The Sims Sekarang Dah 20 Tahun!

Sembang, ZAP, ZeKool

Bila kali terakhir korang sentuh permainan video The Sims? Kalau korang salah seorang pemain yang masih lagi aktif bermain permainan video The Sims, syabas untuk korang sebab The Sims dah pun berusia 20 tahun pada 4 Februari 2020 hari tu.

Sejarah kewujudan The Sims bermula apabila seorang pereka permainan video, Will Wright hilang tempat tinggal selepas rumahnya musnah dalam kebakaran yang berlaku pada tahun 1991. Masa tu Sim City dah ada sejak tahun 1989. Tapi, Will Wright dapat idea untuk terapkan unsur-unsur kemanusian dalam permainan simulasi macam Sim City disebabkan beberapa pengalaman yang ditempuh oleh Will Wright semasa dalam proses membina semula kehidupan selepas kehilangan rumah tercinta pada tahun 1991.

Disebabkan syarikatnya, Maxis mempunyai kewangan yang terhad, idea Will Wright diperam sehinggalah Maxis dibeli oleh Elecronics Arts (EA) pada tahun 1997. Selepas bersungguh membentangkan idea kepada EA, akhirnya The Sims mula dipasarkan oleh EA pada tahun 2000 yang hanya boleh dimainkan kat Microsoft Windows. Ada tak yang sempat merasa The Sims yang pertama?

Kejayaan Will Wright dan empayar The Sims diteruskan sehingga lahirnya The Sims 2 pada tahun 2004 dan The Sims 3 pada tahun 2009. Selepas puas mencipta nama sebagai salah seorang pereka permainan video terbaik di dunia menerusi kejayaan The Sims, Will Wright meninggalkan Maxis pada tahun 2009 untuk membangunkan sebuah syarikat yang baru.

The Sims paling terbaru yang boleh dimainkan oleh orang ramai sekarang ni adalah The Sims 4, mula dipasarkan pada tahun 2014, kini boleh dimainkan menerusi Microsoft Windows, macOS, PlayStation 4 dan Xbox One.

Walaupun ramai yang menganggap hanya wanita je yang sesuai main The Sims, tapi melalui The Sims juga, ramai pereka hiasan dalaman atau arkitek yang menggunakan permainan video The Sims sebagai salah satu cara untuk belajar dan mencari idea dalam bidang masing-masing. Kalau The Sims 4 masih lagi mampu kekal relevan dengan dunia yang semakin digital sekarang ni, mungkin tak lama lagi kita akan dipertemukan dengan The Sims 5?

KATALAKI: Game simulasi apa je yang boleh lawan The Sims? Sebab tu boleh bertahan sampai 20 tahun.

Last modified: 10 February 2020