Sebab Sebenar ‘Virtual Reality’ Buat Orang Pening

Sembang, ZAP, ZeKool

Virtual reality (VR) atau pun dalam bahasa Melayu disebut sebagai realiti maya merupakan persekitaran yang dihasilkan oleh komputer dan boleh dilihat oleh kita melalui komputer atau menggunakan paparan stereoskop khas. Rasanya korang mesti familiar dengan VR sebab benda ni pernah famous kejap beberapa tahun lepas. Benda baru diperkenalkan mesti lah hype sikit masa tu. Tapi semasa diperkenalkan, ramai juga yang cakap VR tu buat diorang pening. Sampai sekarang pun masih lagi ada yang kata VR buat diorang rasa pening. Bila dah pening terus jadi tak berapa seronok nak main dengan VR ni. Jadi apa sebabnya VR ni boleh buat orang pening?

Realiti maya dilihat sebagai satu puncak kemajuan dalam dunia teknologi, tetapi satu perkara yang membuatkan ianya kurang digemari adalah kesannya terhadap keselesaan pengguna. Macam mana nak selesa kalau lepas pakai je rasa pening. Kesan pening kepala ini juga disebut sebagai ‘cybersickness.’ Orang yang mengalami kesan sampingan ini selepas terdedah kepada VR akan menunjukkan gejala seperti mual dan muntah, rasa tidak selesa, pening kepada, serta keletihan. Walau bagaimanapun, gejala ini bergantung kepada faktor-faktor lain juga seperti jantina, tahap stress individu, dan juga tempoh penggunaan VR itu sendiri. Kalau kesannya teruk, korang boleh rasa pening selama empat jam. 

SEBAB SEBENAR VR MEMENINGKAN

Para penyelidik telah mengemukakan beberapa teori untuk menjelaskan kenapa VR ni boleh buat orang pening kepala. Dikatakan ketika otak kita (mata kita) menerima maklumat visual yang lain daripada persekitaran sebenar, tubuh kita merasakan seperti tidak berada dalam persekitaran yang dilihat oleh mata kita. Contohnya dalam VR tu kita lihat kita sedang berada di satu bangunan yang tinggi, tapi badan kita tak merasakan seperti itu. Jadi disebabkan terdapat maklumat yang tidak seragam yang diterima secara visual dan sensor, maka ia membuatkan kita rasa pening. 

Satu lagi teori yang dikaitkan dengan situasi ini adalah model ‘neural mismatch’ yang mengatakan bahawa bahagian simpanan neural kita sudah pun mengandungi maklumat tentang pengalaman persekitaran kita. Sekiranya deria kita menerima maklumat yang lain daripada pengalaman kita sebelum ini, kita akan rasa pening. Contohnya seperti VR yang menunjukkan kita berada di bangunan tinggi tadi. Kalau sebelum ni kita dah pernah ada pengalaman berada di bangunan tinggi, tapi bila guna VR lain pula rasanya dari pengalaman sebenar, jadi dia akan mengelirukan sensor dan otak kita dan buat kita rasa pening. 

MACAM MANA NAK HILANGKAN RASA PENING TU?

Para penyelidik masih berusaha untuk mengurangkan kesan pening kepala bila terdedah kepada realiti maya ini. Mungkin masa yang agak lama diperlukan untuk menghasilkan VR yang tidak mendatangkan kesan-kesan sampingan. Tapi dalam masa yang sama juga, kalau korang gemar dengan teknologi VR dan nak bermain permainan video menggunakan VR, ada beberapa cara yang korang boleh gunakan untuk mengurangkan kesan sampingannya. 

Antaranya korang boleh bina toleransi terhadap kesan sampingan VR dengan bermain dalam sesi yang pendek dahulu. Kalau rasa pening, duduk lah dulu. Bila dah biasa, mungkin korang tak akan rasa pening untuk bermain dalam tempoh yang lebih lama. Selain itu, boleh juga letakkan kipas di tepi sebab pengudaraan yang baik dan sejuk mampu melegakan rasa pening tu. Perut sudah diisi dengan makanan serta terhidrasi dengan baik pun boleh kurangkan kesan pening kepala ni. Jadi sebelum main makan lah dulu dan pastikan minum air secukupnya. Cara yang terakhir adalah dengan menetapkan masa bermain VR walaupun masa tengah main tu belum rasa pening lagi. 

KATALAKI: Main game dalam virtual reality ni memang best tapi bila pening tu jadi tak best pula…

Last modified: 26 June 2020