Sejarah Baju Melayu Yang Korang Patut Tahu!

Sembang

Bila nak dekat Hari Raya Aidilfitri, ramailah yang kelam kabut mencari Baju Melayu, jubah, baju kurung dan juga kebaya untuk dipakai pada hari raya nanti. Sekarang ini macam-macam jenis Baju Melayu yang pelik-pelik kita boleh nampak orang jual.

Ada jubah jersey bola, baju melayu Thor, baju melayu sendat macam balut nangka and macam-macam lagilah. Aku harap raya nanti tak adalah kawan-kawan aku yang pakai baju macam ini. Banyak lagi Baju Melayu tradisional yang cantik dan lagi molek untuk dipakai.

Kalau korang nak tahu, pemakaian Baju Melayu dikatakan bermula semenjak pemerintahan Sultan Muhammad Shah, sultan ketiga daripada empayar kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1424 sehingga 1444. Dahulunya Baju Melayu direka dengan berlengan pendek (3 suku) namun ada juga yang direka tanpa berlengan.

Baju Melayu asalnya dicipta dengan dua gaya leher iaitu Teluk Belanga dan Cekak Musang dan hanya boleh dipakai oleh Raja dan Sultan sahaja. Semasa zaman Sultan Abdul Jalil IV diangkat menjadi Sultan Johor, seluar Baju Melayu direka agak berlainan daripada sekarang yang mana ia agak pendek sehingga paras betis.

Pada tahun 1699, rekaan Baju Melayu dan seluar Baju Melayu telah diubah yang lengan Baju Melayu telah dipanjangkan sehingga ke pangkal lengan dan untuk seluar juga dipanjangkan sehingga ke buku lali. Selalunya Baju Melayu dijahit menggunakan fabrik jenis kapas bagi membuatkan pemakai lebih selesa bila memakainya.

Biasanya Baju Melayu dipakai dengan samping dan juga songkok bagi melengkapkan lagi pemakaiannya. Di Singapura, Baju Melayu biasanya hanya dipakai untuk pergi sembahyang jumaat dan juga semasa Hari Raya Aidilfitri sahaja namun berbeza untuk orang Brunei dan Malaysia.

Bagi orang Malaysia dan Brunei, kita biasanya memakai Baju Melayu bukan sahaja untuk pergi solat jumaat dan pada hari raya tapi turut memakainya untuk majlis-majlis keagamaan, acara-acara formal seperti majlis perkahwinan. Lagi satu di Singapura, mereka sering memanggil Baju Melayu sebagai Baju Kurung yang mana di Malaysia Baju Kurung adalah pakaian tradisional kaum wanita.

Kalau korang nak tahu, Baju Melayu Teluk Belanga atau Baju Kurung Johor mula diperkenalkan pada pemerintahan Almarhum Sultan Abu Bakar. Almarhum telah menetapkan yang bahawa baju lelaki mesti labuh sehingga melebihi punggung dengan leher yang berlapik agak lebar sedikit dan juga mempunyai dua kocek pada bahagian hadapan.

Terdapat pelbagai sulaman yang tedapat pada bahagian leher Baju Melayu Teluk Belanga seperti sulaman Mata Lalat, Tulang Belut dan Insang Pari. Semasa pemerintahan Almarhum Sultan Ibrahim Ibni Sultan Abu Bakar, Menteri Besar Johor yang pertama iaitu Allahyarham Jaafar bin Haji Muhammad telah mencadangkan menambah satu lagi kocek pada Baju Melayu Teluk Belanga menjadikannya tiga kocek.

Bagi pemakaian samping pula terdapat beberapa cara ikatan yang dahulunya di pakai mengikut darjat seseorang. Antara ikatan yang biasa kita tengok adalah Ikatan Pancung yang biasanya digunakan oleh Raja, Sultan dan Kerabat Diraja. Manakala pembesar-pembesar istana pula biasanya mengenakan Ikatan Kembung dan untuk orang kebanyakan pula mengenakan Ikatan Lingkup.

KATALAKI: Siapa yang pakai baju melayu yang pelik-pelik datang beraya rumah aku, aku halau dengan batang penyapu!

Last modified: 29 May 2019