The Hells Angels – Geng Mat Rempit Amerika Syarikat!

Sembang

Sebelum ini aku pernah tulis tentang Bosozuku, kumpulan gangster bermotor di Jepun tapi kali ini aku nak cerita tentang satu lagi kumpulan gangster bermotor cumanya kali ini aku akan bercerita tentang kumpulan Hells Angels yang berasal dari Amerika Syarikat. Sebelum itu kalau korang tak baca lagi tentang Bosozuku, korang boleh klik di SINI.

Untuk pengetahuan korang, kumpulan Hells Angels ataupun nama penuhnya Hells Angels Motorcycle Club (HAMC) merupakan satu kumpulan motorsikal yang menunggang motorsikal jenis HarleyDavidson. Kumpulan ini pada mulanya telah ditubuhkan oleh keluarga pendatang, The Bishop Family pada tahun 1948 selepas Perang Dunia Kedua di California, Amerika Syarikat.

Kumpulan ini sebenarnya merupakan gabungan dengan satu lagi kumpulan motorsikal dari Amerika Syarikat iaitu Pissed Off Bastards of Bloomington yang mana terdiri daripada bekas-bekas askar yang telah bersara. Nama Hells Angels pada awalnya telah dicadangkan oleh salah seorang ahli mereka iaitu Arvid Olsen yang mana sebelum ini berkhidmat untuk pasukan tentera Flying Tigers di China pada Perang Dunia Kedua. Dia merupakan orang yang bertanggungjawab menerbangkan pesawat perang B-17F atau nama gelarannya Hells Angels.

Semenjak dari itu, kumpulan Hells Angels ini mula berkembang disetiap negeri di Amerika Syarikat dengan nama yang sama. Logo yang digunakan kumpulan ini adalah tengkorak yang memakai topi keledar dan juga kepak pada bahagian tepi. Walaupun setiap kumpulan negeri ada menggunakan logo mereka sendiri namun logo utama ini yang diberi nama Barger Larger tetap diletakkan sebagai logo utama.

Untuk menjadi ahli kumpulan ini, korang cuma perlukan lesen memandu yang sah dan motorsikal dengan 750CC keatas. Selain itu, kumpulan ini tidak menerima mereka yang mempunyai kes pedophile dan juga mereka yang pernah memohon untuk menjadi anggota polis dan pegawai penjara.

Selepas itu, mereka yang memohon untuk memasuki kumpulan ini akan diajak lepak bersama dan disitu mereka akan dijadikan sebagai Associate. Selepas dua tahun menjadi Associate, mereka akan dinaikkan sebagai Prospect. Sebagai Prospect mereka boleh datang mengikuti aktiviti kumpulan Hells Angels tapi tidak dibenarkan untuk mengundi sebarang perlantikan yang terjadi dalam kumpulan ini. Akhir sekali barulah mereka akan dijadikan sebagai ahli sah ataupun dipanggil sebagai Full Patch.

Untuk menerima gelaran Full Patch, ahli-ahli kelab yang sudah Full Patch akan mengundi sama ada mereka layak ataupun tidak untuk dijadikan sebagai Full Patch. Mereka yang sudah dijadikan sebagai Full Patch dibenarkan untuk menggunakan logo Hells Angels. Biasanya logo ini akan diletakkan pada bahagian belakang jaket kulit mereka dan dibawah logo tersebut akan tertulis mereka dari daerah mana.

Andai kata satu hari nanti mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan kumpulan ini ataupun dikeluarkan dari Hells Angels, mereka harus memulangkan kembali jaket dan logo Hells Angels kepada ketua kumpulan mereka.

Walaupun kumpulan ini menyatakan tidak bersikap racist dan menerima sesiapa saja untuk memasuki kumpulan mereka, boleh dikatakan semua ahli kumpulan ini adalah lelaki berkulit putih. Setakat ini hanya seorang sahaja lelaki berkulit hitam yang menyertai kumpulan ini iaitu Gregory Wooley. Dia merupakan ahli tertinggi untuk Rockers MC, pecahan kepada kumpulan Hells Angels. Kebanyakan orang yang berkulit hitam akan menyertai kumpulan East Bay Dragons MC, kumpulan bermotosikal untuk lelaki berkulit hitam.

Walaupun begitu, kedua-dua kumpulan ini tidak pernah bergaduh malah kedua-dua ketua kumpulan mereka iaitu Tobie Levingston (East Bay Dragons MC) dan Sonny Barger (Hells Angels MC) merupakan kawan baik dan dilihat selalu menunggang motor bersama-sama. Kedua-dua kumpulan ini juga selalu mengadakan konvoi bersama-sama.

Dari segi luaran mungkin kumpulan Hells Angels ini dilihat seperti kumpulan bermotor yang biasa namun mereka tidak terlepas dengan kes-kes jenayah. Pihak berkuasa Amerika Syarikat menyatakan yang kumpulan Hells Angels ini termasuk dalam empat kumpulan bermotor yang bahaya. Tiga lagi kumpulan adalah The Pagans, The Outlaws dan The Bandidos. Mereka selalu dikaitkan dengan kes seperti pengedaran dadah, rompakan terancang dan juga pelacuran.

Selain dari Amerika Syarikat, kumpulan Hells Angels ini juga mula merebak ke negara-negara lain. Pada 29 May 2019, kumpulan Hells Angels telah diharamkan di Belanda kerana mereka dikatakan satu kumpulan yang membahayakan masyarakat setempat.

KATALAKI: Malaysia ada Rempit, Jepun ada Bosozuku, Amerika Syarikat ada Hells Angels. Negara mana lagi yang ade geng bermotor eh?

Last modified: 14 January 2020