Tugu Negara Pernah Diletupkan?

Sembang

Bila tiba bulan kemerdekaan, pelbagai kisah-kisah perjuangan anggota beruniform dan rakyat terdahulu yang kita dapat dengar. Untuk mencapai keamanan seperti yang kita dapat nikmati sekarang bukanlah satu jalan mudah. Pelbagai kesusahan dan beratus nyawa telah terkorban bagi mempertahankan negara Malaysia tercinta ini.

Jadi bagi memperingati perjuangan mereka, sebuah tugu yang dipanggil sebagai Tugu Peringatan Negara ataupun Tugu Negara telah dibina dan disiapkan pada 8 Februari 1966 sebagai satu penghormatan kepada lebih 11 ribu parajurit yang gugur dalam Perang Dunia Pertama, Perang Dunia Kedua dan semasa Darurat.

Tugu Negara ini berdiri megah di ibu negara, Kuala Lumpur berhampiran dengan bangunan Parlimen. Tugu Negara ini adalah setinggi 15 meter dan diperbuat daripada gangsa dan direka oleh Felix de Weldon, seorang pengukir daripada Austria. Kalau korang nak tahu, Tugu Negara kita merupakan arca berkumpulan yang tertinggi di dunia!

Satu lagi info menarik adalah Tugu Negara kita yang pertama sebenarnya merupakan sebuah tiang konkrit yang terletak di Jalan Tugu berhampiran bulatan Station Kereta Api Kuala Lumpur, bersebelahan dengan Masjid Negara. Kalau korang pergi kesana sekarang, korang masih boleh nampak tapak dia yang seluas 10 meter persegi.

Kemudiannya, Tugu Negara telah dipindahkan ke kawasan Taman Tasik Perdana seperti mana yang korang boleh lihat sekarang. Kalau korang tinggal di Kuala Lumpur dan tak pernah pergi ke Tugu Negara, silalah pergi masa hari Merdeka nanti. Percuma saja bro!

Satu lagi info yang mungkin korang tidak tahu adalah Tugu Negara kita pernah diletupkan oleh pihak Komunis. Aku pun baru sahaja terbaca tentang kisah ini dan aku rasa tak ramai orang yang tahu so hari ini aku nak bercerita sedikit tentang kejadian yang berlaku pada 26 Ogos 1975 ini.

Seperti yang semua orang tahu, pihak Komunis sangat bencikan kerajaan. Jadi untuk melumpuhkan dan memporak-perandakan keamanan yang ada pada masa itu, pihak Komunis telah bertindak mengebom Tugu Negara yang mana berlaku pada jam 5 pagi.

Kejadian tersebut memusnahkan Tugu Negara dan dua kepala daripada tugu tersebut telah jatuh daripada kedudukan asal. Pihak berkuasa pada masa itu telah mengesyaki tindakan ini telah dilakukan oleh Barisan Pembebasan Kebangsaan Malaya (MNLF).

Komunis pada masa itu sememangnya sedang bermaharajalela lagi-lagi selepas mereka berjaya membunuh Ketua Polis Negara pada masa itu iaitu Tan Sri Abdul Rahman Hashim. Semasa kejadian itu berlaku, Bekas Perdana Menteri Tunku Abdul Rahman turut merasai gegaran daripada letupan tersebut memandangkan dia tinggal berhampiran dengan kawasan kejadian.

Unit Pemusnah Bom telah menemui dua butir bom yang masih belum meletup di tempat kejadian dan terdapat kesan darah yang dipercayai milik pengganas yang tercedera namun berjaya melarikan diri. Namun kejadian ini telah dinafikan oleh pihak Komunis.

Mereka menyatakan kononnya kejadian ini adalah angkara kerajaan sendiri dan kerajaan sengaja merosakan Tugu Negara tersebut kerana wajah-wajah pada Tugu Negara tersebut menyerupai orang-orang barat. Jadi untuk mempunyai alasan untuk merubah bentuk Tugu Negara ini, pihak kerajaan sengaja merosakkan Tugu Negara tersebut dan menyalahkannya pada pihak Komunis.

Tugu Negara ini dibina dengan kos sebanyak RM2.5 juta dan RM1.245 juta daripada kos tersebut merupakan hasil kutipan derma daripada rakyat Malaysia sendiri dan bakinya adalah daripada peruntukan kerajaan. Tugu Negara ini kemudiannya telah dibaiki semula selepas kerja baik pulih telah dilakukan oleh Christoper Carney yang mana pada masa itu merupakan seorang pensyarah Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka Institut Teknologi Mara.

Satu lagi info menariknya yang korang mungkin tidak tahu, Tugu yang berada bahagian tengah yang sedang memegang bendera Malaysia telah direka berdasarkan wajah sebenar Perdana Menteri Malaysia yang pertama iaitu Tunku Abdul Rahman ketika beliau masih muda!

KATALAKI: Bersyukur dengan keamanan yang kita masih kecapi sekarang.

Last modified: 19 August 2020