Rambut Gaya Old School, Tapi Paling Muda Dalam Sejarah

Aktif, Bola

Luka Romero yang beraksi untuk kelab RCD Mallorca berjaya mencipta sejarah baru, pemain paling muda yang pernah beraksi dalam perlawanan La Liga di Sepanyol ketika berumur 15 tahun 219 hari apabila diturunkan sebagai pemain simpanan dalam perlawanan menentang Real Madrid pada 25 Jun 2020. Walaupun tewas 2-0 kepada Real Madrid, tapi nama Luka Romero menjadi perhatian dunia selepas memadam rekod lama yang dicipta sejak 81 tahun lepas.

Sebelum kemunculan Luka Romero, rekod pemain termuda La Liga dipegang oleh pemain Celta Vigo, Sansón yang membuat kemunculan pertama di La Liga ketika berumur 15 tahun 255 hari pada tahun 1939. Kalau korang baru pertama kali dengar nama Luka Romero, sebenarnya Luka Romero bukan je tiba-tiba popular sebab memegang rekod pemain termuda La Liga, tapi Luka Romero juga pernah disamakan dengan Lionel Messi apabila turun beraksi di atas padang.

Mempunyai tubuh badan yang kecil seakan-akan Lionel Messi, Luka Romero juga memiliki kepantasan menggentel bola di celah-celah kaki pemain dan kehandalan menggunakan kaki kiri menyebabkan dirinya selalu disamakan dengan kehebatan Lionel Messi. Buat masa ni, Luka Romero yang lahir pada 18 November 2004 di Mexico, masih lagi berpeluang untuk menentukan sama ada beraksi untuk pasukan kebangsaan Mexico atau Argentina memandangkan ibu bapanya berasal dari Argentina. Selagi umur belum mencecah 18 tahun, Luka Romero masih lagi boleh buat pilihan sama ada nak beraksi untuk Mexico atau Argentina.  Sebelum ni, Luka Romero dah pernah beraksi untuk pasukan kebangsaan Argentina bawah 15 tahun.

Bila nama dah menjadi perhatian dunia, khidmat Luka Romero dah tentu sekali akan ditagih oleh kelab-kelab ternama Eropah. Dikhabarkan, Manchester United, Barcelona, Juventus dan Atletico Madrid antara kelab yang dah mengkaji perkembangan Luka Romero sebelum melancarkan sebarang tawaran. Selagi belum berumur 18 tahun, mungkin lambat lagi kita boleh tengok kelab ternama Eropah mana satu yang menjadi pilihan Luka Romero pada masa akan datang.

KATALAKI: Umur 15 tahun dah merasa bertarung dengan Real Madrid di peringkat tertinggi. Panjang lagi perjalanan Luka Romero ni.

Last modified: 26 June 2020