SOP Terkini Menjelang Premier League Restart

Aktif, Bola, ZAP, ZeKool

Kurang beberapa hari je lagi, liga bola sepak paling popular di dunia, Premier League akan kembali bersambung pada 18 Jun 2020 (waktu Malaysia) selepas berbulan-bulan tertunda disebabkan pandemik COVID-19. Selain daripada semua perlawanan Premier League akan berlangsung secara tertutup, ada lagi beberapa standard operating procedure (SOP) lain yang ditetapkan oleh Premier League untuk memastikan keselamatan pemain dan pihak lain yang terlibat sepanjang perlawanan terjamin.

Social distancing atau penjarakan sosial adalah amalan yang paling wajib dilaksanakan bagi memastikan takde sebarang ruang atau peluang berlakunya penularan wabak COVID-19. Bagi mempersiapkan diri kita yang dah lama sangat tunggu aksi Premier League kembali menyinari kehidupan seharian kita, ini antara SOP terkini Premier League yang korang kena faham, dikongsikan oleh Premier League menjelang permulaan semula liga bola sepak tertinggi di England.

SEBELUM PERLAWANAN

Hanya seramai 300 orang individu yang dibenarkan untuk berada di dalam kawasan stadium untuk semua perlawanan Premier League sehingga tamat musim 2019/20. Kawasan di dalam stadium juga dibahagikan kepada beberapa zon untuk memastikan hanya individu yang layak dan dibenarkan sahaja boleh masuk ke dalam setiap zon. Zon merah yang terdiri daripada padang, kawasan pengurus dan jurulatih yang terlibat, terowong dan bilik persalinan adalah zon yang paling dikawal ketat oleh Premier League.

Semasa tiba di kawasan stadium, pemain-pemain akan diberikan jalan yang paling mudah untuk menuju ke bilik persalinan daripada kenderaan masing-masing, sama ada pemain tersebut menggunakan bas pasukan atau kenderaan sendiri.

SEMASA PERLAWANAN

Terowong untuk masuk ke dalam padang juga akan diasingkan mengikut pasukan dan giliran. Kalau stadium tersebut hanya mempunyai satu terowong untuk masuk ke dalam padang, pasukan pelawat akan masuk terlebih dahulu sebelum pasukan tuan rumah menuju ke dalam padang menggunakan terowong yang sama. Sebarang aktiviti bersalam-salaman tidak lagi dibenarkan bagi mengurangkan dan mengelakkan sentuhan fizikal antara pemain, pengadil dan jurulatih.

Tugas budak milo yang sentiasa mengutip bola yang terkeluar dari padang juga tidak lagi digunakan. Sebaliknya, beberapa biji bola akan diletakkan di sekeliling kawasan padang kalau bola yang tengah digunakan melantun jauh dari jangkauan pemain atau pengadil yang berada di dalam padang.

Selain daripada tu, peraturan pemain simpanan juga diubah untuk menyesuaikan keadaan normal baharu dunia bola sepak. Kalau sebelum ni, seramai 7 orang pemain simpanan akan disediakan oleh setiap pasukan dan hanya 3 pemain simpanan yang dibenarkan untuk beraksi dalam satu perlawanan. Kini, 9 orang pemain simpanan dibenarkan untuk disediakan oleh setiap pasukan dan 5 orang pemain simpanan boleh dimasukkan pada bila-bila masa sepanjang perlawanan. Dengan syarat, setiap pasukan hanya boleh membuat pertukaran pemain sebanyak 3 kali bagi mengelakkan masa perlawanan dibazirkan untuk menukar pemain.

Pemain dan pengurus pasukan juga diberi amaran awal untuk mengelakkan diri daripada melakukan beberapa perkara yang boleh menjejaskan amalan penjarakan sosial dan keselamatan antaranya kekalkan jarak semasa meraikan gol, tidak dibenarkan meludah dan menghembus hidung, mengurangkan sebarang sentuhan antara rakan sepasukan dan pihak lawan, menggunakan hand sanitizer sebelum dan selepas perlawanan dan mengelakkan daripada berlaku sebarang konfrontasi kepada pengadil atau pihak lawan.

KATALAKI: Semakin mencabar tugas pemain dan jurulatih kat atas padang. Otak nak kena fikir taktikal, dalam masa yang sama kena patuh dengan SOP yang ketat. Semuanya demi keselamatan.

Last modified: 16 June 2020