Sebelum Joe Exotic, Ini Filem Kisah Benar Lakonan Nicolas Cage

Sembang, ZAP, ZeKool

Nicolas Coppola atau lebih dikenali sebagai Nicolas Cage, merupakan salah seorang pelakon ternama di Hollywood yang mula aktif dalam dunia perfileman sejak tahun 80an, pernah menang beberapa anugerah di Academy Awards dan Golden Globe Awards, kini disebut sebagai pelakon pilihan utama untuk memegang watak Joe Exotic yang baru-baru ni semakin popular disebabkan drama dokumentari bertajuk Tiger King, ditayangkan di Netflix. Kalau masa zaman muda dulu, Nicolas Cage mampu buat mak-mak kita semua cair bila beraksi di dalam filem atau drama.

Pernah melakonkan bermacam-macam jenis watak dan genre sejak kali pertama memperkenalkan diri sebagai pelakon filem pada tahun 1982, Nicolas Cage pernah meletup di seluruh dunia menerusi beberapa filem yang mendapat pujian dan liputan antarabangsa antaranya Leaving Las Vegas, Face/Off, Con Air, The Rock, National Treasure dan juga pernah menyumbangkan suara untuk watak Peter Parker dalam filem Spider-Man: Into the Spider-Verse pada tahun 2018.

Sepanjang terlibat dalam dunia perfileman, Nicolas Cage pernah gak berlakon dalam filem yang diinspirasikan daripada kisah benar sebelum ni yang bertajuk The Frozen Ground, ditayangkan pada tahun 2013. Filem The Frozen Ground berdasarkan sebuah kisah jenayah pembunuhan bersiri yang berlaku sekitar tahun 1971 sehingga 1983, melibatkan seorang penjenayah dikenali sebagai Robert Hansen yang menculik, merogol dan membunuh 17 orang perempuan di Alaska, Amerika Syarikat.

Walau bagaimanapun, watak Robert Hansen bukan dilakonkan oleh Nicolas Cage, tapi John Cusack yang memegang watak Robert Hanson dan Nicolas Cage sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab memburu Robert Hanson sehingga berjaya ditangkap. Walaupun mutu lakonan Nicolas Cage dipuji, tapi filem The Frozen Ground gagal menambat hati penonton.

Sebelum terlibat dalam filem The Frozen Ground, Nicolas Cage juga pernah melakonkan watak penjenayah yang berdasarkan kisah benar seorang penyeludup senjata api, Viktor Bout yang aktif melakukan jenayah penyeludupan senjata api di sekitar tahun 90an dan 2000, menerusi filem Lord of War, ditayangkan pada tahun 2005. Tapi, filem ni bukan menceritakan jalan cerita sebenar mengenai jenayah yang dilakukan Viktor Bout, sebaliknya, hanya menjadikan kisah Viktor Bout sebagai rujukan.

Buat masa ni, drama bersiri mengenai kisah benar Joe Exotic yang dilakonkan oleh Nicolas Cage masih lagi dalam pembikinan. Sementara kita tunggu macam mana hasilnya Nicolas Cage melakonkan watak Joe Exotic, boleh lah layan dulu dokumentari bersiri Tiger King yang ditayangkan di Netflix untuk lebih mengetahui jenayah apa yang pernah dilakukan oleh Joe Exotic.

KATALAKI: Tak sabar gak nak tengok macam mana rupa Nicolas Cage dengan gaya rambut dan misai Joe Exotic.

Last modified: 14 May 2020