Tradisi Sumo Yang Masih Diamalkan Sehingga Kini

Sembang, ZAP

Sumo atau Ozumo merupakan satu acara gusti di Jepun yang juga merupakan sukan rasmi di sana. Ia dikatakan berasal dari zaman kuno sebagai satu bentuk persembahan untuk menghiburkan dewa Shinto dan juga sebagai tanda kesyukuran. Banyak ritual keagamaan seperti simbolik menaburkan garam ke atas gelanggang yang masih diterapkan sehingga ke hari ini. Sesuai dengan latar belakang tradisi ini, hanya kaum lelaki sahaja yang terlibat dalam sukan ini secara profesional di Jepun.

Peraturan sukan Sumo pula agak mudah. Ahli gusti yang terlebih dahulu keluar dari gelanggang atau dijatuhkan dalam gelanggang akan dikira kalah. Setiap pertandingan Sumo akan berlangsung di dalam gelanggang berbentuk cincin yang dikenali sebagai dohyo. Gelanggang tersebut diperbuat daripada tanah liat dan ditutupi dengan lapisan pasir. Setiap satu perlawanan kebiasaannya cuma berlangsung selama beberapa saat sahaja. Kalau dapat lawan yang kekuatannya tidak setara memang bawah 10 saat dah selesai satu perlawanan. Tapi bagi lawan yang masing-masing mempunyai kekuatan yang hampir sama, ia boleh memakan masa sehingga satu minit atau lebih.

Setiap perlawanan, semua ahli gusti yang bertanding akan dipadankan secara rawak. Jadi nasib lah kalau dapat lawan yang berbadan lebih besar. Sebab itu ahli gusti Sumo ini sangat mementingkan saiz badan dan menganggap menaikkan berat badan adalah sebahagian daripada latihan Sumo.

PERMULAAN PERTANDINGAN SUMO DI JEPUN

Mengikut kisah tradisi Jepun, perlawanan Sumo pertama dan juga ahli Sumo pertama ialah Nomi no Sukune yang diperintahkan oleh Maharaja Suinin untuk berlawan dengan ahli Sumo lain bernama Taima no Kehaya. Perlawanan tersebut dimenangi oleh Sukune, dan mengikut kepercayaan orang Jepun ia adalah disebabkan Sukune merupakan keturunan Amenohohi, iaitu putera kepada dewi Matahari Amaterasu. Kemudian, perlawanan Sumo terus dijadikan sebagai satu cara untuk menunjukkan atau membuktikan kekuatan masing-masing. Pada asalnya ia hanya melibatkan golongan pahlawan seperti samurai yang mahir dalam pertempuran.

Tidak lama selepas itu, pada zaman pemerintahan Edo, ahli gusti Sumo profesional mula muncul daripada barisan pemain amatur yang tidak datang dari golongan pahlawan. Pertandingan Sumo juga mula diadakan ketika itu dan menyaksikan ramai ahli gusti Sumo top memegang status selebriti. Selepas itu, sukan Sumo dianjurkan secara meluas di Jepun dan mendapat sambutan masyarakat di sana sehingga ke hari ini. Juara Sumo pun dah sama level dengan selebriti. 

MACAM MANA NAK TENGOK PERLAWANAN SUMO SECARA LIVE?

Cara terbaik untuk menonton perlawanan Sumo adalah dengan menghadiri sendiri kejohanan Sumo di Jepun. Ini bermaksud korang kena kumpul duit dari sekarang lah kalau nak ke sana. Menurut Japan Sumo Association, kejohanan Sumo ini akan diadakan sebanyak enam kali setahun. Tiga perlawanan akan diadakan di Tokyo pada bulan Januari, Mei dan juga September. Manakala tiga lagi perlawanan masing-masing akan diadakan di Osaka pada bulan Mac, Nagoya pada bulan Julai dan juga Fukuoka pada bulan November.

Kalau korang melancong ke Jepun pada bulan-bulan ni, jangan lepaskan peluang untuk lihat sendiri perlawanan Sumo secara live. Setiap kejohanan akan berlangsung selama 15 hari dan tiket ada dijual pada setiap hari sepanjang kejohanan itu berlangsung. Harga tiket pula adalah mengikut tempat duduk penonton, dan semestinya yang paling hampir dengan gelanggang adalah tiket yang paling mahal. Tapi tempat yang paling dekat dengan gelanggang ni dikatakan terdedah kepada risiko kecederaan kerana ahli gusti berpotensi untuk tercampak keluar dari gelanggang. 

Sukan gusti Sumo ini sememangnya sudah menjadi sebahagian daripada budaya masyarakat Jepun. Ia juga dikatakan satu sukan yang mengamalkan banyak tradisi dan juga ritual. Salah satunya adalah ritual pra-perlawanan yang panjang melibatkan semua ahli gusti dimana ia berkait rapat dengan tradisi peperangan silam dan agama Shinto. Selain itu, tradisi mengangkat satu kaki dengan tinggi dan memijakkan ia ke tanah juga merupakan tradisi yang diambil daripada pahlawan zaman dahulu untuk menakutkan pihak lawan. Jadi tradisi-tradisi ini kekal sehingga sekarang dan menjadikan ia satu sukan yang penuh dengan sejarah negara Jepun. 

KATALAKI: Mungkin kita boleh contohi negara Jepun dengan mengangkat martabat sukan yang berasal dari negara kita…

Last modified: 25 August 2020