Thor Bergabung Dengan Joker, Jadi Hulk Hogan

Sembang, ZAP, ZeKool

Selepas kali pertama buat kemunculan dalam Netflix Originals menerusi filem Extraction yang popular dengan babak kejutan kereta Proton Satria Neo, Chris Hemsworth sekali lagi bakal muncul dengan filem terbaru di bawah payung Netflix, kali ni melibatkan sebuah filem yang mengisahkan tentang kisah benar legenda WWE yang dikenali ramai sebagai Hulk Hogan. Ada ke yang tak kenal siapa Hulk Hogan?

Terry Eugene Bollea atau popular dengan nama Hulk Hogan merupakan bekas ahli gusti profesional yang pernah beraksi bersama World Wrestling Entertainment (WWE) yang sebelum ni juga dikenali sebagai WWF dan World Championship Wrestling (WCW) sejak tahun 1979 sehingga menamatkan karier dalam bidang sukan gusti pada tahun 2012. Walaupun dah tak terlibat secara aktif bergusti di dalam gelanggang sejak tahun 2012, Hulk Hogan masih lagi ada buat kemunculan istimewa di WWE sehingga kini.

Apa yang dinanti-nantikan oleh orang ramai mengenai filem kisah benar Hulk Hogan yang bakal ditayangkan kat Netflix ni bukan je sebab Chris Hemsworth, tapi filem ni juga bakal diarahkan oleh pengarah yang pernah mengarahkan filem Joker iaitu Todd Phillips. Selain daripada Todd Phillips, penulis jalan cerita filem Joker, Scott Silver juga terlibat sebagai penulis, sekali lagi bergabung tenaga dengan Todd Phillips untuk menghasilkan filem terbaru kisah benar Hulk Hogan. Dah ada dua orang kuat filem Joker yang terlibat dalam filem ni, maknanya harapan orang ramai terhadap filem kisah benar Hulk Hogan ni sudah pastinya tinggi. Tapi, disebabkan sekarang ni dunia masih lagi dalam keadaan berjaga-jaga dengan pandemik COVID-19, aktiviti pengambaran filem-filem di Hollywood belum lagi diteruskan termasuk lah pengambaran melibatkan filem kisah benar Hulk Hogan. Sementara menunggu lampu hijau untuk meneruskan sebarang aktiviti pengambaran, buat masa ni Chris Hemsworth tengah sibuk membesarkan badan untuk menyerupai tubuh badan Hulk Hogan ketika di zaman kemuncak, dijangka lebih besar daripada badan Thor yang pernah dilakonkan oleh Chris Hemsworth sebelum ni.

Menurut jangkaan, filem kisah benar Hulk Hogan ni akan menceritakan mengenai perjalanan Hulk Hogan menuju ke puncak dunia sukan gusti profesional di awal tahun 1980-an dan dah tentu sekali akan menampilkan juga kisah fenomena Hulkmania yang pernah berlaku di WWF. Sebelum popular, Hulk Hogan pernah gak keluar jap daripada WWF untuk beraksi di New Japan Pro-Wrestling (NJPW) dan American Wrestling Association (AWA) sebelum kembali ke WWF pada tahun 1983 dan membangkitkan semangat Hulkmania di kalangan penonton-penonton WWF sehingga nama Hulk Hogan popular di seluruh dunia.

KATALAKI: Selain daripada Hulk Hogan, mesti ada gak watak-watak penting lain contohnya watak Vince McMahon yang akan ditampilkan dalam filem ni. Siapa agaknya yang sesuai berlakon sebagai Vince McMahon.

Last modified: 17 July 2020