Review: Rocketman Boleh Buat Bulu Roma Berdiri

Sembang

Selepas kejayaan filem Bohemian Rhapsody, kini filem biografi terbaru mengenai penyanyi tersohor yang berasal dari England, Elton John mula ditayangkan kat Malaysia pada 25 Julai 2019.

Image Via : toggle.sg

Filem Rocketman mengisahkan mengenai perjalanan hidup Elton John atau nama sebenarnya Reginald Dwight daripada seorang remaja biasa sehingga menjadi seorang penyanyi terkenal di dunia. Sejak dari zaman remaja, Elton John hidup di dalam keluarga yang penuh dengan konflik. Konflik tersebut termasuklah kurang kasih sayang daripada bapanya, kecurangan ibunya dan penceraian ibu dan bapanya. Elton John tak pernah dapat sokongan daripada bapanya mengenai minatnya dalam bidang muzik. Nasib baik lah Elton John ada seorang nenek yang menjadi penyeri di dalam rumah dan sentiasa memberi semangat kepada Elton John. Kali pertama Elton John mula bermain piano menggunakan piano milik neneknya.

Selepas Elton John berjaya mencipta lagu bersama kawan baiknya, Bernie Taupin, Elton John berjaya mendapat tawaran untuk buat persembahan di sebuah kelab malam terkenal di Amerika Syarikat, Troubadour. Walaupun Elton John gemuruh untuk beraksi di atas pentas sehingga mengunci diri di dalam tandas, tapi persembahan di Troubadour lah titik permulaan dan punca Elton John mula mencipta nama sebagai penyanyi tersohor di dunia.

Image Via : Paramount Pictures

Elton John kemudiannya digoda oleh seorang pengurus muzik, John Reid sehingga terlibat dalam hubungan seks sejenis. Elton John juga semakin berjaya sebagai seorang penyanyi yang dikenali ramai dengan bantuan John Reid. Selepas Elton John melantik John Reid sebagai pengurusnya, macam-macam konflik mula tercetus dalam hidup Elton John sehingga menyebabkan Elton John menjadi seorang pemarah, kaki mabuk, penagih dadah, dan mengamalkan seks bebas.

Image Via : Paramount Pictures

Masalah keluarga dan perbuatan John Reid yang mempergunakannya menyebabkan emosi Elton John semakin bercelaru sehingga cuba untuk membunuh diri. Elton John akhirnya sedar dirinya perlukan pertolongan dan secara sukarela pergi ke pusat pemulihan dan akhirnya berjaya buang ketagihan arak dan dadah. Ada satu ketagihan yang tak boleh dibuang oleh Elton John. Kalau korang nak tahu ketagihan apa kena tengok sendiri dalam filem ni.

Image Via : Paramount Pictures

LAWAN BOHEMIAN RHAPSODY

Sejujurnya filem ni memang boleh bersaing dengan filem Bohemian Rhapsody. Cuma perbezaan filem Bohemian Rhapsody dan Rocketman ialah Bohemian Rhapsody filem kisah benar mengenai penyanyi kumpulan rock dan Rocketman filem kisah benar mengenai penyanyi yang hebat bermain piano dan mencipta lagu.

Image Via : Paramount Pictures

Kehebatan filem Rocketman juga dibantu dengan barisan pelakon yang memang power gila berlakon. Terutama sekali pelakon yang melakonkan watak Elton John semasa remaja dan Elton John semasa dewasa lakonan Taron Egerton yang sebelum ni popular dengan filem Kingsman.

Image Via : Paramount Pictures

Untuk info, filem Rocketman diterbitkan oleh Elton John sendiri dan filem ni dah dirancang sejak tahun 2001. Tom Hardy dan Justin Timberlake pernah terlibat dengan filem ni di peringkat awal. Tapi disebabkan beberapa isu, Taron Egerton yang dipilih untuk melakonkan watak Elton John. Memang tak sia-sia lah dorang pilih Taron Egerton.

Image Via : Paramount Pictures

Jalan cerita yang disusun untuk filem Rocketman juga tak buat kita mengantuk dalam wayang. Kalau korang memang peminat Elton John, memang tak duduk diam lah sebab ada berlambak lagu Elton John yang dinyanyikan sendiri Taron Egerton. Sedap gak suara Taron Egerton ni.

Image Via : Paramount Pictures

Kalau nak dibandingkan filem Bohemian Rhapsody dengan Rocketman, filem Bohemian Rhapsody lebih nampak jahat dengan isu dadah, seks bebas dan cara hidup seorang rockstar. Tapi filem Rocketman ada kelebihan tersendiri dan rasanya mampu bersaing untuk menang beberapa anugerah nanti. Untuk penonton yang hanya kenal Elton John dengan namanya sahaja, pun boleh berdiri bulu roma bila menonton filem ni.

KATALAKI: Banyak gak scene yang dibuang dalam filem Rocketman ni untuk menjaga sensitiviti rakyat Malaysia.

Last modified: 25 July 2019