Tarikh Baru Kelayakan Piala Dunia Harimau Malaya

Aktif, Bola

Rasanya macam dah lama betul kita tak tengok aksi Harimau Malaya di atas padang. Kali terakhir skuad senior Harimau Malaya turun beraksi dalam perlawanan bola sepak antarabangsa adalah pada 19 November 2019, membelasah Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil. Dah berapa bulan dah ni kita tak disajikan dengan perlawanan skuad senior Harimau Malaya.

Selepas mengharungi 5 perlawanan pusingan ke-2 kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023, Harimau Malaya berada di tempat ke-2 di belakang Vietnam, dengan rekod 3 kemenangan, 4 kekalahan dan berbeza hanya 2 mata dengan Vietnam.

Harimau Malaya ada baki lagi 3 perlawanan, menentang UAE di Dubai, Vietnam di Bukit Jalil dan Thailand di Bangkok sebelum rakyat Malaysia akan menerima keputusan sama ada Harimau Malaya akan layak ke peringkat seterusnya atau tak. Macam mana agaknya cara untuk Harimau Malaya layak bertanding di Piala Dunia 2022 atau Piala Asia 2023?

Pasukan yang berjaya bergelar juara untuk setiap kumpulan, akan layak ke kejohanan Piala Asia 2023 secara automatik dan layak ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia 2022. Hanya 4 pasukan naib juara terbaik akan layak ke Piala Asia 2023 secara automatik dan layak ke pusingan ke-3 kelayakan Piala Dunia 2022. Maknanya, kalau Harimau Malaya nak meneruskan lagi perjalanan ke Piala Dunia 2022 yang bakal berlangsung di Qatar, Harimau Malaya kena jadi juara atau naib juara kumpulan G. Buat masa ni, Harimau Malaya berada di dalam kelompok 4 pasukan naib juara terbaik di belakang Oman dan Kuwait.

Walau bagaimanapun, ada berita yang kurang gembira untuk peminat bola sepak bukan je di Malaysia, tapi juga di seluruh Asia dan dunia selepas beberapa perlawanan bola sepak terpaksa ditunda disebabkan wabak Coronavirus yang belum lagi lenyap dari dunia ni. Hari tu, FAM baru je mengumumkan mengenai pembatalan aksi panas badan atau perlawanan persahabatan Harimau Malaya menentang Bahrain yang dijadualkan berlangsung pada 21 Mac 2020.

Yang terbaru, liga bola sepak UAE termasuk bola sepak lelaki, wanita, remaja, futsal, bola sepak pantai, semuanya terpaksa diadakan secara tertutup tanpa penonton disebabkan wabak Coronavirus.

FIFA dan AFC sendiri dah keluar kenyataan mengenai penundaan perlawanan pusingan ke-2 kelayakan Piala Dunia 2022 dan Piala Asia 2023. Semua perlawanan yang sepatutnya berlangsung pada bulan Mac, ditunda ke bulan Oktober 2020 dan perlawanan yang dijadualkan berlangsung pada bulan Jun, ditunda ke bulan November 2020.

KATALAKI: Sementara tunggu Harimau Malaya beraksi, kita fokus dulu dengan Liga Super Malaysia.

Last modified: 7 March 2020