Surau ‘Langgar Rindu’ Guna Senibina Paling Rare!

Sembang, ZAP

Sekali pandang memang tak sangka ia merupakan sebuah surau sebab nampak seperti rumah persendirian. Rasanya ini lah satu-satunya surau yang mempunyai senibina unik yang macam ni. Dikenali dengan nama surau ‘Langgar Rindu,’ ia terletak di Rhu Tapai, Kuala Terengganu. Sebenarnya aku sempat melawat surau ni semasa pulang ke kampung tempoh hari. Pada awalnya aku memang tak tahu rupanya surau ini terletak di Terengganu. Jadi memang tak expect berpeluang melawat dan melihat sendiri senibina rare yang dijadikan sebagai konsep pembinaan surau Langgar Rindu. Selain bentuk senibina yang unik ni, apa lagi keistimewaan surau ni dan kenapa ia dinamakan ‘Langgar Rindu?’ Jom kita gali sikit cerita tentang surau rare ni.

Image via: Thelaki.com.my

DIBINA MENGGUNAKAN ‘TULANG EMPAT KERAT’

Sebenarnya surau ni pernah tular sekitar tahun 2019. Tapi disebabkan aku baru berkesempatan tengok sendiri surau ni depan mata, so kita ceritakan kembali apa yang istimewa tentang surau ni. Ia dikatakan mula dibina sendiri oleh Haji Abdul Karim Embong menggunakan tulang empat keratnya. Beliau yang juga merupakan pemilik kepada surau tersebut mengatakan ia dibina tanpa adanya sebarang pelan pembinaan. Tak lama lepas tu, pembinaan surau tersebut turut dibantu oleh cucu sepupunya yang agak mahir dalam bidang pertukangan. Surau berukuran 1,064 kaki persegi ini juga dikatakan dipasak dan disambung menggunakan skru.

Jika dilihat hasil senibina surau ini, ia menggunakan bahan utama berasaskan daripada kayu tembesu dan kayu cengal sepenuhnya hasil sumbangan orang ramai. Pembinaan surau ini juga mempunyai ruang-ruang udara bagi membolehkan udara keluar dan masuk dari setiap ruang. Ini akan memberikan keselesaan kepada pengunjung untuk beribadat pada setiap waktu. Tujuan utama pembinaan surau ini dikatakan sebagai rumah ibadat untuk komuniti setempat serta sebagai tempat persinggahan bagi umat Islam yang bermusafir untuk menunaikan solat. 

MOTIF PEMBINAAN SURAU ‘LANGGAR RINDU’

Menurut pemilik surau tersebut, motif pembinaan ‘Langgar Rindu’ adalah sebagai lambang cinta seorang hamba kepada yang Maha pencipta. Tambahannya lagi, ‘Langgar Rindu’ juga adalah satu persembahan puisi nyata untuk menzahirkan kekagumannya terhadap kehebatan Tuhan yang Maha Esa. Kalau nak tahu, Haji Abdul Karim ini juga merupakan seorang penulis puisi dan telah menghasilkan lebih 300 puisi setakat ini. Jadi mungkin sebab itu pembinaan surau ini mempunyai ciri-ciri abstrak seperti sebuah puisi. 

Selain itu, menurut bapa kepada enam orang anak ini, ‘Langgar Rindu’ juga sebagai dedikasi penghargaannya kepada kedua ibu bapa dan juga isterinya yang telah banyak berjasa mendidiknya. At this point, mesti korang ada terfikir dari mana datangnya nama ‘Langgar Rindu’ ni dan apakah maksud sebenarnya.

MAKSUD SEBENAR ‘LANGGAR RINDU’

Menurut Haji Abdul Karim, perkataan atau gelaran tersebut amat jarang digunakan dalam masyarakat Melayu sekarang. Ia lebih terkenal digunakan dalam kalangan masyarakat Melayu dagang yang terdiri daripada suku kaum Boyan. Menurutnya, perkataan ‘Langgar’ boleh membawa maksud kepada empat makna iaitu pelanggaran, surau atau madrasah, kawasan pemakaman diraja, dan juga bumbung rumah yang mempunyai anjung disambung dari bumbung asal. 

Jadi, untuk menampakkan ianya unik dan secara tak langsung memperkayakan bahasa kita, perkataan ‘Langgar’ dipilih untuk membawa maksud surau atau tempat ibadat. Manakala perkataan ‘Rindu’ pula membawa gambaran rindu kepada rumah Allah S.W.T dan rindu untuk beramal sebagaimana ajaran Nabi Muhammad S.A.W. Maka terhasil lah nama ‘Langgar Rindu’ yang namanya sama unik dengan senibinanya.

Menariknya, kunjungan untuk ke surau ni adalah dialu-alukan dan tidak terhad kepada orang Islam sahaja. Mereka yang bukan Islam juga boleh melawati surau yang rare ni. Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Haji Zulkifli Mohamad Al-Bakri pun ada melawat surau ni.

KATALAKI: Siapa yang bercuti ke Terengganu tu boleh lah singgah sebentar ke surau ‘Langgar Rindu’ ni…

Last modified: 18 August 2020