Wanita Terakhir Yang Dihukum Gantung Di UK

Sembang, ZAP, ZeKool

Pada 13 Julai 1955, seorang wanita yang dikenali sebagai Ruth Ellis, bekerja di sebuah kelab malam, dikenakan hukuman gantung selepas didapati bersalah membunuh teman lelakinya, David Blakely pada 10 April 1955. Ruth Ellis menjadi wanita terakhir yang dikenakan hukuman gantung di United Kingdom sehingga kini.

Lahir di Rhyl, Wales pada 9 Oktober 1926, Ruth Ellis mula melibatkan diri mencari rezeki melalui macam-macam kerja sejak zaman remaja sehingga mula diterima bekerja di sebuah kelab malam. Pada tahun 1950, ketika berumur 24 tahun, Ruth Ellis berkahwin dengan George Ellis yang berumur 41 tahun, juga merupakan bekas pelanggan Ruth Ellis sebelum ni.

Perkahwinan Ruth Ellis dan George Ellis tak kekal lama apabila George Ellis mula merasakan yang Ruth Ellis mempunyai hubungan sulit dengan lelaki lain. Ini menyebabkan Ruth Ellis kembali bekerja di kelab malam dan mula berkenalan dengan seorang pelumba kereta, dikenali sebagai David Blakely. Pernah mengandung tapi digugurkan, hubungan David Blakely dan Ruth Ellis tak seindah yang dirancang apabila David Blakely masih lagi mengekalkan gaya hidup playboy dan menyebabkan Ruth Ellis membuat keputusan untuk meneruskan kehidupan sendiri.

Seterusnya, Ruth Ellis berkenalan dengan bekas tentera, Desmond Cussen yang mewarisi bisnes keluarga. Dalam masa yang sama, Ruth Ellis masih lagi berjumpa dengan David Blakely sehingga hubungan Ruth Ellis dan David Blakely bertukar menjadi semakin kejam dan ganas apabila masing-masing masih lagi mempunyai hubungan istimewa dengan orang lain. Pada Januari 1955, Ruth Ellis sekali lagi keguguran selepas ditumbuk oleh David Blakely di bahagian perut ketika bertekak.

Pada 10 April 1955, Ruth Ellis yang bertolak dari rumah Desmond Cussen, keluar mencari David Blakely sehingga terjumpa kereta David Blakely yang diletakkan di luar sebuah pub dikenali sebagai Madgala. David Blakely mati ditembak diluar Magdala selepas ditembak oleh Ruth Ellis menggunakan senjata berjenis revolver, melepaskan 5 das tembakan. Tembakan terakhir yang dilepaskan oleh Ruth Ellis dikatakan dari belakang David Blakely dengan jarak yang dekat, sehingga serbuk yang terhasil daripada senjata api tertinggal di kulit David Blakely. Ruth Ellis ditahan oleh pihak polis dengan serta-merta.

Selepas gagal membuktikan Ruth Ellis mempunyai masalah mental, Ruth Ellis dibicarakan di mahkamah untuk menghadapi tuduhan membunuh David Blakely. Ketika dalam proses perbicaraan, pada 20 Jun 1955, Ruth Ellis mengeluarkan satu kenyataan yang mengejutkan apabila ditanya oleh pihak pendakwa mengenai, “When you fired the revolver at close range into the body of David Blakely, what did you intend to do?”.

Jawapan yang keluar daripada mulut Ruth Ellis adalah “It’s obvious when I shot him I intended to kill him“.  Tak sampai 30 minit selepas mengeluarkan kenyataan yang mengejutkan ramai orang, pihak juri memutuskan Ruth Ellis bersalah dan dihukum gantung atas kesalahan membunuh. Ruth Ellis disahkan meninggal dunia ketika berumur 28 tahun, pada 13 Julai 1955 selepas menjalani hukuman gantung di penjara Holloway, London.

Sehingga kini, Ruth Ellis dikenali sebagai wanita terakhir yang dikenakan hukuman gantung di United Kingdom selepas kali terakhir hukuman gantung dijatuhkan kepada Peter Anthony Allen dan John Alan West pada tahun 1964 di England. Sejak tahun 1965, undang-undang hukuman gantung atas kesalahan membunuh tidak lagi digunakan di negara-negara United Kingdom yang terdiri daripada England, Scotland dan Wales.

KATALAKI: Pada tahun 1985, kisah Ruth Ellis pernah difilemkan menerusi filem Dance with a Stranger. Kalau ada versi remake, macam menarik gak.

Last modified: 19 May 2020