Video Game Merosakkan Hubungan Keluarga?

Sembang


Sejak kebelakangan ini, terdapat beberapa cerita yang aku tengok dengan social media seperti Facebook dan jugak Twitter yang mana ada orang mengadu hubungan keluarga dorang porak peranda disebabkan oleh permainan video.

Ada yang menyatakan suami dia terlampau obses main video games sampai lupakan tanggungjawab sebagai ketua keluarga dan ada juga kisah yang isteri dia mempunyai kekasih lain yang mana dorang berkenalan melalui permainan video.

Aku cuba mencari jawapan sama ada betul ke permainan video yang merosakan satu-satu hubungan atau video games cumalah salah satu daripada sebab lain yang membuatkan hubungan itu porak peranda. Salah seorang admin untuk TwtUpGamersMY, Raja Arif memberitahu yang komunikasi antara pasangan adalah penting dan mereka harus tahu membezakan video games ini hanyalah hobi dan tidak sepatutnya dijadikan sebagai satu obsesi.

Sebagai ketua keluarga yang mempunyai lima orang cahaya mata dan masih bermain permainan video sehingga sekarang, dia merasakan bila mula perasan ada bibit-bibit yang tidak menyenangkan, mereka yang obses dengan permainan video sehingga melupakan tanggungjawab ini harus segera menilai diri semula dan seimbangkan masa dengan keluarga. Jika permainan video itu nampak seperti lebih banyak membawa mudarat daripada kebaikan, Raja Arif menasihati supaya lebih baik menjauhkan diri dari video games tersebut.

Salah seorang followers aku, Intan atau lebih dikenali sebagai Sun San yang juga merupakan seorang Community Leader untuk Team Malaysia Overwatch pula menyatakan yang bagi dia, anak adalah priority dia nombor satu. Jika dia sedang bermain permainan video tidak kiralah secara offline, online mahupun competitive, jika anaknya memerlukannya ketika itu, dia akan tinggalkan segala permainan video yang dia sedang main dan membantu anaknya.

Selain daripada mereka berdua, aku bernasib baik kerana dapat menemubual dua orang lain yang bagi aku merupakan orang yang agak terkenal juga dekat gaming scene di Malaysia. Dua orang tersebut adalah Streamer terkenal Pakcik Shin Plays dan juga Uncle Johann yang merupakan seorang pengurus projek untuk sebuah syarikat permainan video terkenal di Malaysia. Jom kita soal siat dorang sikit berkenaan dengan isu ini hahaha!

UNCLE JOHANN

Johann Affendy Mahfoor atau lebih mesra dikenali sebagai Uncle Johann juga merupakan antara orang penting untuk TwtUpGamersMY. Dia yang kini berusia hampir 40 tahun dan sudah berumah tangga tapi masih tidak meninggalkan hobinya bermain permainan video malah dia juga bekerja di sebuah syarikat permainan video terkemuka di Malaysia.

Johann telah mula bermain permainan video sejak dari tahun 1989 yang mana ketika itu ayahnya telah membeli sebuah komputer peribadi untuk tujuan kerja. Tapi dalam masa yang sama, ayahnya telah mengambil kesempatan untuk mengajar Johann bermain permainan video di komputernya sambil membantu Johann berinteraksi dan belajar Bahasa Inggeris.

Johann lebih meminati permainan video berciri adventure dan antara permainan video terawal yang dia pernah main adalah Police Quest 1, The Secret of Monkey dan Prince of Persia. Ketika ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara menguruskan keluarga dan bermain permainan video, Johann menyatakan walaupun jadual kerja dia agak padat, dia akan mencari peluang untuk bermain permainan video sekurang-kurangnya satu ke dua jam sehari.

Antara waktu yang sesuai untuk dia bermain permainan video adalah semasa drama-drama melayu mula disiarkan di televisyen pada jam 10 malam. Johann menyatakan pada waktu itu isterinya akan menonton drama tersebut manakala dia akan bermain permainan video. Sebelum jam 10 malam, dia akan meluahkan masa dengan isterinya seperti bertanya tentang apa yang dia buat seharian dan tak dilupakan makan malam bersama setiap hari.

Bagi Johann, segala apa yang ada dalam kehidupan ini, kita haruslah bersederhana  dan bersifat rasional. Apabila kita terlampau obses dengan sesuatu, akan bermula proses yang mana akan memakan diri sendiri dan keluarga. Johann juga memberi satu pesanan yang bagi aku agak bernas iaitu:

Permainan video boleh disimpan dan dimainkan semula, tetapi tiada apa yang boleh menggantikan sebuah keluarga.

PAKCIK SHIN PLAYS

Mohd Amir Ridhwan atau lebih dikenali sebagai Pakcik Shin Plays merupakan salah seorang streamer terkenal di Malaysia. Aku yakin ramai orang yang kenal siapa dia Pakcik Shin Plays lagi-lagi kalau korang selalu berada di Facebook tengok orang livestream permainan video PUBG.

Amir yang berumur 35 tahun telah berkahwin sejak tahun 2007 dan kini mempunyai tiga orang cahaya mata. Amir menyatakan yang dia telah bermain permainan video sejak dari bangku sekolah lagi. Dia gemar bermain permainan video berciri FPS dan mula aktif dalam memasuki pertandingan esports pada tahun 2000 sehingga tahun 2008. Kini Amir lebih gemar livestream secara parttime sahaja sambil bermain permainan video seperti game PUBG.

Ketika ditanya bagaimana dia membahagikan masa antara menguruskan keluarga dan bermain video games, biasanya dia akan menyediakan satu jadual waktu untuk dia streaming di Facebook sambil bermain permainan video dan pada masa dia tidak bermain video games, dia akan memberikan perhatian sepenuhnya kepada keluarganya. Sebagai contoh pada hujung minggu, dia akan memastikan dia membawa anak dan isterinya berjalan-jalan dan juga memasak untuk makan bersama-sama dengan keluarganya.

Disebabkan Amir juga menjadikan streaming juga sebagai salah satu sumber dia mencari rezeki, ahli keluarga dia amat memahami bila masa untuk dia livestream bermain permainan video. Kadangkala dia akan postpone livestream demi memastikan ahli keluarganya diberikan keutamaan sepenuhnya. Bagi kes-kes masalah keluarga yang berlaku disebabkan permainan video, Amir menyatakan dia tidak menafikan kes-kes sebegini ada terjadi.

Namun bagi dia, menyalahkan permainan video seratus sebagai punca adalah tidak patut kerana kes-kes curang dan masalah keluarga seperti ini berlaku kerana pelbagai sebab dan setiap orang adalah berbeza. Bukan semua orang yang bermain permainan video itu akan melakukan masalah seperti ini dan bagi dia sifat toleransi sesama pasangan itu adalah kunci kepada kebahagian sesebuah keluarga.

KATALAKI: Jangan disebabkan nila setitik, rosak susu sebelangga!


Last modified: 22 July 2019