Sejarah Roti Paling WANTED Di Malaysia Yang Korang Belum Tahu

Sembang, ZAP, ZeKool

Hari tu jenuh gak la kami mencuba segala jenama roti dalam satu video untuk menentukan jenama roti mana satu yang menghasilkan roti paling sedap di Malaysia. Cuma roti yang kami try hari tu, dalam kategori roti berkrim. Kalau korang belum lagi pernah tengok, boleh la layan dulu jap video kat bawah ni sebelum baca dengan lebih mendalam mengenai roti paling dikehendaki kat Malaysia sekarang ni.

Ternyata, roti keluaran Gardenia adalah roti yang paling digemari oleh rakyat Malaysia selepas bekalan roti di beberapa lokasi serata Malaysia dilaporkan laku macam pisang goreng panas sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan dikuatkuasakan dan hampir menyebabkan rakyat Malaysia menggila.

Gardenia sendiri menerusi Gardenia Bakeries (KL) dah mengeluarkan kenyataan rasmi mengenai isu bekalan roti yang terhad sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan.

Betapa besarnya pengaruh roti Gardenia kat Malaysia ni, majoriti rakyat Malaysia mesti tahu dan familiar dengan lagu rasmi Gardenia. Macam-macam genre lagu Gardenia yang kita dah pernah dengar sebelum ni sama ada dalam versi Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris. Tapi liriknya masih kekal sama.

Ramai yang gemarkannya
Terasa segar sentiasa
Resepi uncle Slocumm
Tinggi kualiti
Gardenia
Sungguh enak dimakan begitu saja

Persoalannya sekarang, korang tahu tak siapa sebenarnya uncle Slocumm sehingga dimasukkan dalam lirik lagu rasmi Gardenia?

Menurut sejarah awal Gardenia, pada tahun 1969, seorang lelaki dari Amerika Syarikat yang dikenali sebagai Horatio Sye Slocumm ditugaskan dan dihantar ke Malaysia oleh International Executive Service Corporation (IESC), sebuah organisasi antarabangsa yang bertanggungjawab meningkatkan taraf hidup masyarakat di seluruh dunia melalui pembangunan syarikat-syarikat perniagaan, untuk memulakan perniagaan yang berasaskan roti memandangkan Horatio Sye Slocumm memiliki pengalaman dalam bidang pembuatan roti lebih dari 30 tahun.

Tiba di Malaysia, Horatio Sye Slocumm bekerjasama dengan ahli perniagaan terkenal di Sabah, Datuk Wong Tze Fatt untuk menubuhkan sebuah syarikat, dikenali sebagai Gardenia Food Industries yang beroperasi di Sabah.

Seterusnya, Gardenia berkembang ke Singapura pada tahun 1978 selepas tertubuhnya syarikat baru, Gardenia International (S) Pte Ltd, bertujuan untuk memasarkan jenama Gardenia di peringkat antarabangsa terutama sekali di negara-negara Asia Tenggara. Takde siapa yang tahu apa perjanjian rahsia yang dimeterai oleh Gardenia Food Industries dan Gardenia International (S) Pte Ltd, pada tahun 1986, sebuah anak syarikat baru di bawah Gardenia International (S) Pte Ltd ditubuhkan iaitu Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd yang bertanggungjawab untuk menghasilkan dan memasarkan produk Gardenia di seluruh semenanjung Malaysia, kecuali Sabah dan Sarawak.

Sebelum ni, Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd pernah mengeluarkan kenyataan untuk menerangkan mengenai kekeliruan di antara Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd dan Gardenia Food Industries. Menurut Gardenia Bakeries (KL) Sdn Bhd, kedua-dua entiti syarikat ni adalah merupakan syarikat yang berbeza, pengurusan yang berbeza, polisi yang berbeza dan sistem operasi yang berbeza. Mungkin sebab ni gak lah ramai yang memperdebatkan mengenai rasa roti Gardenia kat Sabah berbeza dengan roti yang dijual kat semenanjung Malaysia.

Image Via : gardenia.com.my

KATALAKI: Kalau roti Gardenia takde, roti jenama apa yang menjadi pilihan kedua korang?

Last modified: 6 April 2020