Selamatkan Sukan Olimpik 1996, Tapi Dituduh Sebagai Pengebom

Sembang

Sejak tahun 1990 sehingga 1999, lebih daripada 20 tragedi ngeri yang melibatkan pengganas pernah berlaku di Amerika Syarikat termasuk lah kejadian pengeboman di tempat umum. Salah satu tragedi pengeboman yang pernah terjadi di Amerika Syarikat, masih dikenang sehingga kini, berlaku pada 27 Julai 1996, ketika berlangsungnya sebuah kejohanan sukan terkemuka di dunia, Sukan Olimpik 1996. Kalau korang boleh ingat lagi, Malaysia menghantar seramai 35 orang atlet untuk bertanding di Sukan Olimpik 1996, berjaya bawa balik 1 pingat perak dan 1 pingat gangsa menerusi acara Badminton yang dimenangi oleh Rashid Sidek dan pasangan beregu Cheah Soon Kit dan Yap Kim Hock.

Kejadian pengeboman yang mengejutkan dunia semasa berlangsungnya kejohanan Sukan Olimpik 1996 berlaku di Centennial Olympic Park, Atlanta, Georgia, ketika orang awam tengah bersesak-sesak untuk menyaksikan sebuah konsert yang menampilkan band Jack Mack and the Heart Attack. Sebelum letupan berlaku, muncul seorang wira yang dianggap pengganas kemudiannya, Richard Jewell, seorang pengawal keselamatan yang ternampak sebuah bag dalam keadaan mencurigakan, diletakkan di bawah kerusi, berdekatan dengan kawasan pentas konsert.

Tanpa menunggu lama, Richard Jewell terus menghubungi pihak berkuasa bersama skuad bom yang bergegas ke tempat kejadian untuk menyiasat kandungan sebenar beg yang dikatakan dalam keadaan mencurigakan. Dalam masa yang sama, Richard Jewell dan pengawal keselamatan yang lain cuba mengosongkan kawasan tersebut secepat yang boleh, bagi melindungi keselamatan pengunjung dan penonton konsert. Belum sempat kawasan tersebut kosong sepenuhnya, beg yang berisi bom tiba-tiba meletup, mencederakan 111 orang dan mengorbankan 1 nyawa.

Richard Jewell yang diangkat sebagai hero pada awalnya, tiba-tiba bertukar menjadi suspek utama selepas sebuah akhbar melaporkan yang FBI mengesyaki Richard Jewell sebagai dalang utama di sebalik tragedi pengeboman yang berlaku. Selepas Richard Jewell didedahkan sebagai suspek utama, pihak media yang lain mula menumpukan perhatian kepada Richard Jewell, dalam masa yang masa, menghentam dan melabelkan Richard Jewell sebagai seorang pengganas. Rumah Richard Jewell digeledah oleh pihak berkuasa beberapa kali, latar belakang dan sejarah kehidupan disiasat dengan terperinci dan pihak media juga berkerumun di sekitar rumah Richard Jewell.

Pada 26 Oktober 1996, cemuhan, tuduhan dan makian yang diterima oleh Richard Jewell akhirnya berakhir selepas pihak berkuasa mengeluarkan surat rasmi mengatakan takde bukti kukuh yang boleh mengaitkan Richard Jewell dengan tragedi pengeboman di Centennial Olympic Park. Wakil pendakwa raya kerajaan Amerika Syarikat juga memohon maaf secara terbuka mengenai kebocoran maklumat yang terlepas kepada pihak media berkenaan siasatan Richard Jewell. Selepas Richard Jewell bersih daripada sebarang tuduhan, pihak berkuasa masih lagi gagal mencari dalang di sebalik tragedi pengeboman yang berlaku di Centennial Olympic Park, sehingga lah berlaku lagi dua kes letupan bom di sekitar kawasan Atlanta, menggunakan rekaan bom yang sama macam bom yang diletupkan di Centennial Olympic Park. Pihak berkuasa kemudiaannya mengesahkan Eric Robert Rudolph merupakan suspek utama kepada beberapa kes letupan yang berlaku di kawasan Atalanta, termasuk letupan yang berlaku di Centennial Olympic Park.

Kalau korang nak tengok kejadian pengeboman yang berlaku di Centennial Olympic Park, semasa berlangsungnya kejohanan Sukan Olimpik 1996, korang boleh tonton sebuah filem yang bertajuk Richard Jewell, diarahkan oleh Clint Eastwood, menceritakan tentang kisah Richard Jewell yang menyelamatkan ratusan nyawa orang awam, tapi kemudiannya bertukar menjadi suspek utama.

KATALAKI: Richard Jewell disahkan meninggal dunia pada tahun 2007, ketika berumur 44 tahun.

Last modified: 14 August 2020