Selepas 30 Tahun ‘The Undertaker’ Sah Bersara

Sembang, ZAP, ZeKool

Mark Calaway, atau lebih dikenali dengan gelaran ‘The Undertaker’ di atas pentas World Wrestling Entertainment (WWE) nampaknya telah mengumumkan persaraannya dari gelanggang WWE dalam episod terakhir ‘The Last Ride.’ Mark Calaway merupakan antara lagenda dalam dunia WWE yang membawa imejnya tersendiri. Dengan membawa gelaran ‘The Undertaker’ dia berjaya bertahan dalam dunia WWE lebih 30 tahun, dengan kemunculan pertamanya dalam salah satu siri Survivor (siri signature WWE) pada bulan November 1990. Walaupun ada yang tak layan WWE mesti kenal dengan ‘The Undertaker’ ni.

Persona dan personaliti yang dibawa olehnya sebagai ‘Deadman’ antara yang mendapat pujian kerana ianya kekal dalam arena WWE selama 30 tahun. Dalam beberapa tahun kebelakangan ini juga, Undertaker dikhabarkan mengambil peranan sambilan, serta terlibat dalam beberapa pertandingan besar menentang John Cena dan juga Goldberg di WWE Super ShowDown pada bulan Jun yang lalu.

‘PERJALANAN TERAKHIR’ MELALUI DOKUMENTARI

Bulan lalu, WWE mula melancarkan siri dokumentari mereka, iaitu ‘The Last Ride.’ Siri yang mempunyai lima bahagian ini memaparkan karier dan kehidupan ‘The Undertaker’ dari WrestleMania 2017 sehingga WrestleMania tahun ini di mana penonton menyaksikan Undertaker bergusti dengan AJ Styles, dan beliau mendapat ulasan yang baik daripada para pengkritik dan juga peminat. 

Siri dokumentari ini memaparkan secara mendalam mengenai kerumitan Undertaker dalam membuat keputusan untuk bersara dengan keadaan yang sempurna. Mungkin bukan senang bagi seorang lagenda untuk bersara daripada WWE kerana selalunya mereka mesti mahukan persaraan mereka itu penuh makna dan menjadi titik paling tinggi dalam kehidupan mereka. Namun di dalam siri itu, di penghujungnya menunjukkan supertar yang dikenali sebagai ‘The Phenom’ itu akhirnya memutuskan untuk menggantung topi hitamnya itu. 

WWE baru sahaja mengeluarkan episod terakhir siri ‘The Last Ride’ yang memaparkan perjalanan karier ‘The Undertaker,’ dan Mark Calaway turut berkongsikan sedutan pendek siri tersebut di Twitter. Bersama dengan video tersebut, Undertaker menulis “Anda tidak akan dapat menghargai jauhnya sesuatu perjalanan sehingga lah telah sampai ke penghujungnya.” Dalam episod terakhir itu, perlawanannya bersama dengan AJ Styles menjadi perlawanan terakhir dalam kariernya.

PENGAKHIRAN YANG SEMPURNA

Siri dokumentari itu lebih mengisahkan tentang keputusannya untuk mengakhiri kariernya dengan gah, tetapi disebabkan oleh faktor usia dan fizikal, serta beberapa kecederaan di dalam gelanggang yang tidak disengajakan, diperlihatkan agak sukar untuk dia membuat pengakhiran yang sempurna. Walau bagaimanapun, perlawanan terakhirnya bersama AJ Styles tetap mendapat tepukan gemuruh oleh peminat-peminat WWE serta para pengkritik. Detik yang menyedihkan juga buat para peminat Undertaker. Perlawanan terakhir itu dikatakan menjadi simbolik kepada personalitinya sebagai ‘The Undertaker’ dan ia merupakan aksi terakhir yang sesuai buat Mark Calaway.

Peminat WWE selalu bergurau tentang persaraan selebriti WWE, sebabnya lagenda WWE seperti Mick Foley, Terry Funk, dan Rick Steamboat yang dah umumkan persaraan tiba-tiba muncul semula ke gelanggang. Jadi bagi persaraan Undertaker ini, cuma masa yang akan menentukan samada beliau akan kembali semula atau benar-benar bersara. Sebagai bintang lagenda dalam WWE, harap ‘The Undertaker’ dapat mengikuti jejak langkah rakan lagendanya, Stone Cold dan Shawn Michaels yang betul-betul mengakhiri karier mereka dengan perlawanan yang gah di WrestleMania dan tidak membuat kemunculan semula. 

KATALAKI: ‘The Undertaker’ ni dulu antara wrestler yang digeruni kalau masuk gelanggang. Aura dia mengingatkan kita pada kubur. Seram!

Last modified: 22 June 2020