Review Tanpa Spoiler – Tenet Sebuah Filem Yang Memeningkan?

Sembang, ZAP

Memang tak dinafikan tahun 2020 ni industri filem di seluruh dunia agak merundum sedikit. Semuanya disebabkan usaha pelbagai pihak bagi membendung penularan wabak COVID-19. Jadi tontonan di panggung wayang tu kurang lah sikit dan memaksa juga beberapa filem yang sepatutnya dijadualkan tayangan pada tahun 2020 ditunda ke tahun hadapan. Walau bagaimanapun, filem terbaru arahan pengarah Hollywood terkenal, Christopher Nolan, tetap menanti kunjungan penonton di panggung wayang. Filem yang berjudul ‘Tenet’ ini dijadualkan menemui para penonton Malaysia di panggung wayang bermula 27 August 2020. Sebelum korang nak beli tiket filem ni, jom baca dulu review dari kami.

Image via: Thelaki

ADA APA DALAM ‘TENET’

Filem Tenet merupakan sebuah filem dari pengarah yang sama mengarahkan filem MementoInception dan juga Interstellar. Jadi korang pun boleh agak filem Tenet ni filem yang macam mana. Ni kira dah bagitahu awal-awal dah. Jangan pula nanti keluar panggung wayang korang kata filem ni boring sebab sememangnya ada certain orang yang kurang enjoy tengok cerita fiksyen macam filem Tenet ni. Tapi bagi peminat filem-filem fiksyen dan juga yang gemar dengan karya Christopher Nolan, filem Tenet mungkin menjadi filem wajib tonton bagi korang.

Image via: Thelaki

Plot Tenet semasa permulaan filem agak mudah untuk difahami. Asas bagi filem ini adalah untuk menghentikan Perang Dunia Ketiga. John David Washington sebagai watak utama memegang watak yang tidak mempunyai nama tetapi digelar sebagai ‘Protagonist.’ Mesti pelik masa dia terima skrip tapi watak dia tak ada nama. Jadi watak Washington ni memainkan peranan dalam menjejaki satu sumber teknologi yang masih belum wujud. At this moment, filem ini dah memberi satu tanda tanya tentang teknologi yang dimaksudkan itu. Sehingga lah watak Protagonist ni lihat sendiri teknologi tersebut, iaitu satu teknologi yang menggunakan konsep ‘time-inversion.’

Image via: Thelaki.com.my

Ia merupakan teknologi yang dicipta daripada hasil tenaga nuklear yang mampu untuk menggerakkan sesuatu objek secara kebelakang. Teknologi ini dikatakan amat merbahaya dan mampu untuk menghancurkan umat manusia. Jadi dengan bantuan Agent Neil yang dilakonkan oleh Robert Pattison, watak Protagonist ini berjaya menjejaki sumber teknologi yang belum wujud itu melalui misi mereka yang merbahaya. Lakonan Elizabeth Debicki yang memegang watak Kat juga banyak membantu perjalanan misi mereka berdua. Begitu juga dengan watak Andrei Sator lakonan Kenneth Branagh, satu watak antagonis kejam yang menambahkan lagi ketegangan plot filem ini. 

TENET YANG MEMENINGKAN

Konsep ‘time-inversion’ merupakan satu konsep baru yang digunakan di dalam filem ini. Kalau korang fikir ia merupakan satu konsep ‘time-travel’ yang baru, ia adalah tidak tepat. Time-inversion tidak sama macam time-travel yang korang tengok dalam filem-filem berkonsepkan pengembaraan masa. Seperti filem Inception di mana ia mampu membuatkan penonton keliru, filem Tenet juga berjaya membuat otak penonton berbelit memikirkan tentang manipulasi masa dalam filem itu. Bagi aku konsep ‘time-inversionni memang menarik dan unik sebab ia tidak pernah digunakan dalam mana-mana filem yang lain (setahu aku lah). Yang ni memang korang kena tonton sendiri dan bersedia lah untuk memeningkan kepala otak korang.

Image via: Thelaki.com.my

Jadi ini lah review paling jujur tanpa sebarang spoiler selepas kami sendiri pergi menonton filem Tenet. Memang diakui selepas selesai menonton, fikiran kami sedikit serabut memikirkan konsep ‘time-inversion’ dan seolah-olah menonton wayang secara rewind. Tapi apa-apa pun, babak aksi dan kesan visual yang dipaparkan memang puas hati. Meremang bulu roma tengok babak aksi diaorang.

TIDAK MENGGUNAKAN LAYAR HIJAU

Dikatakan filem Tenet ini tidak menggunakan kesan khas layar hijau, tetapi menggunakan kesan praktikal (practical effects). Mungkin ini lah yang menjadikan filem Tenet betul-betul hebat dilayar perak dan mampu memukau para penonton dengan kesan-kesan visual yang digunakan. Lepas tonton filem ni mungkin korang akan kagum dengan babak ‘time-inversion’ yang memeningkan itu. 

KATALAKI: Peminat filem-filem Christopher Nolan seperti Interstella, Inception dan Memento wajib tengok filem Tenet ni.

Last modified: 24 August 2020