Review Tanpa Spoilers – John Wick 3: Parabellum

Sembang

Aku mula membuka hati kepada francais John Wick awal tahun ni bila aku tengok trailer filem ni di Twitter. Ditambah lagi dengan puji-pujian yang diberi kepada John Wick daripada kawan-kawan yang aku follow di Twitter, aku mula tertanya-tanya, best sangat ka John Wick ni? Aku pun try-lah tengok John Wick 1, dan aku terus faham kenapa orang suka sangat filem ni. Sebuah filem yang simple daripada segi jalan cerita dan membenarkan kita untuk enjoy tonton Keanu Reeves tembak, tikam dan pukul orang dengan cara-cara yang spectacular.

Tambah dengan itu misteri dunia bawah tanah pembunuh-pembunuh upahan New York, banyak interaksi John Wick dengan watak-watak lain dalam filem ni yang membuat kita mahu tahu lebih tentang dunia yang didiami John Wick tu. John Wick 1 juga adalah satu-satunya filem daripada francais ni yang berjaya membuat aku gugurkan air mata, iaitu bila Keanu Reeves menerima surat daripada mendiang isterinya. John Wick 2 teruskan lagi apa yang filem pertamanya buat dengan jayanya, dan filem terbaru ini juga tidak mengecewakan sama sekali. Dalam artikel ni aku akan kongsi dengan hampa aku punya pendapat tentang John Wick: Chapter 3 – Parabellum.

Sinopsis

John Wick 3 bermula dimana John Wick 2 berakhir. Kita sertai perjalanan John Wick beberapa minit selepas dia diisytihar excommunicado oleh Pengurus Continental, Winston (dilakonkan oleh Ian McShane) kerana membunuh ahli terbaru High Table. John mula mencari cara untuk melarikan diri daripada semua pembunuh upahan di New York yang mendapat kontrak terbuka untuk pembunuhannya berharga 14 juta USD. Dalam perjalanannya dia berjumpa kembali dengan rakan-rakan lamanya seperti The Bowery King (Laurence Fishburne), The Director (Anjelica Huston) dan Sofia (Halle Berry). Dengan bantuan rakan-rakannya, John Wick cuba untuk menyelamatkan nyawanya dengan pelbagai cara yang dapat dilihat di dalam treler filem ini, seperti membaling pisau, meneroka padang pasir, menunggang kuda dan bertarung dengan orang diatas motosikal. Aku tak boleh nak cerita lebih, nanti terbagi spoiler pulak.

Positif

John Wick: Chapter 3 mengekalkan apa yang peminat suka tentang dua filem yang awal, iaitu sequence aksi dan pertempuran yang sangat menarik, kreatif dan membuat kita terasa berdebar-debar sepanjang pertempuran itu berlangsung. Selepas perlawan yang pertama, ada seorang penonton lain di dalam pawagam tempat aku tonton tu tepuk tangan, punyalah seronok dia dapat lihat John Wick menewaskan lawannya dalam perpustakaan tu. Aku rasa macam bukan sahaja filem ini memberi peminat apa yang mereka suka, malah ia juga menambah lagi cabaran-cabaran yang terpaksa ditempuh oleh John Wick, dan mempelbagaikan lagi cara-cara John Wick dan rakan-rakannya (terutamanya Halle Berry) dapat menewaskan mereka yang cuba untuk melawan mereka. Seperti yang dapat dilihat di dalam trailer, kita dapat lihat bagaimana John Wick dan Sofia bekerjasama dengan anjing peliharaan Sofia untuk berlawan, dan babak perlawanan tu hanyalah satu daripada banyak lagi babak perlawanan yang sungguh-sungguh awesome untuk peminat-peminat filem aksi sebegini.

Selain itu, direktor filem ini (Chad Stahelski) juga berusaha untuk menghuraikan lagi dunia gelap taklukan High Table yang didiami oleh John Wick ini, dan kita dapat lihat lebih lagi watak-watak dan interaksi-interaksi yang memberitahu kita lebih tentang bagaimana struktur dunia John Wick ini berfungsi, dan dunia apa yang dia cuba untuk tinggalkan di dalam John Wick: Chapter 1. Aku rasa macam persembahan Asia Kate Dillon sebagai wakil High Table a.k.a. The Adjudicator sangat cemerlang, dan merupakan sebuah penambahan yang baik di dalam senarai watak-watak dunia John Wick. Kita dapat lihat lebih banyak lagi pembunuh-pembunuh upahan yang lain di dalam dunia ini, dan pertempuran-pertempuran John dengan mereka sangat menghiburkan.

Secara peribadi, aku rasa persembahan Halle Berry sangat cemerlang. Bukan sahaja daripada segi lakonan, daripada segi aksi juga beliau mampu berdiri sama tinggi dengan Keanu Reeves diatas skrin. Aku juga suka penglibatan dua pelakon aksi hebat daripada Indonesia Yayan Ruhian dan Cecep Arif Rahman dalam filem ini. MINOR SPOILER: masa depa cakap Bahasa Indonesia antara satu sama lain, aku tersenyum lebar sangat. Nampak sungguh style bila boleh tonton orang serumpun kongsi skrin sama dengan global icon seperti Keanu Reeves.

Cecep Arif Rahman & Yayan Ruhain bersama direktor, Chad Stahelski. Image via: https://entertainment.solopos.com/

Negatif

Memang tak banyak benda negatif aku boleh cakap pasal filem ni. Mungkin kalau aku perlu cakap satu benda, ia adalah ketika-ketika dimana lawan-lawan John Wick membuat pilihan yang kurang bijak dalam pertempuran mereka, aku jadi sedikit hairan. Soalan-soalan seperti “kenapa mereka menggunakan senjata instead of senjata yang lagi satu?” dan “kenapa pi serang sorang bila boleh pi dengan geng?” muncul dalam kepala sekali-dua semasa aku menonton. Tapi akhirnya, aku tak kisah sangat pun pasal perkara-perkara tu, kerana John Wick masih style. Bila aku tonton filem-filem John Wick, aku kena tutup bahagian otak aku yang suka realism, kerana filem-filem John Wick bukan filem yang cuba untuk jadi seperti filem tentang dunia nyata. Ia berbentuk fantasi dan mempunyai banyak aksi, dan aku dapati yang aku dapat enjoy filem ni bila aku buat-buat yang filem ni sebenarnya ialah video game dan aku dapat lihat watak-watak yang wujud dalam permainan ini menyelesaikan masalah masing-masing dengan cara mereka sendiri.

Kesimpulan

Aku sangat suka filem ini, dan aku rasa sesiapa yang dah tonton John Wick: Chapter 1 dan Chapter 2 wajib tonton Chapter 3. Ia punyai semua benda yang hampa suka tentang dua filem yang pertama, tapi ia lebih besar, lebih kompleks dan lebih meletup. Kepada yang tak pernah tonton filem John Wick sebelum ini, cuba tonton dengan hati yang terbuka. Ia bukan filem yang sepatutnya “deep“, dan kalau hampa boleh terima yang sesebuah filem tu boleh ja jadi sebuah bentuk hiburan yang melibatkan banyak keganasan pelbagai gaya, then aku rasa hampa akan suka filem ni.

Rating: A-

KATALAKI: Dengar citer Matrix 4 bakal muncul. Dengar citer je laa…

Last modified: 21 May 2019