Tokoh² Dunia Yang Pernah Dipenjarakan

Sembang, ZAP

Kalau bercakap tentang tokoh-tokoh dunia, mesti yang terlintas dalam fikiran kita adalah orang-orang yang telah berjasa dan menyumbangkan kepakarannya kepada dunia. Mereka lah antara orang-orang yang paling dihormati dalam masyarakat mereka kerana tingginya pengorbanan dan ilmu mereka. Ada pun rasa hormat pada mereka dan dianggap tersohor, jangan tak tahu tokoh-tokoh ini juga pernah dipenjarakan. Tapi sebab mereka dipenjarakan bukan lah atas kesalahan-kesalahan jenayah, tetapi lebih kepada ancaman yang pemerintah masa itu rasakan daripada mereka. Mungkin orang-orang yang kurang cerdik senang rasa terancam dengan orang-orang yang bijak. Jadi kali ini kita lihat sendiri siapakah tokoh-tokoh ini dan apa yang dibuat oleh mereka sehingga dipenjarakan.

IBNU TAIMIYYAH

Nama penuhnya adalah Taqiyuddin Abdul Abbas Ahmad bin Abdul Salam bin Abdullah bin Muhammad bin Taimiyah Al-Harrani Al-Hambali, dilahirkan pada 22 Januari tahun 1263 di Bandar Harran (di selatan Turki). Kerana sering diburu oleh orang Mongol, ayahnya berpindah ke Damsyik (ibu kota Syria) bersama seluruh keluarganya. Semasa di Damsyik, beliau banyak menuntut ilmu Islam dan sememangnya seorang pelajar yang pintar.

Dalam sejarah ketamadunan Islam, nama Ibnu Taimiyyah ni sering disebut sebagai salah satu ilmuwan Islam yang terulung, dan ia menjadikan Ibnu Taimiyyah sebagai salah satu tokoh penting. Tetapi Ibnu Taimiyyah sering dimasukkan ke dalam penjara kerana fatwanya yang tidak sesuai dengan para ulama ketika zamannya. Tidak kurang juga ramai yang menentangnya kerana sikap jujurnya yang suka menegakkan kebenaran. Ibnu Taimiyyah meninggal dunia pada tahun 1255 di dalam penjara.

NELSON MANDELA

Nelson Mandela merupakan antara tokoh politik yang terkenal dan popular, yang pernah mempunyai sejarah dipenjarakan. Di Afrika Selatan, beliau diangkat menjadi negarawan dan menjadi satu simbol penting kepada pembebasan racial prejudice di sana. Beliau merupakan aktivis penting kepada gerakan ‘anti-apartheid’ (apartheid bermaksud pemisahan) yang terkenal di Afrika Selatan, di mana terdapat polisi kerajaan yang memisahkan hak antara orang kulit putih dan penduduk asal.

Kegiatan politik dan idealisme sebagai anak Afrika Selatan telah membawanya ke dalam penjara pada tahun 1964. Semasa penahanannya, Nelson menjalani pelbagai hukuman termasuk menjadi pekerja hamba dan tidak dibenarkan berurusan dengan dunia luar. Selama 27 tahun beliau di penjarakan, dan setelah beliau keluar pada tahun 1990, Nelson Mandela berjaya menghapuskan polisi apartheid melalui rundingan. Kemudian, pada tahun 1994 beliau dipilih menjadi presiden Afrika Selatan sehingga tahun 1999. Nelson Mandela merupakan presiden Afrika Selatan pertama yang merupakan penduduk asal Afrika. Pada tahun 1993 pula, beliau diberikan Anugerah Nobel (Nobel Prize) atas usahanya menghapuskan apartheid di Afrika Selatan.

BUYA HAMKA

Nama Buya Hamka, atau nama penuhnya Haji Abdul Malik Karim Amarullah sememangnya tidak asing lagi tokoh dunia ilmuwan terutamanya di Nusantara. Walaupun beliau dilihat sebagai satu tokoh yang tidak melibatkan diri dalam urusan-urusan seperti politik, beliau tetap tidak terlepas menjadi mangsa kepada pemerintah untuk dipenjarakan. Antara kata-kata beliau yang terkenal adalah ‘kalau hidup sekadar hidup, babi di hutan juga hidup, dan kalau bekerja sekadar bekerja, kera juga bekerja.’ Sebab kenapa Buya Hamka di penjarakan adalah kerana beliau dituduh terlibat dengan kumpulan yang ingin menjatuhkan pemerintah Indonesia dan menjual Indonesia kepada Malaysia. Tuduhan yang tak masuk akal!

Walau bagaimanapun, Buya Hamka tetap bersyukur walaupun dimasukkan ke penjara. Ini kerana disebabkan masa yang beliau ada di dalam penjara lah beliau sempat menyiapkan buku Tafsir Al-Azhar (sebuah tafsir Al-Quran) yang sehingga kini menjadi rujukan oleh para ilmuwan. Beliau turut mengatakan bahawa tafsir tersebut lahirnya di penjara.

MAHATMA GANDHI

Tokoh yang berasal daripada India ini mempunyai sejarah yang panjang dalam perjuangan untuk memerdekakan India daripada jajahan British. Beliau juga merupakan ‘Bapa’ kepada bangsa India yang menjadi ikon dan simbol terpenting di dunia pada abad ke-20 dalam gerakan tanpa menggunakan kekerasan.

Mahatma Gandhi dijatuhkan hukuman penjara selama enam tahun. Semasa di dalam penjara pula, pengaruh beliau tidak hilang di hati bangsa India. Beliau turut mengatakan bahawa “untuk menuju kemerdekaan politik dan kerohanian, setiap orang di India mesti bersedia untuk dipenjarakan.” Pada 5 Februari 1924, beliau dibebaskan dari penjara atas faktor kesihatan, tetapi perjuangan kemerdekaannya tetap diteruskan selepas itu. 

KATALAKI: Bukan mudah untuk menjadi seorang tokoh dunia. Banyak dugaan yang harus diharungi…

Last modified: 2 July 2020