Red Bull OG – Bagaimana Pasukan Underdog Menjadi Juara TI8!

Game, Tech

Minggu ini aku telah dijemput oleh Red Bull untuk menghadiri pelancaran documentary Against the Odds. Documentary ini menceritakan tentang liku-liku yang dihadapi oleh pasukan Red Bull OG, satu pasukan esports untuk permainan video Dota2 sebelum mereka mendapat gelaran juara untuk The International 2018 (TI8).

Terus-terang aku cakap, aku bukanlah seorang peminat permainan video Dota2 dan ini merupakan kali pertama aku tahu tentang pasukan Red Bull OG tapi selepas melihat sendiri documentary yang dorang sediakan, aku sangat-sangat respect dengan apa yang dorang dah lalui.

Dalam Documentary ini, kita dapat melihat perjalanan lima orang pemain dan jurulatih pasukan Red Bull OG yang mana telah membuktikan mereka mampu untuk mendapatkan gelaran juara walaupun pada mulanya mereka bukanlah pasukan pilihan untuk The International 2018.

Documentary ini pada mulanya lebih fokus kepada dua orang pemain hebat iaitu Johan “N0tail” Sundstein dan juga Tal “Fly” Aizik sebelum mereka berdua mencipta pasukan OG. Kita dapat melihat bagaimana pada mulanya mereka berdua mencari pemain-pemain lain untuk bersama-sama berjuang dalam pasukan OG.

Walaupun mereka melalui banyak pertukaran pemain, namun mereka berdua tetap bersama-sama untuk memastikan nama pasukan OG terus wujud. Tapi pada bagi mereka yang memang mengikuti perkembangan dua orang pemain ini dan pasukan OG pasti tahu apa yang telah jadi seterusnya.

Selepas pergolakan berlaku antara mereka berdua, korang dapat rasakan macam korang tengah tengok anime Naruto yang mana ketika Naruto dan Sasuke bergaduh kerana Sasuke cuba melarikan diri daripada kampung Konoha sebab walaupun korang tahu dorang tengah bergaduh, tapi dorang masih hormat antara satu sama lain.

Kita juga dapat melihat Anathan “ana” Pham, seorang anak muda yang sangat hebat dibawa masuk ke dalam pasukan OG namun terpaksa menarik diri kerana telah dikecam oleh peminat hanya kerana kesalahan dan kesilapan kecil yang dilakukannya.

Namun sebelum TI8 bermula, mereka berjaya memujuk dan membawa Ana masuk kembali ke pasukan Red Bull OG dan seterusnya merangkul gelaran juara The International 8. Tidak dilupakan tentang Topias “Topson” Taavitsainen, seorang pemain casual yang tidak dikenali dan tidak memasuki apa-apa kejohanan Dota2 namun telah membuktikan yang sebenarnya dia adalah salah seorang pemain terhebat dan layak berada setaraf dengan pemain professional lain!

Kemudian kita dapat melihat mereka membawa masuk seorang lain pemain iaitu Jesse “JerAx” Vainikka dan juga membawa seorang jurulatih muda iaitu Sebastien “Ceb” Debs. Satu benda yang menarik tentang Ceb adalah walaupun pada mulanya dia dijadikan sebagai jurulatih, dia kemudiannya telah diserap masuk menjadi pemain utama pasukan Red Bull OG.

Banyak lagi benda-benda menarik dalam documentary Against the Odds ini dan korang boleh tengoknya sendiri di SINI. Persoalannya sekarang, adakah pasukan Red Bull OG akan berjaya mempertahankan gelaran juara dalam The International 2019 (TI9) tahun ini? Sama-sama kita saksikan nanti!

KATALAKI: Kalaulah ada documentary pasal pasukan Malaysia mesti best kan?

Last modified: 9 August 2019