Superhero² Kelainan Upaya Dengan Kuasa Luar Biasa!

Sembang

Mesti korang macam tak perasan kan superhero yang kelainan upaya ni sebab dah nampak diorang punya kuasa yang hebat. Biasa superhero yang kita nampak semua mempunyai fizikal yang sempurna dan tegap seperti Superman, Batman, Wonder Woman, Captain America dan lain-lain. Walaupun begitu, untuk memastikan golongan kelainan upaya pun dapat diwakili sebagai superhero dalam dunia komik, maka pencipta watak-watak superhero pun menghasilkan beberapa watak superhero yang kelainan upaya. Secara halus benda ni pun akan membawa mesej bahawa dunia superhero itu tak semestinya dipenuhi dengan watak-watak yang sempurna. Jadi jom kita tengok siapakah superhero yang kelainan upaya yang memiliki kebolehan luar biasa.

THE ORACLE

Watak superhero ni mungkin tak ramai yang kenal, tapi beliau dahulu pernah menjadi Batgirl. Barbara Gordon pernah ditembak oleh Joker di bahagian tulang belakangnya lalu mengakibatkannya lumpuh dan tidak boleh berjalan lagi. Selepas tempoh pemulihan, Barbara bertukar menjadi Oracle iaitu seorang computer genius yang membantu operasi Birds of Prey. Walaupun hanya bergerak menggunakan kerusi roda, Barbara sering mengatakan bahawa dia boleh berlawan dalam keadaan begitu. Ini yang orang kata ‘don’t judge a book by its cover.’

DAREDEVIL

Semua orang tahu rasanya yang Daredevil ni buta, tapi dia buta bukan sebab sejak lahir atau pun kemalangan yang biasa. Matt Murdock (nama sebenar Daredevil) menjadi buta selepas cuba menyelamatkan seorang lelaki buta yang hampir dilanggar sebuah trak. Malangnya Murdock dilanggar dengan trak tersebut, dimana trak itu sebenarnya sedang membawa sisa radioaktif. Walaupun buta akibat terkena sisa radioaktif tersebut, Murdock mendapat kelebihan luar biasa yang membolehkannya melihat tanpa menggunakan mata. 

PUCK

Ini juga merupakan salah satu superhero yang korang tak berapa nak kenal. Puck merupakan superhero hasil ciptaan John Bryne daripada bumbung komik Marvel. Menurut fakta komik, Puck atau nama sebenarnya Eugene Judd tidak dilahirkan kerdil tetapi sebagai raksasa kecil yang kekal abadi. Tetapi satu kuasa jahat telah menukarkannya kepada seorang kerdil yang tidak memiliki kuasa superhuman. Walaupun begitu, Puck mempunyai kebolehan untuk berlawan. Puck menjadi sebahagian daripada ahli Alpha Flight, sebuah kumpulan superhero yang melawan kejahatan. 

PROFESSOR X

Mungkin disebabkan kuasa Professor X ni terlalu kuat sampai kita tak sedar yang dia ni sebenarnya kelainan upaya (atau mungkin aku je kadang-kadang yang tak sedar). Jadi seperti di dalam filem ‘X-Men: First Class,’ semua dah tahu macam mana Charles Francis Xavier ni menjadi lumpuh selepas terkena peluru tembakan di bahagian tulang belakangnya. Kalau dalam komik, ada masa Professor X dilihat mampu berjalan semula tetapi kembali lumpuh selepas berlaku kemalangan lain. Walaupun hanya berada di atas kerusi roda, musuh-musuhnya tetap menggeruni Professor X dengan kuasanya yang luar biasa itu, termasuk lah musuh tradisinya, Magneto.

ECHO

Echo merupakan watak superhero hasil ciptaan daripada komik Marvel. Kelainan upayanya adalah pekak walaupun nama adiwiranya Echo. Semasa kecil, Echo atau nama sebenarnya Maya Lopez telah disalah anggap sebagai kanak-kanak yang mempunyai masalah mental. Tetapi dia dimasukkan ke sekolah pelajar yang mempunyai bakat muzikal. Walaupun pekak, Echo hebat bermain piano hanya dengan menghafal pergerakan jari pada piano. Kekuatan terhebatnya adalah pada matanya yang cekap menangkap dan mempelajari apa sahaja yang dilihatnya. Untuk bercakap dengan orang pun dia akan membaca pergerakan bibir seseorang. Selain itu, Echo juga cekap berlawan. Thanks to her visual ability.

KATALAKI: Mungkin kah adiwira Keluang Man dan juga Tiong Man adalah superhero yang kelainan upaya? 

Last modified: 17 July 2020