Sejarah Hitam Pulau Jerejak Di Pulau Pinang

Sembang, ZeKool


Pulau Pinang ni merupakan salah satu destinasi pelancongan yang popular dekat Malaysia. Boleh dikatakan selain Kuala Lumpur, pelancong asing menjadikan Pulau Pinang salah satu destinasi wajib melancong ke negara kita. Tapi tempat tarikan semua ada dekat belah pulau lah walaupun Seberang Perai sebenarnya sebahagian dari negeri tersebut. Kalau orang Penang depa bezakan antara penduduk di pulau dan di ‘mainland’ iaitu di Seberang Perai.

Selain kawasan di Pulau Pinang tu sendiri yang penuh dengan sejarah, terdapat sebuah pulau kecil berhadapan dengannya yang juga merupakan tapak warisan Malaysia. Ia dikenali dengan nama Pulau Jerejak. Aku tahu tak ramai sebenarnya yang tahu cerita pasal Pulau Jerejak ni, tapi pulau ni sebenarnya menyimpan banyak sejarahnya yang tersendiri sehingga mendorong para aktivis warisan untuk mengiktiraf Pulau Jerejak sebagai tapak Warisan Dunia UNESCO.

DIJADIKAN PENEMPATAN PESAKIT KUSTA DAN TUBERKULOSIS

Seawal tahun 1868, mereka yang menghidapi penyakit kusta akan diasingkan di Pulau Jerejak. Penyakit ini merupakan satu penyakit berpunca daripada sejenis bakteria bernama Mycobacterium leprae yang membuatkan mereka yang dijangkiti mempunyai simptom yang ketara di bahagian muka. Pada waktu itu orang ramai takut dengan penyakit ni sebab ingat penyakit ni boleh dijangkiti melalui sentuhan. Jadi memang normal lah kalau pesakit kusta ni pergi mengasingkan diri, dan dikatakan mereka sudah pun mengasingkan diri lebih awal daripada tahun 1868.

Sehingga tahun 1940an penawar kepada penyakit ini tidak dijumpai dan mereka yang terkena penyakit ni terpaksa menerima keadaan mereka yang diasingkan dari masyarakat. Pada tahun 1926, Akta Enakmen Kusta telah diwartakan dan mereka yang menghidapi penyakit ini wajib diasingkan. Di Malaysia, terdapat dua tempat pengasingan bagi pesakit kusta, iaitu di Pulau Jerejak dan juga di Sungai Buloh Leprosarium yang ditubuhkan pada tahun 1930. Lebih 7,000 pesakit kusta pernah ditempatkan di pulau tersebut.

Pesakit kedua yang ditempatkan di Pulau Jerejak adalah pesakit Tuberculosis (TB). Penyakit yang menyerang Pulau Pinang sebelum merdeka ini merebak melalui batuk. Jadi mereka yang dijangkiti TB akan dibawa ke pulau tersebut untuk diasingkan bersama pesakit kusta, cumanya mereka tidak tinggal secara berdekatan. Pada tahun 1948, sebuah pusat perubatan TB dibina dibahagian selatan Pulau Jerejak.

Lepas penyelidikan mendalan dijalankan, baru lah diorang tahu yang pesakit kusta ni tak boleh berjangkit melalui sentuhan. Kesian pesakit kusta yang diasingkan tu semua. Jadi pada tahun 1969 kesemua pesakit kusta yang lebih 7,000 orang tu meninggalkan pulau tersebut dan dipindahkan ke Sugai Buloh bagi mendapatkan rawatan lanjut.

TEMPAT TAHANAN PERANG?

Pulau Jerejak juga dikatakan menjadi tempat tahanan perang Asia oleh tentera Jepun. Selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dan Jepun menyerah kalah, kesemua tahanan dilepaskan semula untuk pulang ke negara masing-masing. Ada juga laporan yang menyatakan pulau tersebut pernah dijadikan sebagai penjara tahanan politik pada tahun 1948 oleh pihak British. Beberapa sumber juga mengatakan Pusat Pemulihan Pulau Jerejak mula beroperasi pada tahun 1969 di bawah Jambatan Penjara Malaysia.

Selain itu, berikutan dari insiden 13 Mei, Penjara Jerejak juga dijadikan penempatan tahanan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan Awam dan Pencegahan Jenayah 1969). Tambahan lagi, pulau tersebut turut dijadikan tempat tahanan orang yang ditangkap atas tuduhan Akta Dadah Berbahaya 1985. Terdapat satu peristiwa batahan juga yang berlaku di Penjara Jerejak di mana 100 orang tahanan memusnahkan sebahagian bangunan penjara sebagai tanda bantahan terhadap hukuman mereka yang dilanjutkan dengan tiba-tiba. Jadi korang boleh bayangkan lah macam-macam jenis orang yang pernah diasingkan di Pulau Jerejak menjadikan ia sebagai pulau yang menyimpan sejarah hitam di Malaysia.

KATALAKI: Dekat Pulau Jerejak ada dua kubur tentera Rusia yang dikebumikan di situ. So kalau jadi tempat pelancongan memang agak seram…


Last modified: 3 June 2020