Seorang Guru Silat Sehingga Ke Bintang Hollywood!

Sembang, ZAP, ZeKool

Seni bela diri Silat merupakan seni bela diri yang popular di wilayah Nusantara, terutamanya di Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei. Silat juga tidak sekadar mempunyai satu cabang, tetapi terpecah juga ke cabang-cabang yang lain seperti Silat Gayung, Silat Cekak, Silat Pencak, dan lain-lainnya. Sememangnya ia merupakan sebahagian daripada identiti Nusantara sejak zaman nenek moyang kita lagi. Walaupun asalnya adalah di sini, tetapi seni bela Silat ini telah diperlihatkan jauh sehingga Hollywood. Kalau dulu kita selalu menonton aksi seni bela diri Kung Fu dari China, kini aksi bela diri Silat juga sudah dapat dilihat di dalam filem Hollywood. Semua ini adalah hasil bakat dan ketangkasan guru silat dari tanah seberang, Indonesia yang bernama Yayan Ruhian.

LATAR BELAKANG GURU SILAT ‘HOLLYWOOD’

Pesilat yang lahir pada 19 Oktober 1968 ini merupakan seorang guru silat yang memimpin murid-muridnya di Sekolah Pencak Silat Tenaga Dasar (PSTD) Indonesia. Keterlibatannya dalam dunia silat bermula sejak usianya 13 tahun lagi. Usahanya untuk memperkenalkan silat kepada komuniti luar bukan sekadar mengajar silat di sekolah itu, tetapi beliau juga merantau sehingga ke luar negara untuk memperkenalkan seni mempertahankan diri itu. 

Pada tahun 2008, Yayan diberi kepercayaan untuk memberi latihan seni mempertahankan diri kepada para pelakon yang berlakon di dalam sebuah filem arahan Gareth Evans. Sejak dari itu, kepakarannya mula mendapat perhatian, sekaligus mengubah haluan kariernya dari seorang guru silat kepada pelakon lagak aksi. 

AKSINYA MENJADI REBUTAN PENGARAH

Nama Yayan Ruhian mula naik setelah muncul di dalam filem The Raid sebagai Mad Dog. Filem arahan Gareth Evans itu diterbitkan pada tahun 2011. Kemudian, melalui lakonannya dalam sekuel The Raid, Yayan mendapat peluang keemasan untuk tampil berlakon dalam industri filem Jepun. Beliau memegang watak sebagai Kyoken, watak pembunuh yang ditugaskan untuk membunuh bos yakuza dalam filem ‘Yakuza Apocalypse.’ Pada waktu ini, aksi tangkasnya sudah dapat dilihat sehingga ke Jepun.

Sesudah itu, Yayan muncul pula dalam filem yang agak terkenal dan mempunyai peminat yang ramai di Hollywood, iaitu ‘Star Wars Episode VII: The Force Awaken’ dan memegang watak sebagai Tasu Leech, ketua organisasi jenayah Kanjiklub Gang yang telah beroperasi selama 30 tahun. Kerjaya seni Yayan semakin memuncak apabila dia sekali lagi diberi kepercayaan membintangi filem Hollywood ‘John Wick 3: Parabellum’ bersama Cecep Arif Rahman. Di dalam filem tersebut mereka memegang watak sebagai pembunuh yang bertempur dengan John Wick, yang dimainkan oleh pelakon Hollywood terkemuka, Keanu Reeves. Begitu lah hebatnya aksi persilatan Yayan Ruhian sehingga diberi kepercayaan sehingga ke Hollywood.

Bagi peminat filem Malaysia, aksi Yayan Ruhian ini boleh ditonton di dalam filem Wira yang dilakonkan juga oleh Hairul Azreen, Fify Azmi, Josiah Hogan dan lain-lain lagi. Filem Wira ni dah keluar dekat Netflix kalau korang nak tengok, dan apa yang aku boleh cakap aksi figthing diorang memang tak mengecewakan. 

KATALAKI: Kalau dah sampai ke Hollywood tu kira power betul lah!

Last modified: 29 June 2020