Tragedi Yang Membawa Kepada Pengharaman Mercun Di Malaysia

Feature, Sembang, ZAP, ZeKool

ϟ Trending

Bila tiba je Hari Raya Aidilfitri, memang menjadi acara wajib untuk kita main bunga api ataupun mercun sebagai tanpa meraikan sambutan Hari Raya Aidilfitri. Kalau adik-adik kita yang kecil tu kita bagi main bunga api je sebab bahaya main bagi mercun. Korang yang besar panjang pula memang gian main mercun yang paling kuat bunyi letupannya. Bila dah jadi acara wajib tiap tahun, maka tiap tahun pun akan ada berita budak cedera parah main mercun lah, putus tangan lah dan macam-macam lagi jenis kecederaan akibat bermain mercun yang merbahaya. Tragedi-tragedi macam ni boleh dikatakan antara sebab kenapa mercun diharamkan di Malaysia, tapi sebenarnya ada satu kisah lagi sebenarnya yang menjadi punca kenapa mercun di haramkan sehingga semua kilang mercun di Malaysia diarahkan tutup.

KISAH LETUPAN KILANG MERCUN

Pada 7 Mei 1991, lebih kurang jam 3:45 petang, kawasan Sungai Buloh dikejutkan dengan satu letupan yang sangat kuat seperti ada pesawat pejuang yang menjatuhkan bom. Letupan tersebut berlaku di kilang mercun Bright Sparklers. Kilang tersebut dipercayai terbakar dan mengakibatkan letupan yang boleh didengari sejauh 7 kilometer! Mereka yang melalui sendiri tragedi tersebut mengambarkan letupan tersebut ibarat Hiroshima dibom. Dianggarkan sebanyak 200 tan belerang mengakibatkan letupan yang dasyat itu.

Bunyi yang kuat bagaikan letupan bom atom itu membawa kesan gegaran yang kuat sehingga memecahkan tingkap-tingkap rumah di bandar Seri Menjalara dan Selayang yang terletak kira-kira 7 kilometer dari kilang tersebut. 7 kilometer dah boleh sampai pecah tingkap. So korang boleh bayangkan lah mereka yang berada berhampiran dengan kilang tu macam mana. Tapi letupan dari kilang tersebut belum berakhir lagi kerana 10 minit kemudian menyusul pula letupan susulan yang kedua. Dan letupan yang ketiga merupakan yang paling kuat. Kira-kira lebih 20 letupan susulan berlaku sehingga kepulan asap dapat dilihat sejauh lapan kilometer. Kebakaran dan letupan tersebut boleh dikatakan sebagai yang terburuk dalam sejarah Malaysia.

Kawasan rumah yang berada berhampiran kilang tersebut turut runtuh dan terbakar. Tambahan lagi, kilang-kilang berhampiran dan kenderaan yang ada pun terbakar dan musnah sekali. Mengikut laporan, keadaan pada waktu itu seperti kacau-bilau bila orang-orang yang berada berhampiran lari bertaburan menyelamatkan diri dari terkena serpihan akibat letupan itu.

MISI MENYELAMAT YANG CEMAS

Lapan jentera bomba dari Kem Tentera Sungai Buloh (2), Wilayah Persekutuan (2), Petaling Jaya (2), Damansara Utama (1) dan Shah Alam (1) tiba untuk memadamkan kebakaran dan menyelamatkan mangsa. Lebih 50 anggota bomba berusaha memadamkan api kebakaran yang marak ketika itu. Ditambah lagi dengan Sembilan ambulan dari Hospital Kuala Lumpur dan lima dari Hospital Sungai Buloh yang berulang alik mengangkut mangsa yang cedera parah untuk mendapatkan rawatan kecemasan. Biar pun tidak cukup bilangan ambulan untuk mengangkut semua mangsa dengan cepat, orang ramai yang prihatin turut membantu untuk membawa mangsa ke hospital dengan menaiki lori dan van.

Walaupun kebakaran dah dipadamkan, anggota bomba tidak dapat meneruskan operasi menyelamat dan mencari mangsa sebab risau akan berlaku lagi letupan susulan. Sehari selepas letupan, gerakan mencari mangsa diteruskan dan mendapati jumlah kematian daripada tragedi tersebut adalah seramai 26 orang. Manakala seramai 83 orang dilaporkan cedera.

ANCAMAN GAS BERACUN

Memasuki hari ketiga semasa misi mencari mangsa dijalankan, pasukan penyelamat menghadapi ancaman baru bila hujan lebat di kawasan tersebut mengakibatkan tindak balas kimia yang menghasilkan gas beracun. Hal ini menyebabkan kira-kira 200 anggota penyelamat diarahkan beredar dari kawasan tersebut. 50 anggota dikatakan mengalami kesukaran bernafas, bengkak dan gatal di muka, tangan dan badan berpunca daripada gas beracun di situ. Jadi pasukan penyelamat pun mengenakan full hazard mood dengan memakai topeng gas dan pakaian khas untuk meneruskan misi mencari mangsa. Pihak berkuasa mula melancarkan ‘Operasi Api Buluh’ pada 16 Mei untuk membersih dan memindahkan sisa bahan kimia dari kilang tu.

KILANG BEROPERASI SECARA HARAM

Selepas membuat siasatan, didapati kilang Bright Sparklers sebenarnya beroperasi secara haram sejak tahun 1978. Selain itu, kilang tersebut turut didapati menyalahi undang-undang dengan mengambil pekerja bawah umur. Hasil siasatan juga mendapati punca letupan adalah daripada bahagian makmal yang menjalankan kerja-kerja menguji mercun yang telah siap sebelum dipasarkan. Kenapa kebakaran awal tidak dikawal adalah sebab kilang tersebut tidak menyediakan alat pemadam api yang secukupnya. Cara kilang ni beroperasi sebenarnya memang menempa maut!

MERCUN KEMUDIAN DIHARAMKAN DI MALAYSIA

Akibat dari tragedi ini, terdapat perubahan dasar di peringkat kebangsaan. Mercun yang dahulunya dibenarkan di Malaysia, kemudian diharamkan atas faktor-faktor keselamatan orang awam. Kilang-kilang bunga api di seluruh Malaysia juga terpaksa ditutup selepas pengharaman mercun. Pada 29 Oktober 1992, Unit HAZMAT telah diwujudkan dan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 diluluskan di Parlimen.

KATALAKI: Bukan suka-suka ya kerajaan haramkan mercun ni…

ϟ Trending

Last modified: 27 May 2020