Wajib Tahu Tentang Jenayah Rogol

Sembang, ZAP

Minggu ni di media sosial boleh dikatakan sangat hangat dengan topik atau isu berkaitan jenayah rogol. Antara perdebatan yang menjadikan ianya kontroversi adalah meletakkan kesalahan rogol itu kepada mangsa, dan bukannya kepada pelaku. Memang ramai yang sangat tidak bersetuju dengan kenyataan yang menyalahkan mangsa sekiranya berlaku jenayah rogol. Mereka yang tidak bersetuju dengan pendapat itu menyatakan bahawa jenayah rogol boleh berlaku kepada sesiapa sahaja samada orang itu menjaga diri atau pun tidak. Manakala mereka yang bersetuju dengan pendapat itu mengatakan bahawa seseorang harus tahu dan mendidik diri tentang cara mengelakkan diri daripada menjadi mangsa rogol.

Walau bagaimanapun, sebagai seorang rakyat Malaysia yang cakna dengan isu-isu semasa, kita juga perlu mengisi maklumat-maklumat yang sahih dan benar di dalam diri kita. Sesuatu isu itu tidak boleh dikupas hanya berlandaskan emosi semata-mata. Jadi kali ini aku akan beri sedikit maklumat berkenaan jenayah rogol dari segi perundangan di Malaysia. 

DEFINISI ‘ROGOL’ DI MALAYSIA

Adakah maksud rogol itu semudah seperti memaksa satu individu melakukan hubungan seksual? Kalau ikutkan logik akal memang itu lah definisi yang difahami oleh majoriti masyarakat. Kalau menurut Kanun Keseksaan (Penal Code) Malaysia pula, rogol boleh didefinisikan sebagai satu hubungan seksual dengan seorang wanita yang tak rela untuk mengadakan hubungan itu. Kira kalau seseorang itu kata tak nak terhadap hubungan seksual tersebut, tapi dipaksa juga maka ia sudah dikira rogol.

Selain itu, sekiranya seorang mangsa itu menyatakan secara lisan persetujuannya untuk melakukan hubungan seksual tetapi dalam keadaan diugut untuk dibunuh, dicederakan atau lain-lain jenis ugutan, ia juga tetap dikira sebagai rogol. Tambahan lagi, jika hubungan seksual dilakukan dengan seorang gadis yang berumur bawah 16 tahun, samada hubungan itu suka sama suka atau pun tidak, ia juga dianggap sebagai jenayah rogol. 

Jadi itu adalah definisi mudah untuk korang faham apakah yang dimaksudkan dengan rogol jika dilihat dari sudut perundangan Malaysia. Menurut penjelasan dalam Kanun Keseksaan, dengan kemasukan kemaluan lelaki ke dalam kemaluan perempuan adalah mencukupi untuk meletakkan kejadian itu sebagai jenayah rogol. Jika kes rogol dibawa ke mahkamah, ini lah antara perkara-perkara atau fakta-fakta kes yang akan dilihat semasa penghakiman untuk menjatuhkan hukuman kepada pesalah jenayah rogol. Walau bagaimanapun, terdapat banyak lagi faktor-faktor lain yang akan dititik beratkan oleh Mahkamah dalam menentukan sesuatu kes.

HUKUMAN KEPADA PESALAH JENAYAH ROGOL

Kita sebagai masyarakat mesti lah nak penjenayah rogol dikenakan hukuman yang berat. Kira hukuman yang setimpal lah dengan jenayah yang dia buat. Menurut Seksyen 376 Kanun Keseksaan, individu yang melakukan jenayah rogol boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 20 tahun beserta sebatan. Selain itu, hukuman penjara antara 10 hingga 30 tahun beserta sebatan boleh dikenakan ke atas pesalah rogol yang melakukan jenayah rogol dalam keadaan tertentu. Contohnya seperti melakukan jenayah rogol terhadap seorang gadis yang berumur bawah 12 tahun, merogol perempuan yang sedang mengandung, dan juga mengakibatkan kecederaan kepada mangsa rogol atau pun orang lain.

Terakhir sekali hukuman yang paling berat, iaitu hukuman mati atau hukuman penjara selama 15 hingga 30 tahun beserta tidak kurang daripada 10 sebatan boleh dikenakan ke atas perogol yang menyebabkan kematian kepada mangsa tersebut. Jadi ini adalah jenis-jenis hukuman yang pasti akan diterima kepada penjenayah rogol sekiranya disabitkan dengan kesalahan merogol.

KESAN² PSIKOLOGI TERHADAP MANGSA ROGOL

Antara sebab kenapa jenayah rogol ini perlu dibanteras dan dikutuk sekeras-kerasnya adalah kerana kesan-kesan psikologi kepada mangsa yang mampu melumpuhkan kehidupan seharian mangsa. Antara kesan-kesan psikologi terhadap mangsa rogol adalah seperti kemurungan di mana mangsa dilanda dengan perasaan loneliness, sedih berpanjangan, takut dan juga hilang minat untuk meneruskan aktiviti harian.

Selain itu, mangsa juga akan mengalami Post-traumatic stress disorder (PTSD) dan juga suicidal thoughts yang mampu mengancam nyawa mereka sekiranya tiada sebarang bantuan atau sokongan emosi yang diterima. Hal-hal seperti ini sudah semestinya menjejaskan kehidupan seharian mereka. Jadi seharusnya isu jenayah rogol ini perlu dipandang serious dan pembelaan yang sewajarnya perlu diberikan kepada mangsa.

KATALAKI: Isu jenayah ini sebenarnya satu isu yang complex dan tidak sepatutnya dibahaskan secara sambil lewa…

Last modified: 17 July 2020