Rui Pinto, Hacker Yang Kantoikan Manchester City

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Salam takziah kepada penyokong Manchester City selepas UEFA mengumumkan yang Manchester City didenda daripada menyertai UEFA Champions League selama 2 musim. Siapa je yang tak murung bila pasukan yang disokong tak dapat beraksi di pentas kejohanan bola sepak tertinggi di Eropah, juga boleh dikira tertinggi di dunia.

Denda yang dikenakan kepada Manchester City ni berpunca daripada kesalahan Manchester City yang menyatakan Manchester City menerima nilai tajaan yang lebih tinggi berbanding nilai sebenar dalam laporan kewangan kelab. Walau bagaimanapun, keputusan sebenar mengenai denda yang dikenakan kepada Manchester City oleh UEFA akan dimuktamadkan selepas selesai proses rayuan nanti.

Berita mengenai kesalahan Manchester City melanggar undang-undang UEFA Financial Fair Play (FFP) dikatakan mula timbul selepas sebuah laman web yang dikenali sebagai Football Leaks, diketuai oleh seorang pakar IT, Rui Pinto pada tahun 2018.

Kalau korang masih tak faham mengenai FFP, secara dasarnya, UEFA menetapkan undang-undang FFP untuk mengawal nilai perbelanjan yang dilakukan oleh setiap pasukan supaya tidak melebihi daripada nilai keuntungan yang diterima oleh setiap pasukan bola sepak di Eropah.

Rui Pinto bukan je pernah membongkarkan mengenai laporan kewangan Manchester City. Kali pertama Rui Pinto berani membocorkan mengenai salah laku pasukan bola sepak berlaku pada tahun 2015 melibatkan sebuah pasukan di Belanda iaitu FC Twente. Hasilnya, FC Twente digantung daripada menyertai sebarang kejohanan bola sepak Eropah selama 3 tahun.

Pada bulan Januari 2019, Rui Pinto ditahan oleh pihak polis di Budapest, Hungary atas arahan pihak berkuasa Portugal selepas membongkarkan beberapa dokumen sulit yang melibatkan pasukan bola sepak Eropah antaranya FC Twente, AS Monaco, FC Barcelona, Tottenham Hotspur, Real Madrid, Paris Saint-Germain dan Manchester City.

Harap bertabahlah pengurus, pemain, penyokong dan semua pihak yang ada kena-mengena dengan Manchester City. Dah banyak sangat dah berita yang mengatakan Pep Guardiola nak chow, pemain-pemain nak chow dan semua lah nak chow sebab Manchester City tak dapat main UEFA Champions League selama 2 musim. Masa ni gak lah dorang diuji sama ada kekal kental bersama atau masing-masing cabut. Mentaliti dorang pun kena kental masa ni. Tapi, kalau Manchester City memang dah terbukti bersalah selepas selesai proses rayuan nanti, kena lah terima hukuman yang setimpal dengan hati yang terbuka.

Korang ingat lagi tak Juventus pernah diturunkan liga sebab didapati bersalah atas kesalahan mengatur keputusan pengadil untuk beberapa perlawanan Serie A dan Serie B, Itali?

KATALAKI: Korang rasa ada tak pemain Manchester City yang chow?

Last modified: 18 February 2020