Rompakan Yang Mencipta Terma ‘Stockholm Syndrome’

Sembang, ZAP, ZeKool

Kalau siapa peminat kugiran Muse dari United Kingdom mesti familiar dengan perkataan Stockholm Syndrome ni sebab ia merupakan salah satu tajuk lagu di dalam album Absolution yang dikeluarkan pada tahun 2003. Stockholm Syndrome ni membawa maksud satu situasi di mana mangsa penculikan mula mempercayai dan suka kepada si penculik semasa mereka diculik. Satu situasi yang pelik bila kita tiba-tiba sukakan penjenayah yang menjadikan kita sebagai mangsanya, tapi ianya merupakan satu kejadian yang pernah berlaku. Kalau siapa yang menonton drama siri rompakan Money Heist mesti ingat lagi macam mana Monica yang pada awalnya menjadi tebusan akhirnya jatuh cinta dengan Denver, salah seorang perompak. Dan kalau korang nak tahu, scene tu memang diambil dari kejadian sebenar.

ROMPAKAN UNTUK BEBASKAN PENJENYAH

Kejadian ini berlaku di Sweden pada tahun 1973, di mana seorang lelaki bernama Janne Olsson telah menyerang masuk sebuah bank di tengah bandar Stockholm dengan niat melakukan satu rompakan. Cumanya rompakan Olsson bukan lah semata-mata untuk duit, tetapi dia demand kepada pihak berkuasa untuk membebaskan seorang gangster yang jahat dari penjara, iaitu Clark Olofsson.

Empat orang tebusan yang bekerja sebagai kerani dijadikan tebusan. Kira kerani perempuan muda lah. Dengan itu Olsson menyatakan permintaannya kepada polis beserta dengan duit tiga juta krona dan dua senjata. Maka bermula lah kisah rompakan yang berlangsung selama enam hari. Selama enam hari tu juga lah rompakan itu disiarkan secara langsung ke seluruh Sweden dan juga dunia.

DARI ROMPAKAN TURUN KE HATI

Seorang tebusan bernama Kristin Enmark yang berusia 23 tahun dikatakan antara yang termuda daripada semua tebusan. Melalui panggilan telefon antaranya dengan Perdana Menteri Sweden pada waktu itu, Enmark meminta untuk melepaskan dia keluar dari bank tersebut bersama penculiknya, iaitu penjenayah yang sedang melakukan rompakan itu. Enmark dikatakan tidak takut kepada kedua penjenayah itu dan mempercayai mereka sepenuhnya. Tak tahu lah ayat cintan apa yang dah dituturkan kepada Enmark sampai dia berfikiran sebegitu.

Enmark sehinggakan merayu kepada tebusan yang lain supaya membenarkan Olsson menembak kaki tebusan lain supaya polis menganggap permintaannya itu serius. Selepas beberapa tahun dari kejadian tu, bila pakar psikologi menjalankan ujian kepada Enmark, dia mengatakan yang dia bingung dan pelik dengan cara dia bertindak semasa rompakan berlangsung. Sepanjang rompakan, seolah-olah Enmark sudah tiada moral lagi selepas mula mempercayai penjenayah tersebut.

MENJADI PERHATIAN MEDIA

Seperti dalam drama rompakan yang besar, pihak media berkumpul dan berkhemah di luar bank bagi mendapatkan update terkini rompakan itu. Pihak polis juga mengatakan bahawa ia satu rompakan yang tidak pernah dilakukan, dan itu kali pertama mereka menangani kes sebegitu. Pihak polis memberikan update kepada media di situ tentang situasi yang sedang mereka uruskan, manakala Olsson dan Olofsson mendengar laporan media melalui radio. Mereka turut menghubungi pihak media dan menceritakan situasi dari pihak mereka pula. Semasa ditemubual oleh Radio Sweden, Olofsson mengatakan tugasnya hanya lah sebagai perunding sahaja dan dia tidak mahu melihat sebarang pertumpahan darah atau sesiapa sahaja ditembak mati.

Tidak lama kemudian, pihak polis mendapati Olofsson telah merancang segala-galanya daripada awal lagi bersama Olsson bagi membolehkannya lari daripada penjara. Dia sentiasa satu langkah kehadapan dari pihak polis. Mungkin kah Olofsson adalah ‘Professor’ seperti dalam cerita Money heist?

PENJENAYAH BERTUKAR BAIK?

Bagaimana rompakan itu berakhir adalah apabila pihak polis menghentikan penghantaran makanan dan air, serta memutuskan bekalan elektrik, dan akhirnya menyemburkan gas pemedih mata. Tindakan polis ini sepatutnya tidak ada di dalam pilihan kerana boleh mencetuskan tragedi yang lebih besar sekiranya penjenayah tersebut mula membunuh tebusan. Tetapi Olsson mengatakan agak sukar untuk dia membunuh tebusan sebab kesemua tebusan memberikan kerjasama dan dia mula mengenali tebusan-tebusan itu. Nasib baik juga lah jadi macam tu kalau tak semua tebusan ditembak mati kot. Disebabkan Stockholm Syndrome, rompakan itu pun berakhir dan tebusan semuanya selamat.

KATALAKI: Kalau seseorang tu dah mencuri hati kita, adakah kita dah jatuh hati kepada seorang pencuri?

Last modified: 21 May 2020