The Anguished Man – Lukisan Paling Berhantu Di Dunia

Sembang, ZAP, ZeKool

Ini adalah kisah tentang sebuah lukisan yang digelar ‘The Anguished Man’ yang dikatakan berhantu. Kenapa berhantu? Kerana lukisan ini tidak dilukis menggunakan sebarang jenis warna, tetapi ia menggunakan darah pelukis gambar ini untuk menyempurnakan lukisan ini. Dikatakan juga pelukis itu membunuh dirinya selepas menyiapkan lukisan ini. Pelukis tersebut juga sehingga kini tidak diketahui identitinya. Kisah yang menyeramkan ini berlaku di Cumbria, sebuah pekan kecil di England.

LUKISAN YANG DISIMPAN LEBIH 25 TAHUN

Lukisan yang berhantu ini kini berada bersama dengan Sean Robinson, dimana beliau mengatakan ia adalah milik neneknya yang disimpan di bahagian loteng rumah selama 25 tahun. Menurut Sean, neneknya selalu memberitahunya yang dia sering ternampak kelibat gelap seperti seorang lelaki berjalan-jalan di dalam rumahnya. Selain itu, di waktu malam pula neneknya sering terdengar bunyi yang pelik dan suara orang menangis. Neneknya juga pernah memberi amaran kepada Sean bahawa lukisan itu berhantu. Walaupun Sean kurang mempercayai dengan perkara-perkara tahyul, tetapi akhirnya dia percaya bahawa lukisan tersebut mempunyai anasir-anasir jahat.

Sean kemudian menyimpan lukisan tersebut di ruang bawah tanah rumah mereka kerana isterinya tidak menyukainya. Mungkin kalau kita lah ada lukisan yang macam tu, jangan kata simpan, memang buang terus dari rumah kot!

MULA MERASAI GANGGUAN ALAM GHAIB!

Pada tahun 2010, Sean memindahkan lukisan tersebut dari ruangan bawah tanah rumahnya kerana banjir, dan meletakkannya di dalam salah satu bilik tidur. Sejak dari itu, Sean dan keluarganya mula mengalami kejadian-kejadian pelik di dalam rumah mereka seperti terlihat bayangan seorang lelaki dan juga terdengar suara bisikan-bisikan dan tangisan. Aduhhh aku pula jadi seram nak cerita!

Selepas beberapa minggu, kejadian-kejadian aneh itu terus berlaku ke atas keluarganya. Dikatakan pada waktu malam, Sean akan terjaga dari tidur dan terlihat satu figura yang tidak berwajah berdiri di dalam bilik tidurnya. Manakala isterinya pula mengatakan terdapat ‘entiti’ yang baring disebelahnya. Memang trauma dibuatnya. Kejadian yang membuatkan keluarganya rasakan mereka sebenarnya dalam bahaya adalah kejadian dimana anak lelakinya merasakan ada sesuatu yang menolaknya jatuh dari tangga. Macam ‘The Conjuring’ pun ada gak kisah keluarga Sean Robinson ni.

UPLOAD VIDEO AKTIVITI PARANORMAL KE YOUTUBE

Kalau orang Melayu mungkin tak ada masa nak fikir untuk jadikan content dalam Youtube sebab ketakutan yang amat sangat. Tapi pada tahun 2011, Sean mula memuat naik video aktiviti paranormal di rumahnya ke Youtube. Video tersebut mendapat jutaan views dan Sean teruskan memuat naik beberapa video lagi untuk update kejadian-kejadian seram di rumahnya. Dalam video yang dirakamnya itu, boleh dilihat beberapa kejadian aneh seperti pintu tertutup sendiri, serta kedengaran juga bunyi-bunyi pelik yang agak kuat.

ADA YANG KATAKAN ITU SEMUA HOAX?

Walaupun rakaman video ini adalah bukti yang nyata bahawa lukisan ‘The Anguished Man’ adalah berhantu, tetapi tetap ada penonton yang mempersoalkan kesahihan video tersebut. Seorang penyiasat aktiviti paranormal menyatakan bahawa gerakan seperti pintu tertutup dengan sendirinya boleh dipalsukan dengan menarik pintu itu dengan menggunakan tali halus. Tetapi menurut Sean, dia faham sekiranya ada orang yang tidak percayakan video-video yang dirakamkannya itu.

Menurut Sean, dia juga satu ketika dahulu seperti mereka yang tidak mempercayai bahawa lukisan tersebut adalah punca kepada kejadian-kejadian aneh di dalam rumahnya. Sehingga hari ini, lukisan ‘The Anguished Man’ masih disimpan rapi di bahagian bawah tanah rumahnya.

KATALAKI: Kalau korang lah ada lukisan yang macam tu, agak-agak apa korang buat dengan lukisan tu?

Last modified: 3 August 2020