Tradisi² Pelik Lanun Yang Korang Tak Pernah Dengar

Sembang

Kita mungkin banyak mengetahui perihal kehidupan lanun daripada filem-filem lanun seperti Pirates of the Caribbean. Tapi apa yang dipaparkan dalam filem-filem lanun tu mungkin cuma sebahagian kecil sahaja tentang cara hidup mereka. Sebenarnya banyak lagi tradisi-tradisi pelik tentang lanun yang ramai tak tahu. So kali ini kita menyelami pula kehidupan seorang lanun.

SUBANG TELINGA SEBAGAI ALAT PELINDUNG DAN INSURAN

Lanun memang terkenal dengan pemakaian subang telinga, tapi subang telinga yang dipakai bukan lah untuk perhiasan. Ia mempunyai fungsi dan tujuan yang sangat specific. Dikatakan subang telinga lanun adalah sebagai insuran untuk mereka mendapatkan pengebumian yang sempurna selepas mereka mati. Subang telinga yang diperbuat daripada perak atau emas akan dileburkan untuk membayar keranda dan keperluan pengebumian yang lain. Nampaknya para lanun juga tidak sanggup untuk mayat mereka dicampakkan ke dalam laut.

Selain itu, subang telinga mereka juga sebagai alat untuk melindungi telinga mereka. Dikatakan sebelum berperang, mereka akan meletakkan lilin pada subang telinga mereka dan semasa perang bermula mereka akan menyumbatkan lilin tersebut ke telinga mereka. Ini bagi melindungi pendengaran mereka daripada bunyi letupan meriam yang kuat. Boleh tahan bijak juga lanun-lanun ni.

LANUN PAKAI EYE PATCH BUKAN SEBAB BUTA

Mesti ramai yang ingat lanun memakai eye patch di sebelah mata untuk menutup matanya yang buta. Sebenarnya itu adalah satu tanggapan yang salah. Lanun memakai eye patch untuk menjadikan mata yang ditutup itu dapat melihat dengan cepat dalam keadaan gelap. Dikatakan bahagian bawah dek kapal adalah sangat gelap, jadi ketika mereka turun ke bawah mereka memerlukan pemandangan yang jelas agar dapat melihat dengan cepat. Jadi satu mata untuk digunakan dalam persekitaran terang, dan satu lagi dalam persekitaran gelap. 

LANUN TAK TANAM HARTA MEREKA

Kita sering dimomokkan dengan kisah harta karun lanun yang ditanam di satu lokasi yang tidak diketahui orang. Tapi hakikatnya lanun tidak menanam hasil rompakan mereka. Paling kurang pun mereka akan menyembunyikan hasil rompakan mereka. Antara sebab kenapa mereka tak tanam harta mereka adalah sebab lanun tak mencuri harta-harta seperti emas dan permata. Mereka selalunya akan merampas arak dan juga senjata untuk mereka gunakan kemudian. Jadi agak tak logik untuk mereka tanam hasil rompakan mereka.

PEREMPUAN JUGA BOLEH JADI LANUN

Walaupun kehidupan seorang lanun ini dikira sebagai ganas, kerjaya sebagai lanun tidak hanya terhad kepada lelaki. Perempuan juga pernah dicatatkan menjadi sebahagian dari kumpulan lanun. Dua orang wanita bernama Anne Bonny dan Mary Read dikatakan berlayar bersama di atas sebuah kapal lanun bernama ‘Revenge’ pada tahun 1720. Mary Read juga akan memakai pakaian seperti lelaki untuk menyembunyikan identitinya yang sebenar.

BENDERA MERAH PALING DITAKUTI

Bendera tengkorak yang menjadi trademark lanun bukan lah bendera yang menjadi ketakutan kepada kumpulan pelayar lain. Bendera merah jika dikibarkan oleh sebuah kapal lanun, ia mampu membuat pelayar lain gerun sehingga ada anak-anak kapal yang sanggup terjun ke dalam laut untuk lari daripada bertembung dengan kapal lanun yang mengibarkan bendera merah itu. Bendera merah yang digelar ‘Red Bloody’ dalam dunia lanun sebenarnya sebagai isyarat bahawa lanun tersebut akan menyerang sasarannya habis-habisan tanpa belah kasihan, dan tidak akan meninggalkan seorang pun mangsanya hidup. 

HUKUMAN KEPADA ANAK KAPAL

Seperti yang ditunjukkan di dalam filem, lanun sememangnya terkenal dengan hukuman memulaukan atau membuang anak kapal yang melanggar etika. Mereka akan dibuang ke satu pulau kecil yang tidak berpenghuni. Ini merupakan cara paling kejam yang mereka akan lakukan kepada anak-anak kapal yang ingkar. Anak kapal yang dibuang itu akan merana sendirian di pulau tersebut dan akhirnya mati. Tapi sebelum itu mereka akan diberikan pilihan juga untuk membunuh diri sendiri dengan senjata yang diberikan. Tapi cara itu dianggap sebagai cara mati seorang lanun pengecut. Walaupun ditinggalkan di sebuah pulau kecil sendirian, ada juga lanun yang berjaya menyelamatkan diri. Tapi hal itu amat jarang berlaku, maka mati lah sendirian di pulau kecil itu.

KATALAKI: Agak-agak lanun cetak rompak guna pakai tak tradisi-tradisi ni…

Last modified: 24 July 2020