Tragedi Petagas – Dibunuh Tentera Jepun Beramai-Ramai

Sembang, ZAP

Sejarah Malaysia ni kalau nak ikutkan sebenarnya ada lagi yang tak dituliskan dalam buku teks sekolah. Jadi berkemungkinan banyak lagi yang kita tak tahu tentang sejarah-sejarah silam yang berlaku di negara kita untuk kita jadikan iktibar. Tapi kita ni pun kadang-kadang apa yang dah tertulis pun boleh lupa. Aku tak pasti korang yang duduk semenanjung ni pernah dengar ke tak tentang tragedi Petagas ni tapi bagi orang-orang di Sabah ia tentu menjadi sebahagian daripada sejarah hitam. Kalau kisah Tragedi Petagas ada dalam buku teks sekolah mungkin korang boleh tolong share sekali dengan pembaca yang lain.

JEPUN MENGUASAI NEGERI SABAH

Sejarah peperangan di negara kita ni memang tak sah kalau tidak masukkan sekali kisah penjajahan tentera Jepun. Tragedi Petagas ini bermula selepas tentera Jepun berjaya menawan kawasan pantai barat di Sabah pada tahun 1942. Ketika itu ibu negeri Sabah yang dikenali dengan nama Jesselton telah pun jatuh ke tangan Jepun, dan Jepun pun mula menguasai kawasan-kawasan lain di Sabah dengan kekejaman mereka. Boleh dikatakan pada waktu itu kekejaman tentera Jepun menimbulkan kemarahan rakyat. Gerakan menentang Jepun mula muncul kemudian.

Pada bulan September 1943, Albert Kwok mengetuai pemberontakan menentang tentera Jepun secara gerila. Kumpulan pemberontakan ini telah menyerang pendudukan Jepun di Tuaran, Menggatal, Jesselton dan Kota Belud di Pantai Barat Sabah.

PENUBUHAN GERAKAN PENENTANG

Bila tentera Jepun dah mula menguasai tempat tinggal kita, apa lagi mesti lah akan wujud kumpulan penentang. Walaupun ada peraturan keras yang dikenakan oleh tentera Jepun semasa pendudukan di Sabah, ia tidak menjadi penghalang buat Albert Kwok untuk menubuhkan Gerakan Penentang. Beliau merupakan seorang doktor berketurunan Cina yang berasal dari Kuching, Sarawak, dan mula berpindah ke Jesselton pada tahun 1941. Gerakan Penentang ini dianggotai oleh lebih daripada 300 ahli.

Pada tarikh 9 Oktober 1943, tentera Jepun telah mengeluarkan perintah untuk menangkap sesiapa sahaja yang membuat penentangan terhadap Jepun. Gerakan Penentang pada ketika itu yang telah merancang serangan mereka terpaksa melancarkan pemberontakan lebih awal. Senjata yang digunakan ketika itu juga dikatakan terhad. Pada 10 Oktober, serangan terhadap tentera Jepun dilancarkan di Jesselton dan telah menyebabkan lebih 50 kematian tentera Jepun. Dikatakan kebanyakkan tentera Jepun yang terkorban adalah melalui serangan parang, tombak dan keris.

Bila dah kena serang, tentera Jepun tidak mungkin berdiam diri. Berang dengan pemberontakan masyarakat tempatan di situ, tentera bantuan Jepun mula dihantar ke Borneo Utara dari Kuching dan mula melancarkan tindak balas yang sistematik ke atas penduduk awam. Pada waktu ini, kedudukan Gerakan Penentang agak terancam kerana orang awam menjadi mangsa di atas pemberontakan mereka. Selepas diugut dengan pembunuhan orang awam yang lebih ramai, akhirnya Albert Kwok bersama beberapa pemimpin pergerakan menyerah diri pada 19 Disember 1944.

DIHUKUM BUNUH BERAMAI-RAMAI

Mereka yang menyertai pemberontakan dihukum bunuh di Taman Peringatan Perang Petagas pada 21 Januari 1944. Sebahagian besar daripada mereka yang tidak mempunyai kaitan dengan pemberontakan juga turut dibunuh. Dikatakan lebih kurang seribu orang telah menjadi mangsa pembunuhan beramai-ramai di Petagas, Sabah oleh tentera Jepun pada tahun tersebut.

Para pemimpin gerakan pemberontakan termasuk Kwok, Charles Peter, Tsen Tsau Kong, Kong Tze Phui dan Li Tet Phui dibunuh dengan kepala mereka dipancung dengan katana. Manakala pengikut gerakan pemberontakan seramai 170 orang dipaksa berlutut dihadapan lubang dan dibunuh menggunakan tembakan dari dua pucuk mesingan dan 10 pucuk senjata api kecil. Saksi yang berada hampir dengan tapak hukuman di Petagas mengatakan bahawa jeritan mereka yang dihukum boleh didengari sepanjang siang dan malam.

Walaupun tentera Jepun dapat mematahkan usaha pemberontakan selepas menghapuskan Gerakan Penentang, pada tahun 1945 Tentera Bersekutu berjaya membebaskan Sabah dari pendudukan Jepun.

KATALAKI: Kalau berkesempatan korang boleh lawati Taman Peringatan Perang Petagas di daerah Putatan, Kota Kinabalu.

Last modified: 13 August 2020