Selama 400 Jam, Ducati Panigale V4R Versi Lego Siap Dibina

Sembang, ZAP, ZeKool

Terbukti, permainan Lego bukan hanya boleh dimainkan oleh kanak-kanak, tapi orang dewasa juga layak menghabiskan masa berjam-jam, ada gak yang makan masa selama berhari-hari dan berminggu-minggu untuk menyiapkan sebuah binaan yang diperbuat daripada Lego. Yang terbaru, seorang pereka seni yang dikenali sebagai Riccardo Zangelmi, berjaya menyiapkan sebuah motosikal berkuasa tinggi, Ducati Panigale V4R yang diperbuat daripada Lego, menyerupai saiz sebenar motosikal Ducati Panigale V4R yang selalu bermaharajalela di atas jalan raya.

Riccardo Zangelmi mengambil masa selama 400 jam untuk menyiapkan rangka luaran Ducati Panigale V4R yang diperbuat daripada 15,000 ketulan mainan Lego, terdiri daripada warna merah, hitam dan kelabu tanpa menggunakan sebarang jenis gam. Walaupun hanya menggunakan lego, tapi Ducati Panigale V4R yang dibina oleh Riccardo Zangelmi mempunyai berat 180kg, lebih berat daripada Ducati Panigale V4R yang sebenar.

Sebelum ni, Riccardo Zangelmi memang popular dengan binaan Lego yang melampau dan unik. Semua hasil binaan yang diperbuat daripada Lego dikongsikan sendiri oleh Riccardo Zangelmi di Instagram sehingga layak dipilih sebagai pereka seni rasmi yang diyakini oleh Lego untuk menghasilkan sebuah replika Ducati Panigale V4R bersaiz sebenar.

Ducati Panigale V4R versi Lego yang dibina oleh Riccardo Zangelmi dipertontonkan kepada orang ramai di sebuah acara yang berlangsung di Modena Circuit, Itali, dirasmikan secara gah oleh CEO Ducati, Claudio Domenicali bersama pelumba MotoGP yang menunggang jentera Ducati, Andrea Dovizioso.

Bagi pengumpul mainan Lego yang teringin untuk mencuba sendiri membina Ducati Panigale V4R, korang boleh dapatkan The LEGO® Technic™ Ducati Panigale V4R yang dah mula dijual di pasaran. Tapi, yang boleh dibeli dan dibina sendiri kat rumah ni bukan bersaiz sebenar macam yang dihasilkan oleh Riccardo Zangelmi. Kalau besar macam tu, jenuh lak korang nak siapkan nanti.

Ducati Panigale V4R kali pertama diperkenalkan pada tahun 2019, salah satu variasi Ducati Panigale V4 di samping Ducati Panigale V4S, Ducati Panigale V4 Speciale dan yang terbaru, Ducati Superleggera V4 2020 yang dipasarkan oleh Ducati, mempunyai keupayaan yang sama macam motosikal yang digunakan dalam perlumbaan FIM Superbike World Championship (WSBK). Kelajuan yang dimiliki oleh Ducati Panigale V4R mampu mencapai sehingga 340 km/h.

KATALAKI: Tak dapat beli Ducati Panigale V4 yang sebenar tapi dapat beli yang versi Lego pun okay gak sebenarnya. Silap-silap boleh dijual dengan harga yang lebih mahal pada masa akan datang.

Last modified: 3 July 2020