Sah Join Chelsea, Followers Terus Capai 1 Juta

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Salah satu impak besar yang diterima oleh seorang pemain bola apabila menyertai kelab yang beraksi di Premier League adalah populariti yang naik mencanak, terima kasih kepada media sosial. Tapi, kalau pemain tersebut belum lagi membuktikan kehandalan di atas padang, belum tentu lagi boleh popular. Contohnya, Mohamed Salah gagal untuk membina populariti ketika beraksi bersama Chelsea pada tahun 2014 disebabkan takde siapa yang nampak bukti kehebatan Mohamed Salah masa tu. Silap-silap, ada lagi antara kita yang baru tahu Mohamed Salah pernah bersama Chelsea sebelum berpindah ke A.S. Roma dan kini beraksi cemerlang bersama Liverpool.

Yang terbaru, Timo Werner yang secara rasmi bakal bergelar pemain terbaru Chelsea bermula 1 Julai 2020 nanti sudah pun mula mencipta populariti di kalangan peminat-peminat Chelsea dan penggemar liga bola sepak England, Premier League apabila berjaya mengumpul seramai 1 juta followers di Instagram. Belum lagi menjejakkan kaki di pusat latihan Chelsea, tapi populariti dah mencanak naik. Kalau tengok caption yang dimuat naik oleh Timo Werner, dirinya sendiri terkejut dengan pencapaian terbaru yang diterima walaupun masih lagi ada baki perlawanan yang perlu diharungi bersama RB Leipzig sehingga selesai saingan Bundesliga dan UEFA Champions League untuk musim 2019/20.

Timo Werner yang lahir pada 6 Mac 1996 dan berasal dari Jerman, dah mula dikenali ramai sejak menjadi penyerang utama bersama RB Leipzig pada tahun 2016 dengan gerakan yang lincah dan penyudah yang tajam walaupun belum pernah lagi menjulang sebarang piala di liga bola sepak Jerman, Bundesliga.

 

View this post on Instagram

 

We have reached an agreement with RB Leipzig to sign @timowerner! 🤝 Link in profile! #CFC #Chelsea

A post shared by Chelsea FC (@chelseafc) on

Sebelum menyertai RB Leipzig, Timo Werner memulakan karier profesional sebagai pemain bola sepak selepas menyertai VfB Stuttgart pada tahun 2013 ketika berumur 17 tahun. Semasa beraksi bersama VfB Stuttgart, Timo Werner pernah mencipta beberapa rekod dalam sejarah kelab VfB Stuttgart antaranya pemain termuda yang beraksi dalam perlawanan rasmi liga bola sepak Jerman, pemain termuda yang beraksi dalam perlawanan peringkat Eropah dan pemain termuda yang berjaya menjaringkan gol untuk VfB Stuttgart. Semua rekod yang dicipta oleh Timo Werner ni berlaku ketika umur baru berusia 17 tahun. Pencapaian tertinggi yang pernah diraih oleh Timo Werner setakat ni adalah kejayaan menjulang Piala Konfederasi FIFA pada tahun 2017 bersama pasukan kebangsaan Jerman. Timo Werner juga berjaya menang anugerah penjaring gol terbanyak di kejohanan Piala Konfederasi FIFA 2017.

Kehebatan Timo Werner di mata penggemar Premier League masih lagi belum terbukti selagi Timo Werner belum lagi turun beraksi bersama kelab baru, Chelsea untuk musim terbaru Premier League 2020/19 nanti. Sama ada Timo Werner mampu menandingi kehebatan bekas penyerang tajam Chelsea, Didier Drogba dan Diego Costa atau menerima nasib yang sama macam Radamel Falcao, Álvaro Morata dan Andriy Shevchenko yang gagal di Chelsea, sama-sama kita nantikan.

KATALAKI: Rasanya memang kempunan kita nak tengok Lionel Messi beraksi di Premier League.

Last modified: 19 June 2020