Stan Lee Sebenarnya Bukan Sekadar Watak Cameo Tapi…

Sembang, ZAP, ZeKool

Kalau korang adalah peminat tegar mahupun kaki wayang yang dah layan hampir kesemua filem-filem hasil produksi Marvel Studios, mungkin secara amnya korang dah perasan didalam setiap filem-filem superhero Marvel Studios, akan ada satu (ataupun dua babak) yang disertakan dengan penampilan khas daripada pencipta watak-watak superhero Marvel, iaitu mendiang Stan Lee.

Stan Lee yang meninggal dunia pada usia 95 adalah pencipta untuk sebilangan watak komik ternama, menghasilkan ratusan watak yang mengisi keseluruhan dunia Marvel Cinematic Universe (MCU).

KENAPA WUJUDNYA CAMEO STAN LEE?

Bersama dengan pelukis komik Jack Kirby dan Steve Ditko, mereka berjaya menghasilkan watak-watak superhero ternama antaranya seperti Spider-man, Black Panther dan X-Men. Beliau juga turut bekerjasama dengan adiknya, Larry Lieber untuk menciptakan watak superhero yang disukai ramai, iaitu Iron Man dan Ant-Man. Watak-watak hasil karya Stan Lee ini telah pun dihidupkan dalam pelbagai filem superhero yang telah mengungguli carta box office di seluruh dunia sejarah industri perfileman.

Menurut statistik, sebanyak lima filem superhero berada di carta Top 8 carta box office untuk tahun 2018. Stan Lee telah mencipta kesemua watak-watak daripada filem-filem superhero tersebut. Avengers: Infinity War menerima lebih $2 billion hasil kutipan seluruh dunia, dan menjadi filem ke-empat terlaris sepanjang zaman, dan kesemua watak-watak didalam filem tersebut adalah hasil ciptaan buah fikiran Stan Lee.

Terdapat sebanyak lebih 53 filem (termasuk yang bukan dibawah produksi MCU) dan akan ada lebih lagi filem-filem serta TV series yang masih dalam pembikinan. Majoriti watak superhero ini juga adalah hasil ciptaan Stan Lee dan sebahagiannya pula adalah daripada tema dan universe yang turut menerima penglibatan yang besar daripada Stan Lee.

Oleh kerana pengaruhnya yang besar ini, ianya juga adalah menjadi tradisi untuk Stan Lee menerima babak kecil dalam setiap hasil filem watak superhero MCU/Marvel Comics, ianya juga adalah sebagai tanda penghormatan khas buat pihak Marvel untuk menampilkan cameo Stan Lee, yang merupakan penyebab watak-watak superhero ini terwujud pada hari ini.

STAN LEE SEBENARNYA ALIEN?

Image via: https://www.ign.com/

Walaupun pada dasarnya watak-watak cameo atau penampilan khas Stan Lee ini nampak hanya sebagai watak manusia biasa melakonkan babak-babak yang lucu dan bersahaja. Namun, hasil pengaruh watak-wataknya telah menjadi begitu intrinsik didalam MCU sehingga terwujudnya fan theory yang membuahkan persoalan dan spekulasi mengenai penampilan dan kewujudan sebenar Stan Lee dalam setiap filem MCU.

Spekulasi daripada teori peminat tegar Marvel meramalkan bahawa setiap kali Stan Lee muncul di layar perak filem MCU dalam babak yang menggembirakan, sebenarnya Stan Lee memainkan watak yang sama, dan sebenarnya juga watak Stan Lee tersebut adalah peranan yang lebih besar dan lebih penting di seluruh alam semesta Marvel.

Apa yang menguatkan lagi teori peminat ini adalah apabila didalam setiap babak yang menampilkan Stan Lee, beliau mempunyai pelbagai jenis pekerjaan yang berbeza walapun filem-filem tersebut berkait rapat antara satu sama lain dan berada di dalam universe yang sama. Pelik bukan?

Dan teori serta spekulasi ini menjadi lebih nyata apabila didalam filem Guardians of the Galaxy 2 (Guardians 2), terdapat dua babak dimana watak Stan Lee sedang menerangkan kepada sekumpulan mahkluk alien (yang dikenali sebagai The Watcher) bagaimana ketika itu beliau pernah menjadi pemandu FedEx yang merujuk kepada watak cameonya didalam filem Captain America: Civil War.

Menurut Ketua Marvel Studios; Kevin Feige beliau menyokong dan mengakui ianya bukanlah teori kosong yang dihasilkan oleh peminat semata-mata. Menurut laman web ScreenRant, Kevin Feige dan Marvel Studios mengiyakan tentang teori dimana watak Stan Lee adalah orang yang sama didalam setiap filem MCU.

Image via: https://screenrant.com/

Kalau ikutkan teori popular oleh peminat Marvel, ramai yang mengatakan watak Stan Lee didalam setiap filem MCU sebenarnya adalah watak Uatu The Watcher, iaitu salah seorang daripada bangsa kuno makhluk asing yang ditugaskan untuk memantau bumi dan memerhati kebangkitan superhero-superhero didalam MCU.

Akan tetapi teori popular yang mengatakan Stan Lee sebenarnya adalah Uatu bercanggah dan kemungkinan besar sebenarnya watak Stan Lee tersebut hanyalah sekadar pemberi maklumat atau sahabat kepada kumpulan The Watcher, lebih-lebih lagi apabila nama Stan Lee dikreditkan didalam Guardians 2 sebagai watak “The Watchers’ Informant”.

Mana-mana pun watak yang dipegang oleh Stan Lee, ianya tetap mengukuhkan bahawa Stan Lee berperanan sebagai watak yang sama dalam setiap filem hasil keluaran MCU. Dan siapa tahu, kemungkinan besar juga Stan Lee memang sebenarya adalah Uatu The Watcher yang ditugaskan untuk memantau aktiviti-aktiviti spesies lain di seluruh alam semesta.

KATALAKI: Kiranya Stan Lee siap cipta watak khas untuk diri sendiri la kan dalam MCU. Fuhhh…

Last modified: 22 June 2020