Sejarah Perjuangan Pahlawan Pahang – Tok Gajah

Sembang

Bila cerita pasal perjuangan pahlawan Pahang mungkin akan ada nama-nama lain yang patut disebut juga seperti Mat Kilau, Datuk Bahaman dan juga Mat Lela. Kalau nak ceritakan semua pahlawan-pahlawan lain ni takut artikel ni akan jadi panjang gila, tapi panjang yang menarik lah untuk peminat sejarah Malaysia zaman sebelum merdeka. Tapi tak apa, kali ini Thelaki akan menggali kisah tentang seorang pahlawan Pahang yang dikenali dengan gelaran Tok Gajah. Kisah dan sejarah Tok Gajah ni sebenarnya kita semua dah pernah baca masa zaman sekolah dulu. Tapi mungkin ada juga yang macam aku tak bagi perhatian dalam kelas, so tak ingat apa kisah perjuangan Tok Gajah ni.

SIAPA SEBENARNYA TOK GAJAH?

Tok Gajah atau nama sebenar beliau Imam Rasu bin Shahrum, juga dikenali sebagai Khatib Rasu dan Imam Perang Rasu. Begitu banyak juga nama gelaran yang disandarkan kepada Tok Gajah ini. Mengikut catatan, beliau merupakan Orang Besar Raja Pahang yang memegang gelaran Orang Kaya Indera Gajah Pahang dan juga berkuasa dari Batu Redap sampai ke Kuala Piul, dari Tanjung Sakti sampai ke Kangsa, dari Pedah sampai ke Tanjung Lindung, dan juga lembahan Sungai Budu di Lipis.

Tok Gajah juga merupakan penasihat utama Sultan Ahmad Muazzam Shah, Sultan Pahang dalam segala hal berkaitan dengan Hulu Pahang, iaitu kawasan-kawasan di hilir sungai dari Pulau Tawar. Apa yang menarik tentang Tok Gajah ni, beliau merupakan ayah kepada Mat Kilau, yang juga merupakan pahlawan Melayu Pahang. Mungkin ini yang dikatakan ‘ke mana tumpah kuah, kalau tidak ke nasi.’

PERJUANGAN² TOK GAJAH SEPANJANG HAYATNYA

Kisah perjuangan Tok Gajah bukan lah diambil daripada buku-buku hikayat dongeng, tetapi ia sememangnya kisah yang dicatat dalam sejarah-sejarah Tanah Melayu. Mengikut catatan, Tok Gajah mengetuai pasukan pemberontakan penentangan terhadap penjajahan British pada tahun 1893/1895. Pada ketika itu beliau bersama dengan Datuk Bahaman dan pejuang-pejuang sezamannya yang dipimpin oleh Tok Ku Paloh. Tok Gajah dikatakan sanggup menghadapi askar-askar British yang lengkap dengan senjata moden ketika itu. Semua ini adalah untuk menghalau penjajah British yang mahu merampas pemerintahan negeri Pahang. 

Antara tahun 1891 hingga 1895, Tok Gajah bersama-sama dengan Datuk Bahaman, Datuk Lela dan Mat Kilau berjuang mematahkan pemberontakan Pahang. Dikatakan juga beliau pernah menjadi ketua pasukan perang Sultan Ahmad dalam menentang penjajah Inggeris. Sememangnya penjajah Inggeris pada ketika itu penuh dengan tipu hela dan hanya berniat untuk menguasai negeri-negeri Melayu dan mengaut hasil kekayaan yang ada. 

Selain itu, beliau juga pernah membantu perjuangan Dato’ Bahaman dalam usaha menawan balai polis Lubuk Terua yang berada di bawah kuasa British. Perjuangan ini turut dibantu oleh pembesar lain, iaitu Imam Rasul dan juga Mat Kilau. Tok Gajah dikatakan turut serta melakukan penentangan itu kerana pembinaan balai polis tersebut telah mencabar kuasa Datuk Bahaman sebagai pembesar di Lubuk Terua. Pihak British ketika itu tidak melakukan rundingan pun untuk membuat pembinaan balai polis. Tahu-tahu dah siap. Kalau ikut bahasa moden kita sekarang, memang silap orang lah British dahulu ni cari pasal.

PERANAN PENTING TOK GAJAH 

Kalau ada yang tanya apa jasa terbesar Tok Gajah, ia merupakan idea beliau untuk menentang British secara besar-besaran. Sebelum melakukan penentangan ini, Tok Gajah mengadakan satu pertempuran. Semasa pertempuran tersebut, semua pembesar lain bersumpah menyatakan taat setia kepada Sultan Ahmad. Tok Gajah ketika itu mencadangkan untuk serangan dilakukan secara serentak. Datuk Bahaman mengetuai serangan di Semantan, Sultan Ahmad mempertahankan Chenor, Panglima Muda Jempul menawan Pekan, Mat Kilau dan Tok Gajah menawan Kuala Lipis dan Raub dan kemudian Tok Gajah sendiri ke Kuala Tembeling. Begitu lah perancangan secara bersusun yang diilhamkan oleh Tok Gajah. 

Peranan Tok Gajah terserlah ketika menawan Kuala Tembeling. Peristiwa ini bermula pada akhir 1892 apabila orang Melayu Pahang diusir keluar ke Hulu Kelantan. Waktu itu mereka semua di bawah pimpinan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan juga Tok Gajah. Pada tahun 1894, dikatakan Mat Kilau bersama Tok Gajah membawa 100 pengikut pergi menyerang Inggeris di Kuala Tembeling dan mendirikan kubu di Jeram Ampai. 

TAMATNYA PERJUANGAN SEORANG PAHLAWAN

Pada tahun 1892, pihak British mengeluarkan perintah untuk menangkap Tok Gajah, lalu beliau melarikan diri ke Kuala Ampul di Kelantan, dan kemudian ke Seberang Engku Ngah di Kuala Terengganu. Tapi ia tidak sedikit pun mematahkan semangat juangnya untuk menentang British. Bersama dengan Datuk Bahaman, Mat Kilau dan Mat Kelubi, beliau kembali ke Pahang dan bertempur dengan pasukan British di Jeram Ampai (Sungai Tembeling). Tetapi serangan mereka dikatakan kecundang dan memaksa mereka berundur ke Ulu Kelantan.

Tok Gajah tidak dapat meneruskan perjuangannya. Beliau kemudian berundur ke Hulu Terengganu sebelum meninggal dunia pada tahun 1901. Allahyarham Tok Gajah telah disemadikan di Kampung Pasir Nering, Kuala Brang (Hulu Terengganu). Begitu lah kisah sejarah dan jasa beliau semasa mempertahankan tanah kelahirannya daripada kuasa asing. 

KATALAKI: Pentingnya sejarah macam ni untuk kita menghargai perjuangan nenek moyang kita dahulu sebelum mencapai kemerdekaan…

Last modified: 17 August 2020