Rompakan Terbesar Yang Dilakukan Oleh Warga Emas?!

Feature, Kool Site, Sembang

ϟ Trending

Sebelum ini aku ada tulis tentang warga emas yang habiskan masa dorang dengan menjadi Esports player dan bermain video games. Kalau korang belum baca lagi, korang boleh klik di SINI untuk baca. Hari ini aku akan bercerita tentang warga emas juga tapi dorang ini adalah warga emas yang korang tak sepatutnya jadikan sebagai idola!

Ini disebabkan warga emas yang aku nak cerita ini merupakan sekumpulan penjenayah yang telah melakukan rompakan terbesar barang kemas yang terbesar dalam sejarah. Kes ini berlaku pada April 2015 dan dikenali sebagai The Hatton Garden Safe Deposit Box Robbery. Rompakan terbesar ini telah dilakukan oleh lapan orang warga emas yang berumur 49 tahun sehingga 76 tahun.

Ahli kumpulan yang paling tua iaitu Brian Reader merupakan ketua bagi kumpulan ini dikenali orang disekelilingnya sebagai orang tua yang baik hati, mesra dan tidak langsung digambarkan sebagai orang yang berbahaya. Disebabkan itu apabila dia dan beberapa rakannya ditangkap, orang ramai tidak percaya yang mereka telah melakukan rompakan terbesar dalam sejarah British.

The Hatton Garden Safe Deposit Box ini merupakan tempat orang-orang kaya menyimpan barang kemas mereka. Tempat ini sememangnya menjadi impian setiap perompak namun disebabkan ianya dikawal ketat, tiada siapa yang berjaya merompak tempat ini sehinggalah Brian dan rakan-rakannya berjaya menembusi dan memecah masuk tempat ini.

Jumlah rompakan yang dilaporkan lebih daripada USD200 million dalam bentuk barang kemas dan juga wang tunai. Sebanyak 73 buah peti simpanan telah berjaya dikosongkan dan sehingga hari ini, hanya 1/3 sahaja daripada barang rompakan ini dapat ditemui semula. Disebabkan rompakan ini juga, Hatton Garden Safe Deposit telah ditutup selama-lamanya.

Pihak polis menyatakan yang rompakan ini telah dilakukan dengan sangat kemas kerana mereka tidak menjumpai langsung tanda-tanda pecah masuk. Brian dan rakan-rakannya telah menyamar sebagai cleaner untuk memudahkan mereka masuk ke tempat ini. Disebabkan mereka warga emas, tiada seorang pun orang di dalam Hatton Garden Safe Deposit yang mengesyaki mereka.

Salah seorang ahli kumpulan mereka iaitu Basil berada di tempat ini sehingga semua staff pulang. Dia kemudiannya bertindak membuka pintu kecemasan bagi membolehkan rakan-rakannya yang lain masuk ke tempat ini. Ini cuma langkah pertama sahaja, selepas mereka memasuki premis ini, mereka perlu ke bilik bawah tanah dimana barang-barang kemas ini telah disimpan.

Mereka kemudiannya terpaksa menebuk tiga lubang untuk dapat masuk ke tempat barang kemas ini disimpan. Mereka kemudiannya merangkak masuk dan memecahkan peti besi yang terdapat di dalam bilik tersebut dan membawa keluar semua barang kemas melalui lubang yang mereka tebuk tadi.

Barang-barang kemas ini kemudiannya dimasukkan ke dalam tong sampah yang mereka telah tinggalkan di pintu kecemasan. Melalui kamera litar tertutup (CCTV), mereka dilihat menolak tong sampah tersebut memasuki van mereka. Walaupun tong sampah itu kelihatan lebih berat daripada biasa, namun tiada siapa pun yang mengesyaki mereka.

Mereka berjaya melarikan diri dan bersembunyi daripada pihak berkuasa selama hampir sebulan. Walaupun mereka sempat hidup seperti jutawan namun pihak berkuasa berjaya mengesan dan memberkas mereka. Hasil siasatan polis juga berjaya mengesan kes jenayah lampau yang mereka pernah lakukan.

Ternyata mereka bukanlah warga emas yang biasa-biasa. Sebagai contohnya ketua mereka, Brian Reader pernah dipenjara selama lapan tahun atas kes rompakan jongkong emas bernilai jutaan Dollar yang dilakukan di Lapangan Terbang Heathrow pada tahun 1983. Salah seorang lagi ahli kumpulan mereka iaitu Terry Perkins juga pernah dipenjara selama 22 tahun atas kes rompakan Security Express.

Walaupun mereka berjaya ditangkap, pihak polis masih sukar untuk mengesan kemana perginya barang-barang kemas yang mereka telah rompak. Ada diantara mereka yang menyorokkan barang kemas tersebut di dalam kubur ahli keluarga mereka dan pihak polis terpaksa menggali semula kubur tersebut.

Hanya seorang sahaja ahli kumpulan tersebut yang masih bebas iaitu yang mana hanya dikenali sebagai Basil. Sebanyak USD18,000 telah ditawarkan kepada mereka yang berjaya memberikan maklumat dimana Basil berada. Ahli kumpulan mereka yang lain termasuk Brian Reader telah dipenjara selama enam ke tujuh tahun.

KATALAKI: Pada April 2017, sebuah filem yang diadaptasi daripada kes ini telah dikeluarkan yang bertajuk The Hatton Garden Job.

ϟ Trending

Last modified: 6 December 2019