Sejarah Penjara, Banduan Dan Buruh Kasar Di Malaysia

Sembang, ZAP, ZeKool

Sistem penjara di negara kita mempunyai rantaian sejarah sehingga ke zaman kesultanan melayu lagi. Pada ketika itu, mereka yang melakukan jenayah akan dipenjarakan mengikut hukuman yang ditetapkan oleh pembesar negeri. Banduan kebiasaannya diletakkan di dalam satu bangunan dalam tempoh yang ditetapkan mengikut jenis kesalahan. Walaupun boleh mendapatkan pengampunan daripada Sultan ketika itu, ianya amat tipis. Penjara dijadikan sebagai satu bentuk pengajaran untuk masyarakat waktu itu supaya tidak melakukan kesalahan jenayah. Selain itu, hukuman berat yang diwujudkan juga adalah bertujuan membendung penentangan masyarakat tempatan kepada pembesar dan pemerintah.

Sistem penjara tersebut kekal sehinggalah kedatangan penjajah. Tapi sistem penjara pada zaman Portugis dan Belanda di Melaka kurang diketahui umum. Maka ia tidak membawa legasi kepada sistem penjara zaman moden.

PERMULAAN PENJARA MODEN DI TANAH MELAYU

Penjara moden di tanah melayu telah bermula sejak abad ke-18 lagi seiring dengan perkembangan aktiviti dan pendudukan The East India Company (EIC) di Pulau Pinang. EIC memperkenalkan sistem penjara dari India, yang merupakan tanah jajahan British pada waktu itu. Tapi sebelum mereka berada di Pulau Pinang, penempatan EIC bermula di Bangkahulu pada tahun 1787, tiga tahun sebelum Francis light tiba di Pulau Pinang. Jadi penempatan banduan di kepulauan Melayu berasaskan taraf Bangkahulu sebagai Penal Settlement yang diberikan kerajaan Inggeris kepada EIC. Penal Settlement bermaksud sesuatu pulau atau kawasan yang dijadikan sebagai tempat buangan untuk banduan dari tanah asing yang lain. Dalam bahasa mudah, kepulauan melayu dijadikan sebagai tempat buangan banduan.

Kalau korang nak tahu, dengan adanya Penal Settlement ini, Australia pernah dijadikan sebagai tempat buangan bagi banduan dari England dan Ireland. Tepat pada 11 Ogos 1786, Francis Light mengibarkan bendera Union Jack di Pulau Pinang dan menamakannya Prince of Wales Island. Dan Lord Cornwallis melawat Pulau Pinang pada bulan Februari 1790 untuk melihat sendiri kedudukan strategik Pulau Pinang. Bagi membangunkan sesuatu kawasan mesti lah mereka memerlukan tenaga buruh yang ramai untuk membuat kerja-kerja binaan. Jadi di sini lah EIC memainkan peranan dengan membekalkan tenaga buruh ke Pulau Pinang.

BURUH KASAR DAN JUGA BANDUAN

Pada tahun 1793, EIC membuka Pulau Andaman bagi menempatkan banduan-banduan disebabkan mereka menghadapi masalah kepadatan banduan di penjara India. Ianya menggunapakai Penal Settlement yang aku cakapkan tadi. Salah satu penjara besar di Alipur berhampiran Calcutta dan penjara daerah yang kecil di Bombay serta Madras sedang menghadapi kepadatan banduan ketika itu. Walaupun dilihat sebagai satu masalah, EIC telah menjadikan banduan ini sebagai cheap labor. Jadi kesannya, banduan di India menjadi sumber tenaga buruh yang murah bagi membina pelabuhan, jalan raya, jalan keretapi dan infrastruktur lain di tanah-tanah jajahan British. Satu lagi akta diwujudkan oleh pihak British untuk membawa banduan-banduan ini dalam skala yang besar, iaitu Transportation Act.

Image via:https://commons.wikimedia.org/

Menjelang akhir abad ke-18 dan awal abad ke-19, satu usaha secara besar-besaran dilakukan bagi membawa banduan dari India ini ke tanah jajahan British di Asia Tenggara, dan ini termasuk lah di Pulau Pinang, Melaka dan Singapura. Ia merupakan sebahagian daripada sistem antarabangsa terhadap forced migration. Jadi Negeri-Negeri Selat telah menerima kesan besar hasil daripada migrasi paksaan yang dilakukan oleh pihak British ini. Akta ini hanya memenuhi kepentingan pihak British dalam mengejar keuntungan ekonomi di tanah jajahan baharu.

Francis Light juga terlibat secara langsung dalam rancangan EIC yang mahu jadikan tanah jajahan sebagai tempat buangan banduan dari India. Pada tahun 1790, Pulau Pinang pun menjadi tempat buangan banduan yang datang dari India. Manakala Melaka dan Singapura adalah pada tahun 1825. Jadi masalah kepadatan banduan di penjara di India dapat diselesaikan dan dalam masa yang sama EIC turut dapat bekalan tenaga buruh yang murah. Ketika EIC dalam proses memperluaskan penguasaan di negeri jajahan, tenaga banduan amat diperlukan.

Sejak dari itu, usaha membawa banduan dari India menjadi satu kegiatan komersial. Banduan yang dibawa dari India pula mempunyai latar belakang jenayah termasuk jenayah berat seperti membunuh.

PENJARA PERTAMA DI MALAYSIA

Menjelang tahun 1790, banduan dari India telah ditempatkan di Pulau Pinang. Mereka ditahan di Fort of Cornwallis yang merupakan penjara pertama di Pulau Pinang. Tempat ini merupakan landmark bagi penubuhan penjara moden di Malaysia. Francis Light merupakan warden penjara pertama yang dipertanggungjawabkan untuk mengendali banduan yang dihantar ke Pulau Pinang. Kumpulan pertama banduan yang di bawa ke Pulau Pinang telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup. Bagi penampung kos perbelanjaan banduan berkenaan, pihak berkuasa dibenarkan mengupah banduan untuk bekerja. Jadi bermula lah era menggunakan banduan sebagai tenaga buruh murah.

Menjelang tahun 1803, pihak British mendirikan pula penjara Cornwallis, sempena nama Lord Cornwallis, dengan menggunakan binaan konkrit, batu bata dan besi. Pembinaan penjara adalah serentak dengan pembangunan Kota Cornwallis. Bagi mengawal keamanan daripada kepesatan penduduk, pihak British mengasaskan undang-undang baharu yang dinamakan Charter of Justice pada tahun 1807.

Semasa penjajahan Jepun dari tahun 1941 sehingga 1945, penjara digunakan sebagai tempat tahanan awam dan juga tawanan perang oleh Tentera Jepun. Dalam tempoh peperangan ini lah, semua rekod mengenai penjara dan banduan dimusnahkan. Selepas tamat perang dunia kedua, pihak British menyusun semula sistem penjara di negeri-negeri Tanah Melayu. Antara langkah utama yang dilakukan adalah menyatukan sistem pentadbiran penjara di bawah kerajaan Persekutuan. Selepas Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, beberapa pindaan akta dilakukan sehingga ke tahun 2000, selari dengan perubahan landskap perkhidmatan rehabilitasi di Malaysia.

KATALAKI: Panjang juga sejarah penubuhan penjara negara kita ni…

Last modified: 12 May 2020