Selain PS5, Sony Tayang Kereta Pertama Dalam Sejarah

Sembang

Berita terkini mengenai perkembangan terbaru PlayStation 5 diumumkan oleh Sony sendiri di Consumer Electronic Show 2020 (CES 2020) yang berlangsung pada 7 Januari sehingga 10 Januari 2020 di Las Vegas, Amerika Syarikat. Malang sekali untuk penggemar sejati permainan video PlayStation, pengumuman tersebut hanya lah mengenai logo terbaru PlayStation 5 yang dijangka akan mula dipasarkan di penghujung tahun 2020. Teruk gak lah Sony kena hentam disebabkan logo terbaru PlayStation 5.

Selain daripada berita yang terlalu gempak mengenai logo PlayStation 5, Sony juga buat pertama kalinya mempersembahkan kepada orang ramai mengenai kereta konsep terbaru yang dibangunkan oleh Sony, diberi nama Sony Vision-S.

Dikuasakan sepenuhnya menggunakan tenaga eletrik, Sony Vision-S mampu untuk mencapai kelajuan 100 km/h dalam masa 4.8 saat dengan kelajuan maksimum boleh mencecah sehingga 240 km/h. Sony Vision-S yang digelar kereta masa depan ni juga dilengkapi dengan papan pemuka (dashboard) yang berteknologi tinggi untuk membolehkan penumpang untuk dengar lagu, tengok filem atau drama dan dah semestinya boleh main game.

Sony Vision-S juga dikatakan mempunyai 33 jenis sensor yang diletakkan di semua bahagian dalaman dan luaran kereta termasuk lah kamera. Sony Vision-S mampu untuk bergerak secara auto-pilot dengan pemantauan pemandu, mencari tempat letak kereta yang kosong dan juga boleh memantau tahap fokus pemandu jika pemandu mula merasa mengantuk. Kalau mengantuk, rehat kat tepi dulu bang.

Buat masa ni, Sony belum lagi bagi kepastian sama ada kereta Sony Vision-S akan dipasarkan untuk kegunaan orang ramai atau pun tak. Mungkin kereta konsep Sony Vision-S ni wujud sebab Sony nak tunjuk yang dorangΒ pun mampu untuk membina kenderaan dan menghasilkan teknologi yang ada kena-mengena dengan bidang automotif.

Selain daripada kereta pertama yang dicipta oleh Sony, aplikasi terbaru yang dikatakan bakal menandingi kehebatan YouTube, Netflix dan Disney+ juga antara produk terbaru yang menarik perhatian di CES 2020 hari tu. Dibangunkan oleh bekas pengerusi Walt Disney Studios,Β Jeffrey Katzenberg dan bekas CEO eBay,Β Meg Whitman, aplikasi terbaru tersebut diberi nama Quibi, bakal dilancarkan pada 6 April 2020.

Antara kelainan yang akan ditampilkan menerusi aplikasi Quibi, hanya boleh diakses menggunakan smartphone dan boleh ditonton sama ada secara melintang atau menegak. Ramai gak individu ternama yang dah mula terlibat untuk menghasilkan drama, filem, rancangan realiti bersiri dan dokumentari untuk Quibi ni antaranya Steven Spielberg, Zac Efron, 50 Cent, Jennifer Lopez, pengarah filem Avengers: Endgame dan ramai lagi.

KATALAKI: Macam dah banyak sangat je aplikasi filem dan drama atas talian. Kita yang nak membayar ni yang jenuh.

Last modified: 17 January 2020