Rentap – Pahlawan Iban Paling Digeruni Penjajah British

Sembang

Rentap. Nama yang tidak asing lagi buat kita kalau menyingkap semula kisah pejuang atau pahlawan Malaysia sebelum merdeka. Rentap, atau nama asalnya Libau anak Ningkan merupakan anak jati kelahiran Sarawak yang datang daripada suku kaum Iban di sana. Kalau nak tahu, nama asalnya iaitu Libau bermaksud ‘Penggoncang Dunia.’ Maksud nama pun dah memberi satu makna yang hebat sehingga menjadi pejuang penentang penjajahan British yang paling digeruni. Tak cukup dengan itu, beliau juga digelar sebagai ‘Raja Darat’ dan merupakan pemimpin bagi orang Iban di Sungai Skarang dan Sungai Saribas. Apa yang dilakukan oleh Rentap sehingga namanya dipahat sebagai pejuang sebelum kemerdekaan? Jom baca lanjut.

PALING AWAL MENENTANG PENJAJAH

Rentap merupakan salah seorang pahlawan kepada Orang Kaya Pemancha Dana ‘Bayang’ yang selalunya mengetuai serangan ‘ngayau’ di kawasan selatan Sarawak sehingga ke kawasan muara Sungai Kapuas. Setelah Orang Kaya Pemancha Dana dah beransur tua, Rentap kemudian mengambil alih tugas sebagai pemimpin. Disebabkan keberanian dan semangat kepahlawanannya, Rentap menjadi terkenal sebagai pahlawan yang handal dalam menentang penjajahan Rajah James Brooke. So sebenarnya apa yang Rajah James Brooke buat sampai Rentap ni jadi marah sangat dan berjuang habis-habisan?

Pada asalnya Rentap memang tak puas hati dengan keluarga Brooke sebab dituduhnya orang Iban di Sungai Skarang sebagai lanun. Suka hati je tuduh orang macam tu. Kemudian tindakan Brooke merampas tanah orang Iban dan mengenakan pelbagai cukai membuatkan Rentap nekad untuk melakukan serangan ke atas keluarga Brooke. Terdapat juga catatan yang menyatakan askar Rajah Brooke membakar rumah panjang Orang Kaya Pemancha Dana di Nanga Padeh, Saribas pada 11 Jun 1843. Selang tiga hari kemudian, askar Rajah Brooke menyerang sebuah lagi rumah panjang Linggi ‘Mali Lebu’ di Kerangan Pinggai, Paku. Kemudian pada 17 Jun tahun yang sama, rumah panjang Rekaya Antau ‘Linggang Neneri’ dan Rekaya Gun ‘Mangku Bumi’ di Sungai Tawai, Rimbas pula diserang.

Memang marah betul Rajah Brooke ni dengan Rentap sehingga dia mengarahkan Orang Kaya Pemancha Dana, Linggi untuk menyerahkan Rentap kepadanya sebagai perjanjian damai. Tapi tak mungkin Rentap bersetuju. Pada 19 Ogos 1844, Rentap melancarkan serangan terhadap Rajah Brooke di kubu British dekat Sungai Skarang dan serangan itu berjaya. Bila Rentap dah tunjukkan taringnya, maka lebih ramai lah orang Iban menyanjunginya.

SERANGAN BESAR-BESARAN BRITISH

Sebenarnya Rajah Brooke ni cuba untuk berdamai dengan Rentap buat kali kedua pada bulan Disember tahun 1853, tetapi ditolak oleh Rentap. Kemudian pada tahun berikutnya iaitu bersamaan dengan 1854, Rajah Brooke yang memang tak puas hati dengan Rentap menghantar seramai 7,000 askar dari Kuching yang terdiri daripada orang Dayak dan Melayu untuk menyerang Rentap di Sungai Lang, Skarang. Boleh tahan juga Rajah Brooke ni siap boleh pengaruh orang Dayak untuk berperang bersama. Rentap dan pengikutnya pula berusaha mempertahankan kubu mereka daripada serangan tersebut. 

“AGI IDUP, AGI NGELABAN”

Rentap yang terkenal dengan kata-kata semangat “Agi Idup, Agi Ngelaban” berjuang bermati-matian, tetapi akhirnya serangan yang hebat daripada askar-askar Rajah Brooke memaksa Rentap dan pengikutnya berundur ke Bukit Sadok. Mereka kemudian memperkuatkan kedudukan di Bukit Sadok dengan mengumpulkan pengikut setia di sepanjang Sungai Skarang dan hulu Sungai Saribas. Rentap kemudian membina sebuah kubu di kawasan curam Bukit Sadok dengan ketinggian 830 meter dan ia dikatakan sukar didaki oleh pihak musuh.

PERTEMPURAN HEBAT DI BUKIT SADOK

Pada tahun 1857 pula, Charles Brooke diberi kepercayaan untuk mengetuai serangan kubu Rentap di Bukit Sadok. Seramai 3,500 askar dayak dan 500 askar Melayu menjadi pengikut Charles Brooke. Tapi Rentap dan pengikutnya memang sudah bersedia dengan sebarang serangan. Beliau menggunakan sebuah meriam yang diberi nama ‘Bujang Timpang Berang’ untuk menumpaskan askar Charles Brooke. Akhirnya kemenangan berpihak kepada Rentap dan pengikutnya. Tapi jangan ingat Charles Brooke ni nak mengalah begitu je. Pada tahun 1858, Charles Brooke melancarkan serangan kedua pula dengan membawa rombongan lebih besar.

Rentap dan pengikutnya diserang hebat sehingga rumah panjang di kawasan Sungai Saribas dan di kawasan hulu Julau dibakar oleh askar-askar Charles Brooke. Kemudian rombongan askar Charles Brooke ini menuju ke Bukit Sadok untuk menyerang Rentap. Sekali lagi, serangan ini berjaya dipatahkan oleh Rentap, sekaligus menjadikan beliau terkenal sebagai pahlawan yang digeruni pihak musuh.

Ingatkan penjajah British dah berputus asa, tapi pada tahun 1861, James Brooke pula yang melancarkan serangan ketiga di Bukit Sadok. Kali ini, sebanyak 12 meriam yang digelar ‘Bujang Sadok’ digunakan oleh askar Charles Brooke. Meriam ni sekarang ada disimpan di Muzium Negeri Sarawak.

RENTAP DIKHIANATI PENGIKUT SENDIRI

Charles Brooke dikatakan membuat tawaran ‘Tajau Rusa’ kepada Nanang dan Luyoh, iaitu anak kepada Orang Kaya Pemancha Dana yang merupakan pengikut Rentap supaya mengadakan rundingan dengannya. Tetapi rundingan ini adalah tanpa pengetahuan Rentap. Nanang dan Luyoh kemudian berjanji setia kepada Brooke dan hal ini menyebabkan Rentap marah dan terus memusnahkan kubu yang dibina oleh Nanang dan Luyoh di kaki Bukit Sadok. 

Kemudian meriam ‘Bujang Sadok’ dikatakan melepaskan 17 das tembakan dan merosakkan sebahagian dari kubu Rentap. Rentap pula membalas tembakan menggunakan meriam ‘Bujang Timpang Berang.’ Rentap bersama pengikutnya dikatakan telah diserang dalam jarak dekat. Selepas sebulan akhirnya pihak British berjaya tawan Bukit Sadok dan memaksa Rentap untuk berundur ke hulu Sungai Skarang di kawasan Bukit Lanjak Entimau, Lemanak dan Engkari.

PENGHUJUNG HAYAT RENTAP

Selepas kekalahan Rentap dan pengikutnya di Bukit Sadok, dan selepas mereka semua berundur, Rentap tidak lah terus mengalah. Beliau cuba untuk merancang serangan balas terhadap pihak British, tetapi ajal lebih awal menjemputnya. Rentap meninggal dunia di usia 70 tahun pada tahun 1870. Pusara Rentap masih lagi ada di Bukit Sibau di kawasan Sungai Hulu Budu dan Sungai Wak Julau. 

Keberanian dan semangat perjuangan Rentap menentang penjajahan British telah menjadi inspirasi kepada pejuang lain semasa zaman darurat Komunis seperti Kanang anak Langkau, Awang anak Raweng dan ramai lagi. Sejarah tidak boleh dipadamkan dan ini adalah bukti semangat perjuangan yang ada dalam negara kita. 

KATALAKI: Bila dah besar ni rasa lebih bersemangat dapat baca kisah sejarah macam ni. Agi Idup Agi Ngelaban!

Last modified: 21 August 2020