bersiong. Dia tidak menyorokkan siongnya itu malah berbangga mempunyai gigi taring yang panjang. Dia turut memberitahu rakyatnya yang gigi taringnya itu akan menjadi lebih panjang apabila dia memakan lebih banyak darah.

Rakyat semakin marah dan benci dengan perbuatan Raja Bersiong. Satu hari ketika dia sedang keluar berburu, menteri, orang istana dan rakyat sendiri mula bercadang untuk menentang Raja Bersiong. Mereka semua terus bergerak ke tempat Raja Bersiong memburu.

Sesampainya ditempat Raja Bersiong memburu, mereka semua terus mengepung Raja Bersiong. Tahu yang rakyatnya sendiri cuba untuk menentangnya, Raja Bersiong mengarahkan pengawal istana yang ikut dia memburu untuk melindunginya namun tidak ada satu pengawal pun yang mengikuti arahannya.

Oleh kerana takut, Raja Bersiong mengambil keputusan untuk melarikan diri ke dalam hutan. Ketika sedang melarikan diri, Raja Bersiong mengambil keputusan untuk mencabut gigi taring atau siongnya yang panjang itu dan membaling taring tersebut yang mana kawasan tersebut telah diberi nama Baling, Kedah.

Ketika melarikan diri, Raja Bersiong terut singgah ke Perak dan disebabkan itu ada satu kawasan di Ijok, Perak yang diberi nama Kota Raja Bersiong. Kisah Raja Bersiong ini berakhir dengan kematian Raja Bersiong semasa dia masih dalam buangan dan dia mati tanpa sebarang gelaran dan kuasa.

Kisah begini agak susah untuk dipastikan sama ada ia betul-betul mitos ataupun kisah sebenar bila terdapat beberapa kawasan di Malaysia yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Raja Bersiong. Contohnya seperti yang aku sebutkan tadi seperti di Baling, Kedah dan juga Kota Raja Bersiong, Perak.

Kalau korang pergi ke Kampung Lalang yang terletak 10 Kilometer daripada Pekan Baling, korang akan nampak satu pintu gerbang yang berbentuk seperti gigi taring sebelum korang memasuki kampung tersebut. Ia dikatakan dibina untuk memperingati kisah Raja Bersiong.

Tidak dilupakan juga kawasan Kota Aur, kedah yang dikatakan terdapat satu kubu yang dibina oleh Raja Bersiong semasa melarikan diri. Kubu tersebut dikatakan dibina menggunakan buluh yang ditanam sangat rapat antara satu sama lain sehinggakan ada yang menyatakan andaikata dirempuh gajah sekalipun, ia tidak akan tumbang.

KATALAKI: Satu benda sahaja yang boleh mengesahkan Raja Bersiong betul wujud atau tidak adalah kalau dorang ada jumpa kubur Raja Bersiong!

Last modified: 10 October 2019