Syarikat² Game Terbesar Di Dunia

Game, Tech, ZAP

Industri permainan video merupakan salah satu industri yang semakin popular dan semakin menguntungkan walaupun buat masa ni seluruh dunia masih lagi terkesan dengan pandemik COVID-19. Rasanya korang sendiri pun boleh perasan dah semakin ramai yang mula mendekatkan diri dengan permainan video sama ada di smartphone, komputer atau PlayStation, terutama sekali sejak kerajaan Malaysia menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan.

Bila dah semakin ramai yang boleh menerima permainan video dalam kehidupan seharian, yang paling menguntungkan dah tentu sekali syarikat pembina dan pengeluar permainan video tu sendiri. Jadi, memandangkan sekarang ni dah bermacam-macam jenis permainan video atau game yang disajikan kepada pengguna, ini antara syarikat pengeluar permainan video terbesar dan paling berjaya di dunia.

SONY INTERACTIVE ENTERTAINMENT

Sony Interactive Entertainment mula ditubuhkan sejak tahun 1993 dengan nama Sony Computer Entertainment sebelum ditukarkan kepada nama baru, Sony Interactive Entertainment pada tahun 2016. Selepas Sony Interactive Entertainment ditubuhkan pada tahun 1993, baru lah PlayStation yang pertama dipasarkan di seluruh dunia pada tahun 1994 dan mencetuskan fenomena baru di kalangan pemain-pemain permainan video.

Selain daripada menghasilkan sendiri konsol permainan video yang terdiri daripada PlayStation 1 sehingga PlayStation 4 dan yang paling terbaru, PlayStation 5, Sony Interactive Entertainment juga memiliki beberapa syarikat pembangun permainan video antaranya Insomniac Games, Naughty Dog dan Sucker Punch Production yang pernah menghasilkan bermacam-macam jenis game popular . Menerusi syarikat pembangun permainan video yang dimiliki oleh Sony Interactive Entertainment, antara game yang pernah popular termasuk lah Spider-Man (Insomniac Games), Uncharted (Naughty Dog), Last of Us (Naughty Dog) dan Infamous (Sucker Punch Production).

ELECTRONIC ARTS

Electronic Arts atau juga dikenali sebagai EA, ditubuhkan sejak tahun 1982 oleh Trip Hawkins yang pernah bekerja di Apple sejak tahun 1978. Pada awalnya, Electronic Arts lebih menumpukan perhatian kepada penghasilan software yang boleh digunakan di komputer. Antara software yang pernah dihasilkan Electronic Arts termasuk lah Deluxe Paint, Deluxe Music Construction Set dan Instanst Music. Pada tahun 1988, baru lah Electronic Arts berani memasarkan game yang pertama, dikenali sebagai Skate or Die!.

Sehingga kini, Electronic Arts merupakan salah sebuah syarikat pembangun permainan video terbesar di dunia selepas berjaya memasarkan beberapa game yang popular di seluruh dunia antaranya Battlefield, The Sims, Need for Speed dan Star Wars. Dengan jenama yang dah terlalu besar dan kuat dalam industri permainan video, Electronic Arts juga berjaya memiliki hak eksklusif untuk permainan video yang melibatkan sukan-sukan popular di dunia terdiri daripada FIFA, Madden NFL dan NHL.

ACTIVISION BLIZZARD

Sebelum digabungkan menjadi satu syarikat yang sama, Activision mula mencipta nama sebagai salah satu syarikat pembangun permainan video terbesar di dunia menerusi game Tony Hawk’s, Call of Duty dan Guitar Hero yang popular dimainkan di seluruh dunia. Blizzard pula lebih popular menghasilkan game yang boleh dimainkan secara atas talian, beramai-ramai dan penuh dengan strategi antaranya World of Warcraft yang kali pertama diperkenalkan pada tahun 2004.

Kini, selepas digabungkan menjadi satu syarikat yang sama, Activision Blizzard masih lagi berjaya menghasilkan game yang menjadi kegilaan ramai menerusi game Overwatch dan Destiny.

UBISOFT

Ubisoft yang ditubuhkan sejak tahun 1986 dan berpangkalan di Perancis, aktif menghasilkan bermacam-macam permainan video yang boleh dimainkan di komputer sebelum mula popular apabila munculnya game Rayman yang dibangunkan oleh Ubisoft pada tahun 1995, boleh dimainkan di PlayStation. Selepas kejayaan Rayman, empayar Ubisoft dalam industri permainan video diperhebatkan lagi dengan kemunculan game popular yang lain antaranya Assassin’s Creed, Far Cry dan Tom Clancy. Yang terbaru, Ubisoft akan memasarkan game yang dah lama ditunggu-tunggu, bertajuk Watch Dogs: Legion, Assassin’s Creed Valhalla dan Far Cry 6.

KATALAKI: Kalau salah satu syarikat ni keluarkan game terbaru, mesti akan menjadi perhatian dan dinanti-nantikan oleh penggemar-penggemar permainan video

Last modified: 30 July 2020