Sebab COVID-19, Portugal Pegang Piala EURO Lebih Setahun

Aktif, Bola

Berlangsung 4 tahun sekali sejak kali pertama diadakan pada tahun 1960, UEFA EURO yang dahulunya dikenali sebagai European Nations Cup, sebuah kejohanan bola sepak peringkat antarabangsa yang menghimpunkan pasukan-pasukan bola sepak kebangsaan Eropah bersaing sesama sendiri untuk merebut sebuah piala dan gelaran juara Eropah.

Sejak kali pertama dianjurkan pada tahun 1960, jumlah pasukan yang terlibat pun dah berubah banyak kali. Bermula dengan hanya 4 pasukan yang terlibat sehingga tahun 1976, seterusnya ditambah kepada 8, 16 dan yang terkini sejak tahun 2016, sebanyak 24 pasukan yang terlibat dalam setiap kejohanan UEFA EURO.

Setakat ni, ada 2 pasukan yang merupakan pasukan paling berjaya dalam kejohanan UEFA EURO selepas berjaya menjulang piala sebanyak 3 kali iaitu Jerman pada tahun 1972, 1980, 1996 dan Sepanyol pada tahun 1964, 2008, 2012. England dan Belgium tak pernah lagi merasa pegang piala UEFA EURO walaupun sentiasa melahirkan bintang bola sepak ternama.

Pada 17 Mac 2020, sejarah baru sedang dicipta dan bakal tercipta selepas kejohanan UEFA EURO yang sepatutnya berlangsung pada bulan Jun dan Julai tahun 2020, terpaksa ditunda ke tahun 2021 disebabkan penularan wabak COVID-19 yang menyerang dunia dan mengganggu jadual dan perancangan bola sepak di seluruh dunia.

Ini bermakna, juara UEFA EURO 2016 iaitu Portugal akan mencipta sejarah baru, memegang gelaran juara Eropah selama 5 tahun melalui satu kejohanan UEFA EURO. Walau bagaimanapun, Portugal belum boleh mengalahkan Sepanyol yang kekal bergelar juara Eropah selama 8 tahun melalui dua kejohanan UEFA EURO secara berturut-turut pada tahun 2008 dan 2012 sebelum hilang takhta kepada Portugal pada tahun 2016.

Kalau korang boleh ingat lagi, dalam perlawanan akhir EURO 2016 yang menemukan pasukan Portugal dan Perancis, Cristiano Ronaldo terpaksa keluar awal disebabkan kecederaan yang dialami semasa di dalam padang. Cristiano Ronaldo meraung sebab tak puas beraksi di perlawanan akhir bersama Portugal. Masa perlawanan ni juga, Cristiano Ronaldo membantu pengurus Portugal, Fernando Santos, sama-sama menjerit dari tepi padang untuk bagi sokongan moral dan taktikal kepada pemain di dalam padang.

Portugal tak pernah menjulang apa-apa piala kejohanan bola sepak antarabangsa sehingga lah Cristiano Ronaldo muncul di dalam pasukan dan kini Portugal dah pernah merasa pegang piala UEFA EURO 2016 dan piala UEFA Nations League 2018/19.

KATALAKI: Rasa macam dah lama betul tak tengok perlawanan bola sepak secara live.

Last modified: 26 March 2020