Siapakah Mak Lampir Yang Sebenarnya?

Sembang

Sebenarnya lagenda Mak Lampir ni bukan lah cerita hantu, tapi ianya kisah tentang seorang wanita yang dikatakan penuh misteri dengan ketamakan dan sifat kemaruk kuasanya. Mungkin lah luaran Mak Lampir ini kelihatan menyeramkan, tapi disebalik keseraman itu tersembunyi kisah seorang Puteri Raja. Tak tahu lah korang pernah dengar ke tak cerita lagenda asal usul Mak Lampir yang dikatakan adalah seorang puteri satu ketika dahulu. Kalau tak tahu, bagus. Artikel kali ini kita akan mengorek kembali kisah asal usul watak lagenda dari tanah seberang ni

MAK LAMPIR MERUPAKAN SEORANG PUTERI RAJA

Nama sebenar Mak Lampir adalah Siti Lampir Maemunah dan beliau merupakan seorang puteri dari sebuah kerajaan kuno yang dikenali dengan nama Champa (Kerajaan Champa mungkin). Kerajaan ini merupakan sebuah kerajaan yang pernah menguasai daerah Vietnam Tengah dan Selatan semasa abad ke-7 sehingga tahun 1832.

Pada asalnya, Siti Lampir Maemunah ini merupakan seorang gadis yang cantik, baik serta sangat pemalu orangnya. Sesuai lah dengan umurnya yang muda ketika itu. Bila dah menjelang usia dewasa, beliau juga mula merasakan perasaan jatuh cinta dengan seorang pemuda. Diceritakan waktu itu Siti Lampir Maemunah berjumpa dengan seorang pengembara yang bergelar Datuk Panglima Kumbang. Beliau merupakan seorang bangsawan yang bergelar datuk. Ikutkan zaman tu, beliau dipanggil Datuk sebab beliau merupakan panglima dari pasukan alam kegelapan. Tak pasti alam kegelapan ni merujuk kepada alam ghaib atau pun alam lain. 

Pada saat itu lah Siti Lampir Maemunah dikatakan jatuh cinta dengan Datuk Panglima Kumbang. Tak ada siapa pula yang tahu nama sebenar Datuk Panglima itu. Namun, apa yang pasti pemuda itu turut menyukai Siti Lampir Maemunah dalam diam tanpa pengetahuan sang puteri itu.

PERMULAAN KISAH CINTA BERAKHIR TRAGEDI

Walaupun mereka berdua bercinta atas dasar suka sama suka, tetapi malangnya hubungan mereka tidak direstui oleh kedua orang tua Datuk Panglima Kumbang. Ternyata hal itu membuatkan sang puteri sakit hati. Mesti lah sakit hati kalau cinta kita tak direstui. Maka dengan perasaan marah dan sakit hati itu, Siti Lampir Maemunah pun pergi bertapa di Gunung Merapi.

Sewaktu sang puteri bertapa, beliau bertemu dengan seorang mahaguru dan kemudian menuntut segala macam ilmu sehingga menjadi sakti. Ini kira revenge lepas patah hati lah ni. Selepas itu, penduduk di sekitar gunung itu pun menjadi takut dengan sang puteri sehingga lah sang puteri mendapat gelaran nama ‘Mak Lampir.’ 

KISAH CINTA BERAKHIR TRAGEDI VERSI 2

Nama pun kisah lagenda, jadi mesti lah ada banyak versi. So menurut versi kedua ni, dikisahkan walaupun percintaan mereka berdua tidak mendapat restu daripada orang tua Datuk Panglima Kumbang, sang puteri tetap mencari dan mengejar kekasih hatinya yang menghilangkan diri itu. Tetapi tidak pernah ditemuinya. Sehingga lah satu hari mereka berdua bertemu semula dalam medan pertempuran. Akhirnya pertempuran itu bertukar tragedi selepas Datuk Panglima Kumbang tewas. Sang puteri amat sedih dengan kematian Datuk Panglima Kumbang kerana dia masih mencintainya.

Sang puteri tidak sanggup kehilangan orang yang dia cintai sehingga dia berusaha menghidupkan Datuk Panglima Kumbang kembali dengan cara mengikat jiwa pemuda itu ke bumi. Kira dia guna cara syirik lah ni. Dengan kuasa sakti sang puteri, akhirnya Datuk Panglima Kumbang berjaya dihidupkan kembali. Jadi adakah kisah cinta mereka bersambung semula?

WAJAH BERUBAH MENJADI HODOH

Selepas menggunakan kuasa sakti untuk menghidupkan cinta hatinya, wajah sang puteri berubah menjadi buruk dan menyeramkan. Walaupun begitu, sang puteri berharap Datuk Panglima Kumbang dapat menerimanya setulus hati. Namun, sebaliknya yang berlaku bila Datuk Panglima Kumbang menganggap wanita yang telah menghidupkannya kembali itu adalah syaitan berwajah buruk.

Maka remuk lah hati sang puteri saat itu, dan sejak itu pertempuran ghaib terus terjadi membuatkan orang semakin takut dengan Mak Lampir. Jadi itu lah kisah lagenda Mak Lampir versi kedua. So kisah Mak Lampir ni bukan lah kisah seram, tapi lebih kepada kisah cinta dan misteri.

KISAH MAK LAMPIR VERSI PULAU JAWA

Ingatkan dah habis dah versi kisah Mak Lampir ni, rupanya ada lagi kisah versi Pulau Jawa. Diceritakan Mak Lampir ini sebenarnya sudah berusia ratusan tahun semasa memilih untuk pindah ke Pulau Jawa. Tujuannya adalah untuk menjadikan ilmu yang dimilikinya itu semakin sempurna. 

Di Pulau Jawa, Mak Lampir bersemayam di Gunung Merapi dan mendirikan sebuah kerajaan ghaib yang sangat luas. Diceritakan juga bahawa Mak Lampir ada bersekutu dengan iblis bagi menjayakan misinya. Memang sah Mak Lampir ini penuh dengan kesyirikan. Disebabkan ilmu yang dimilikinya itu, Mak Lampir dikatakan boleh hidup hingga ratusan tahun. Tapi tu lah, tiada bukti tentang kewujudan Mak Lampir dan ia kekal menjadi lagenda rakyat yang menarik dengan versi cerita yang pelbagai.

KATALAKI: Kalau buat filem mungkin boleh buat multiverse sebab cerita Mak Lampir ni ada banyak versi…

Last modified: 3 August 2020